Saturday, May 3, 2008

Nasyid...


Sabtu hujung minggu saya kali ini nampaknya dihabiskan dengan menemani Uwais ke Pertandingan Festival Nasyid Peringkat Sekolah-Sekolah WP Putrajaya. Uwais terpilih sebagai ahli nasyid yang mewakili SK Putrajaya Presint 9(1). Kalau tahun lepas, 'Umair, kali ini giliran adiknya Uwais pula.

Tahun lepas, abangnya 'Umair dan pasukan nasyidnya berjaya menjadi Johan (Kategori Sekolah Rendah) peringkat Putrajaya, seterusnya mewakili Putrajaya ke peringkat kebangsaan. Kali ini, Uwais dan rakan-rakannya pula yang mencuba nasib. acara diadakan di SK Putrajaya Presint 8(2).

Sebanyak lapan sekolah rendah mengambil bahagian tahun ini. Acara nasyid bermula dengan sekolah Uwais yang memulakan sayembara.

Uwais sedang beraksi.

"Ok lah.. Dari segi persembahan, kira ok 'dah!", komen saya. Dari segi suara payah juga nak komen, kerana Uwais bukan jadi vokalis. 'Umair dulu vokalis.

Para hakim, nampaknya yang betul-betul berwibawa. Semuanya profesional. Diketuai oleh Ustaz Asri Rabbani. Ada tiga orang semuanya, mewakili bahagian persembahan, suara dan lagu.

Para hakim profesional


Menjelang tengahari, saat keputusan diumumkan. Dimulai dengan ulasan ketua hakim, Ustaz Asri Rabbani. Setelah memberikan komen-komen membina, Ustaz Asri juga memberikan beberapa tips dan petua mengenai suara, lagu dan persembahan nasyid. Akhirnya... Setelah keputusan beberapa kategori diumumkan, tibalah saatnya.....


"Tempat kedua, dimenangi oleh Kumpulan Insof dari SK Putrajaya Presint 9(1)!!", pengacara mengumumkan.



Alhamdulillah, Uwais dan kawan-kawannya, berjaya menjadi Naib Johan.



"Johan jugak, cuma turun satu langkah je..!", demikianlah ulasan Uwais.



Wakil Insof sedang menerima hadiah

Mengimbau pertandingan nasyid ini, saya terfikirkan apa yang dikatakan sebagai aliran nasyid negara. Sememangnya tidak dapat dinafikan, genre nasyid semakin berkembang dan diterima ramai.

Walau bagaimanapun, saya melihat garis pemisahan antara irama nasyid dan juga lagu-lagu pop semakin nipis. Jika dulu, irama nasyid mempunyai identitinya sendiri - sama ada muzik, melodi, lirik dan persembahannya - namun sekarang rasanya sudah semakin susah untuk dibezakan.

Ini terjadi, mungkin kerana definisi nasyid itu sendiri. Sekiranya kita menerima, bahawa nasyid itu bukan pada rentaknya, tetapi lirik dan mesej yang ingin disampaikan, maka saya berani mengatakan begitu banyak lagu Ramli Sarip, M. Nasir atau Zainal Hijau - sekadar memberi beberapa contoh -yang boleh dinobatkan sebagai nasyid.

Jika definisi ini diguna pakai, maka apa pula perlunya diwujudkan apa yang dinamakan penyanyi dan kumpulan nasyid?

Mungkin para munsyid atau nasyeeder boleh melakukan introspeksi dalaman dan dapat menghasilkan satu definisi yang tuntas, apa itu yang dikatakan sebagai nasyid!

No comments:

Post a Comment