Saturday, May 24, 2008

Batu Puteh hak Singapura

Daripada Khirul Bahri Basaruddin di The Haque, Belanda
Sumber:
http://www.bharian.com.my 24/5/2008

Penghakiman setebal 81 halaman putuskan Batuan Tengah milik Malaysia
THE HAQUE: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) semalam memutuskan Singapura mempunyai hak ke atas Pulau Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.

Bagaimanapun, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Pulau Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Penghakiman setebal 81 halaman itu yang dibacakan oleh Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh, selama kira-kira sejam 45 minit mulai 10 pagi itu, (4 petang waktu Malaysia), menamatkan pertikaian lebih 28 tahun oleh kedua-dua negara ke atas muka bumi itu.

Dalam keputusan berhubung Pulau Batu Puteh yang dikenali di Singapura sebagai Pedra Blanca, 12 hakim memihak kepada Singapura manakala empat Malaysia, Batuan Tengah (15-1). Bagi Tubir Selatan ICJ mengundi 15-1, ia hak negara yang memiliki perairannya.

Mereka mengiktiraf tuntutan Kesultanan Johor terhadap hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh serta dua lagi, tetapi mengambil kira bahawa lebih 100 tahun Malaysia tidak berbuat apa-apa untuk menunjukkan haknya ke atas pulau itu.

Selain itu, surat Penolong Setiausaha kerajaan Johor pada 1953 kepada Singapura yang tidak menuntut hak milik ke atas Pulau Batu Puteh, dianggap mahkamah sebagai pengakuan penyerahan kedaulatan pulau berkenaan kepada republik itu.

Keputusan ICJ yang juga badan perundangan tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, adalah muktamad dan mengikat kedua-dua negara serta tidak boleh dirayu lagi. Keputusan itu disiarkan secara langsung oleh RTM1.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mengetuai rombongan Malaysia mendengar penghakiman itu, menyifatkan keputusan berkenaan sebagai menang-menang kerana Singapura tidak memperoleh semua yang dituntut, sebaliknya Malaysia diberi hak kedaulatan ke atas Batuan Tengah.

Sehubungan itu, katanya, Jawatankuasa Teknikal yang dibentuk kedua-dua negara bagi mengkaji hasil keputusan itu akan memulakan segera mesyuarat untuk mencari kaedah penyelesaian kedudukan Tubir Selatan, yang tidak diputuskan pemiliknya dalam penghakiman berkenaan.

ICJ mula membicarakan tuntutan terhadap Pulau Batu Puteh pada 6 November 2007. Dokumen ratifikasi perjanjian khas untuk memeterai persetujuan kedua-dua negara membawa dan menerima sebarang keputusan ICJ berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan itu ditandatangani Malaysia dan Singapura pada 6 Februari 2003 ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Ini kali kedua ICJ membuat keputusan berhubung tuntutan wilayah bertindih membabitkan Malaysia. Pada Disember 2002, ICJ memutuskan Malaysia mempunyai hak kedaulatan terhadap Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan di pantai Sabah, yang turut dituntut Indonesia.

Dalam menolak tuntutan Singapura ke atas Batuan Tengah, Awn Shawkat berkata, 15 hakim mendapati hak milik asal Batuan Tengah perlu dikekal kepada Malaysia sebagai pengganti Kesultanan Johor.

Beliau berkata, mahkamah tidak menerima tuntutan Singapura berhubung negara yang memiliki kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, sekali gus mempunyai hak yang sama ke atas Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Berhubung Pulau Batu Puteh, mahkamah menerima hujah Malaysia bahawa Kesultanan Johor mempunyai hak kedaulatan ke atas pulau berkenaan bermula sebelum 1800 hingga 1840 dan melalui surat pegawai kanan kerajaan Johor hak itu diserahkan kepada kerajaan British Singapura pada 1953.

"Mahkamah memutuskan Kesultanan Johor mempunyai hak milik asal ke atas Pulau Batu Puteh dan hak itu disokong serta disahkan melalui tindakan Sultan Johor mengambil tindakan ke atas Orang Laut yang tinggal di kepulauan di Selat Singapura termasuk Pulau Batu Puteh serta menjadi kawasan marin itu tempat penginapan mereka," katanya.

