Tuesday, April 13, 2010

Majalah SOLUSI Bil. 18: Dekat dengan Allah


Alhamdulillah, artikel saya untuk majalah SOLUSI masih diizinkan Allah untuk diterbitkan. Semoga ada manfaatnya. Diperturunkan di sini, artikel asal sebelum melalui proses editing majalah Solusi.

Allah berfirman:

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa dekat (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat petunjuk.” ( Al-Baqarah 2: 186)

Imam At-Tobari membawakan di dalam kitab Tafsir Jamiul-Bayan, beberapa riwayat yang memperkatakan tentang sebab-sebab diturunkan ayat ini. Pelbagai riwayat ini menunjukkan ayat ini merupakan satu respons kepada pertanyaan mengenai di mana Allah, bilakah masa yang sesuai untuk berdoa dan bagaimanakah cara untuk berdoa? Lalu Allah s.w.t menurunkan firman-Nya ini untuk memberi tahu kepada hamba-hambaNya betapa Dia adalah sangat dekat dengan mereka.

Ayat ini seolah-olah memberikan satu gambaran untuk dinalar oleh seseorang yang benar-benar beriman bahawa dalam konteks doa, Allah s.w.t. adalah terlalu dekat dengan setiap seorang hambaNya. Penalaran ini perlulah polos yang lahir daripada fitrah hati nubari yang tulus. Hati akan amat memahami apa itu yang dikatakan ‘Sesungguhnya Aku sentiasa dekat.” Bahkan, dalam hadis Qudsi riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa Allah s.w.t. berfirman, “... dan Aku bersamanya ketikamana dia berdoa kepada Ku!”

Imam Muhammad Mutawalli Asy-Sya’rawi telah menyorot ayat ini dari segi roh susunan lafaz dan ibaratnya dan menyimpulkan, ayat ini telah difirmankan oleh Allah, menggunakan susunan kata yang paling mesra. Kata-kata yang menyentuh terus ke lubuk nubari hati seseorang yang mendengarnya. Kata-kata yang langsung hampir kepada hati orang yang disampaikan.

Kata Imam Asy-Sya’rawi, “Kita sekarang berhadapan dengan satu ayat yang terkandung di dalamnya soalan sedangkan jawapannya diberikan secara terus. (Apabila hambaKu bertanyakan engkau berkenaan Aku), maka Allah tidak menggunakan perkataan “فقل” (maka katakanlah wahai Muhammad), kerana firman “قل” ini adalah satu praktik yang menjauhkan rasa dekat, Allah mengkehendaki di sini untuk menjadikan rasa dekat dalam jawapan kepada soalan ini tanpa sebarang perantaraan: “Apabila hambaKu bertanyakan engkau berkenaan Aku; maka sesungguhnya Aku adalah amat dekat (kepada mereka)!” Sesungguhnya Allah telah menjadikan jawapan daripada-Nya kepada hamba-hambaNya secara langsung, walaupun sebenarnya orang yang akan menyampaikan jawapan tersebut ialah RasulNya s.a.w. Ini ada ceritanya, yakni: beberapa orang telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w, “Adakah Tuhan engkau ini dekat sehingga kami boleh berbisik kepada-Nya, atau pun Dia adalah jauh sehingga kami perlu menyeruNya?” Intaha.

Untuk mendapat perhatian Allah s.w.t. sehingga terhasilnya rasa “ma’iyyatulLah” merupakan satu kurniaan yang amat besar dan juga tujuan tertinggi mana-mana ibadah. Ihsan dengan makna beribadah mengabdikan diri kepada Allah seolah-olah kita dapat melihat Allah, menjelaskan bagaimana rasa dekat, syahdu dan mesra seorang hamba dalam mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Ini merupakan fadilat yang merupakan seutama-utama fadilat!

Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “ Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah berbanding doa.” (HR At-Tirmizi, beliau mengatakan hadis ini hasan gharib)

Doa kita mungkin dimakbulkan segera, dijadikan khazanah untuk akhirat nanti atau ditukar untuk menjadi sebab musibah dijauhkan; itu semua tidak mengapa! Semuanya itu untuk kebaikan kita. Namun itu semua tidak setanding dengan keasyikan, kemanisan dan keseronokan kita berdoa kepada Allah! Tidak sehebat kelazatan kita untuk dapat ‘hampir’ kepada Allah. Malah jauh lebih hebat daripada itu, kehampiran Allah kepada kita!

Bayangkan, apa yang terjadi kepada seseorang yang berdoa dengan kefahaman (minda) dan rasa (hati) sedemikian? Bukan sekali, bukan dua kali, bahkan berkali-kali dia akan berdoa dalam sehari?

