Monday, May 5, 2008

Perginya Allahyarham Tan Sri Nasimuddin

Sejak beberapa hari ini, media menyorot pemergian seorang tokoh korporat automotif negara, Allahyarham Tan Sri Nasimuddin, yang meninggal dunia asbab kanser paru-paru.
Semalam, ialah hari pengkebumian Allahyarham setelah menempuh perjalanan yang panjang di bawa pulang daripada Los Angeles ke tanahair.
Berikut ialah liputan akhbar Berita Harian (5/5/08):

SEMOGA DIRAHMATI: Orang ramai yang hadir untuk sembahyang jenazah Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta diimamkan guru agama warga Iraq dan kenalan Allahyarham, Sheikh Afeefudin Al Gaylani.

PENGHORMATAN TERAKHIR: Puan Sri Zaleha Ismail menyiram air mawar ke pusara suaminya sambil diperhatikan SM Faisal Nasimuddin (kiri), SM Nasarudin Nasimuddin (dua dari kiri), Emilia Hanifi (menantu - tiga dari kanan) Nur Nadia Nasimuddin (dua dari kanan) dan Nur Diana Nasimuddin (kanan) di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melaka, Hulu Langat, semalam.

Sementara itu, anak sulung Allahyarham, SM Faizal SM Nasimuddin, berkata bapanya sempat berpesan dan mengamanahkan keluarga untuk meneruskan perjuangannya dalam dunia korporat dan berbakti kepada seluruh insan. Faizal berkata, keluarga besar Naza yang merangkumi lebih 4,800 kakitangan komited untuk meneruskan perjuangan Allahyarham. "Kami daripada setiap kakitangan hinggalah pengurusan tertinggi mesti menanamkan iltizam dan memikul tanggungjawab untuk memastikan legasi Naza diteruskan," katanya.
Faizal berkata, bapanya juga berpesan supaya beliau menjaga ahli keluarga dan Kumpulan Naza kerana ia adalah juga sebahagian keluarganya. "Ayah selalu berpesan, apa yang dibuat mestilah memberi manfaat dan memberi sumbangan kepada orang ramai kerana itulah yang beliau percaya selama ini. Beliau membuat segalanya untuk orang ramai.
"Ayah juga berpesan supaya langkah dilaksanakan untuk memastikan orang Melayu sentiasa mendapat peluang untuk memperbaiki diri mereka dan ayah sudah memainkan peranannya untuk merealisasikan wawasan itu," katanya sambil menambah Kumpulan Naza komited untuk meneruskan usaha itu.
Mengulas perasaan ahli keluarga mengenai kehilangan ayahnya, Faizal berkata, sudah tentulah ia sangat menyedihkan, tetapi kehidupan mesti diteruskan dengan menyandarkan kepada apa yang sudah disumbangkan Allahyarham sebagai tunjang kekuatan.
"Bagi kami, ayah sebagai warga korporat, sudah banyak menabur bakti kepada syarikat dan negara... beliau adalah bapa kepada dunia automotif baru. Kami sekeluarga akan meneruskan apa yang sudah dimulakannya. Masih banyak yang perlu dilakukan," katanya.
---tamat---
Sudah tentu kita mendoakan agar roh Allahyarham dimasukkan dalam golongan para solehin. Selain kesedihan, apa yang lebih perlu kita tanyakan, sejauhmana kita mengambil iktibar daripada pemergian ini?
Saya tertarik dengan pesanan-pesanan Allahyarham kepada anaknya seperti yang dilaporkan.
Pesanan ini menunjukkan betapa besarnya impian Allahyarham untuk umat. Semoga Allah terima fikir dan kerisauan Allahyarham dan mengganjarinya dengan sebaik-baik ganjaran.
Seyogia, kita semua merenungi keadaan diri kita. Apakah sumbangan yang boleh kita lakukan untuk umat? Agar walau setelah kematian kita, pahala dan ganjarannya akan terus mengalir. Seterusnya membawa kita kepada keredhaan Allah Taala.
Renungkanlah?

No comments:

Post a Comment