Katanya, hak kedaulatan pulau berkenaan terus berada di bawah Kesultanan Johor melalui perjanjian British-Belanda 1824, Triti Crawfurd 1824 dan apabila Sultan Johor bersetuju menyerahkan Singapura kepada Syarikat Hindia Timur (EIC).

Mengenai kedudukan perundangan ke atas pulau itu selepas 1840, Awn Shawkat berkata, mahkamah menimbang fakta yang berkaitan, terutama mengenai kegiatan atau tindakan yang dilakukan oleh pihak terbabit dalam tempoh itu.

"Kami meneliti kejadian yang berlaku dalam tempoh itu seperti proses pembinaan rumah api dan kegiatan yang berlaku pada 1852-1952, iaitu pengenalan peraturan mengenai rumah api serta sistem lampu selat, perkembangan perlembagaan Malaysia dan Singapura serta peraturan perikanan Johor pada 1860 tetapi semuanya tidak dapat membantu memuktamadkan kes di depan mahkamah ini.

"Bagaimanapun, mahkamah mengambil kira surat Penolong Setiausaha Kerajaan Johor dan mentafsirkan sebagai satu yang amat penting untuk menentukan persefahaman perkembangan kedua-dua pihak berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh.

"Justeru mahkamah mendapati surat jawapan Johor itu menunjukkan sejak 1953 lagi negeri itu sedar ia tidak lagi mempunyai hak kedaulatan ke atas pulau berkenaan," katanya.

Awn Shawkat berkata, mahkamah akhirnya meneliti tindakan atau kegiatan yang dilakukan kedua-dua pihak selepas 1953 dan membuat kesimpulan tindakan tertentu seperti penyiasatan Singapura berhubung kapal karam dalam perairannya, permohonan kebenaran pegawai Malaysia membuat kerja ukur di perairan pulau itu, sebagai tindak-tanduk melaksanakan hak kedaulatan.

Selain itu, katanya, mahkamah menimbang tindakan pihak lain yang menyokong tuntutan Singapura seperti tindakan Malaysia mendiamkan diri apabila Singapura mengibarkan bendera di Pulau Batu Puteh, pemasangan alat komunikasi tentera pada 1977, cadangan kerja penambakan laut, penerbitan tertentu serta peta.

Berdasarkan fakta itu, katanya, mahkamah memutuskan bahawa Singapura sudah mempunyai hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh sejak 1980, iaitu tarikh pertikaian kes itu bermula.

---tamat petikan---

Demikianlah hukum yang telah dikhabarkan. Akhirnya, secebis lagi tanah warisan kesultanan Johor yang merupakan sebahagian daripada Tanah Melayu, terlepas dan dilepaskan kedaulatannya kepada Pulau Kota Singa. Khabar yang diterima dengan hati yang amat berat. Benarlah, merupakan satu fitrah, untuk cintakan watan.

Menyebut tentang watan, saya teringat sebuah kitab kecil yang berjudul 'Syauqi Watan' (Merindui Watan) yang disusun oleh Hadrat Al-'Allamah Maulana Asyraf Ali Thanwi. Buku ini ditulis khusus bagi kaum muslimin menghadapi musibah dunia. Hadrat Maulana telah membawakan hadis-hadis Hadrat Rasulullah SAW, menceritakan tentang apa itu sebenarnya hakikat musibah dan ujian dalam kehidupan dunia ini. Seterusnya Maulana menarik perhatian kepada hadis-hadis tentang hari dan kampung Akhirat. Inilah hari-hari yang pasti kita akan tiba kepadanya.

Kampung Akhiratlah watan kita yang hakiki. Watan kita yang sejati. Sejauhmana kita benar-benar cintakan watan hakiki ini? Sejauhmana kita telah bela dan pertahankan kedaulatan dan kemuliaannya? Sejauhmanakah kita telah menghabiskan seluruh kudrat dan himmah kita untuk membangunkan watan kita ini?

Daripada Zar'ah ibn Abdillah, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda:
"Manusia itu mencintai kehidupan, sedangkan maut itu terlebih baik baginya."
(Dikeluarkan oleh Al-Baihaqi, sebagaimana dalam kitab Syarhus-Sudur).
Oh Allah... Dimanakah kami ini sebenarnya di sisi sabda Nabi-Mu (SAW) ini???

No comments:

Post a Comment