Inilah cara manhaj fadhail a’maal membentuk generasi salafus-soleh terutamanya para Sahabat r.a. dahulu. Beramal dengan fokus yang betul. Beramal dengan penuh keimanan. Keimanan yang membara. Keimanan yang amat manis. Keimanan yang menyampaikan seseorang itu kepada Ihsan!

Friday, March 12, 2010

ALLAH YANG SAMA!

KOTA BHARU, 12 Mac: Hujan yang turun di sekitar bandar raya ini membasahkan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan serta ribuan rakyat yang menyertai solat sunat istisqa.

Hujan agak lebat tiba-tiba turun pada rakaat pertama solat sunat Istisqa yang diadakan di Padang Perdana pagi tadi.

Solat tersebut diimamkan Menteri Besar bermula kira-kira jam 8.30 pagi.

Ketika Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedang membawa surah pada rakaat pertama tiba-tiba hujan turun agak lebat sehingga membasahkan ribuan yang menunaikan solat.

Hujan hanya berhenti selepas selesai solat sunat tersebut.

Semua yang hadir termasuk pembesar negeri dan pegawai kanan kerajaan kelihatan basah kuyup.

Program tadi dihadiri hampir kesemua pegawai kanan kerajaan negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Faudzi Che Mamat, Pengelola Istana, Datuk Abdul Halim Hamat dan Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Muhammad.
Solat Istisqa tersebut merupakan kali kedua diadakan di Kelantan selepas pertama kali diadakan beberapa tahun lalu akibat kemarau panjang.

Cuaca kering dan panas kini melanda seluruh negara sehingga ada tempat paras sungai dan empangan semakin surut dan tanah-tanah menjadi merekah.

Ketika membaca khutbah Menteri Besar memalingkan badan ke arah kiblat seketika sebagai mengikut amalan sunnah Rasulullah s.a.w. ketika baginda mengerjakan solat Istisqa.



Ini adalah petikan berita sebuah akhbar internet. Allah yang sama yang diminta hujan pada zaman Rasulullah s.a.w di Madinah dahulu, maka Allah yang sama dengan Kudrat yang sama, yang menguruskan hujan atau kemarau pada hari ini. Jika musim haji baru-baru ini Allah boleh menurunkan hujan di Makkah dan Arafah, maka Allah yang sama juga berkuasa untuk turunkan hujan di Malaysia.

Malangnya, hari ini, kita lebih yakin dengan apa yang mata kita lihat, melebihi apa yang sahih dan sabit daripada Rasulullah s.a.w. Oh Allah… ampunkanlah kami!

Thursday, March 4, 2010

Artikel Solusi Bil. 17 - Doa Jalan Pintas Menuju Allah

Alhamdulillah, artikel untuk kolum Fadhail A'mal Majalah Solusi masih lagi diizinkan oleh Allah s.w.t. untuk terus disiarkan. Untuk Majalah Solusi Bil. 17 ini, kolum ini diletakkan di muka surat 69. Disertakan di sini tulisan asal artikel saya tersebut sebelum melalui suntingan editor Majalah Solusi. Semoga ada manfaatnya.

Doa adalah satu amalan. Doa adalah satu ibadah. Rasulullah s.a.w. sendiri menyatakan, bahawa doa itu sendiri adalah ibadah.

Satu hadis yang diriwayatkan oleh An-Nu’man bin Basyir r.a., dia berkata, “Aku telah mendengar Nabi s.a.w. bersabda:

“Doa itu adalah ibadah,” kemudian baginda membacakan (ayat), “dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takabur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina.” (HR At-Tirmizi, beliau mengatakan haids ini adalah hasan sahih)

Ini adalah satu sabdaan Rasulullah s.a.w. Jika hanya semata-mata sabda baginda sahaja pun, kita sewajibnya menerima dengan penuh cinta, keghairahan untuk menghayatinya serta penuh ketaatan. Maka apatah lagi di sini, di mana Rasulullah s.a.w. telah memetik firman Allah s.w.t. sendiri untuk menyokong sabdaan baginda. ‘Cahaya berlapis cahaya’! Maka hati seseorang yang benar-benar beriman
akan bersinar dengan pancaran cahaya dua wahyu ini.

Adalah jelas, doa merupakan satu ibadah yang begitu besar. Malah doa telah dinobatkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai intisari kepada ibadah. Maka tidak hairan, doa mendapat tempat yang amat besar di dalam hati seseorang yang benar-benar beriman. Malah, jika kita selidiki kehidupan seharian Rasulullah s.a.w., kita akan mendapati bahawa seluruh hidup baginda dipenuhi dan diiringi dengan doa-doa. Betapa suci dan murni kehidupan baginda; dan betapa indah jika kita dapat hiasi kehidupan kita ini dengan sunnah-sunnah baginda yang penuh barakah ini!

Cuba kita bayangkan, apabila terjaga daripada tidur, ada doanya. Kemudian kita akan ke bilik air. Sebelum memasuki bilik air, ada doanya. Bila keluar, ada doanya lagi. Apabila menyarungkan tangan kanan kepada pakaian, ada doanya. Sarung pula tangan kiri, ada doanya. Lepas itu, berada di depan cermin. Ini juga ada doanya. Begitulah seterusnya, hinggalah kita kembali melelapkan mata. Segalanya dipenuhi dengan doa. Doa demi doa. Betapa bercahaya kehidupan seseorang yang pagi dan petangnya, siang dan malamnya dihiasi dengan doa!

Bersumber daripada Ali r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Doa itu adalah senjata orang yang beriman, tiang agama dan cahaya seluruh langit dan bumi.” (HR Al-Hakim, dan beliau mengatakan hadis ini adalah sahih).

Selalunya kita hanya melihat doa ini dari sisi pandang kepentingan hajat, keperluan dan permintaan yang kita pohon. Sebenarnya, sebagaimana ibadah-ibadah yang lain, kepentingan doa yang tertinggi ialah untuk menyampaikan kita kepada Cinta Allah! Bahkan, doa merupakan jalan pintas paling dekat untuk seseorang itu ‘sampai’ kepada Allah.

Allah adalah Tuhan. Tuhan yang telah menyifatkan diri-Nya sendiri sebagai As-Somad. Apa itu As-Somad? Di dalam Tafsir Mafatihul-Ghaib oleh Imam Ar-Razi menyatakan, Ibnu Abbas r.a. berkata bahawa ketikamana turunnya ayat ini, lalu para Sahabat bertanya, “Apakah makna (الصمد)?” Lalu jawab baginda s.a.w.:

هو السيد الذي يصمد إليه في الحوائج

“Dia ialah Tuan yang bertumpu (dan bergantung harap) kepadanya segala hajat”.
Jika demikian, Allah yang bersifat Maha Mengetahui tidak memerlukan kita untuk memberitahu dan memaklumkan kepada-Nya akan keperluan kita. Maha Suci Allah daripada terhalang pengetahuan-Nya daripada segala hajat dan keperluan kita. Jadi, kenapa kita perlu berdoa?

Fitrah kita manusia, apabila kita memerlukan sesuatu, kita akan menuju kepada seseorang yang kita yakini dapat membantu kita untuk memenuhi keperluan itu. Di sinilah mahalnya amalan dan ibadah doa. Apa yang benar-benar Allah ingin lihat ialah kita melahirkan rasa bergantung kita hanya kepada Allah! Maka terzahirlah sifat kehambaan yang tulus. Apabila hati seseorang hamba benar-benar terhubung dengan Tuhannya. Merayu dan merintih hanya kepada Tuhannya. Sedang hatinya penuh keyakinan kepada kemutlakan kudrat dan IradatNya. Ketika itu, seseorang itu amat ‘hampir’ kepada Allah.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Sesungguhnya Allah Taala telah berfirman, “Aku menurut sangkaan hamba-Ku; dan Aku bersamanya ketikamana dia berdoa kepada-Ku!” (HR Muslim)

Inilah fadilat doa yang melebihi segala fadilatnya yang lain! Adakah perkara lain yang lebih besar kepada seseorang yang benar-benar beriman, melebihi dapat menarik perhatian dan kecintaan Allah kepadanya?

Saturday, February 27, 2010

Kurenungi ingatan Maulidur-Rasul s.a.w. kali ini...

Sekali lagi, kedatangan bulan Rabi’ul Awwal 1431H telah menyemarakkan umat Islam untuk meraikan peristiwa kelahiran Rasulullah s.a.w. Mereka yang selama ini tidak begitu teringatkan Rasulullah s.a.w. tiba-tiba bagai dikejutkan dari tidur, turut berselawat dan mendengar ceramah sempena Maulidur-Rasul. Ada yang berselawat kerana semua orang berselawat, ada yang berselawat dengan penuh kegembiraan, ada yang berselawat dengan penuh rasa terhutang budi dan ada yang berselawat dengan penuh rindu.

Sempena sambutan Maulidur-Rasul s.a.w. kali ini, saya ingin membawakan apa yang telah dinukilkan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitab Al-Adab Al-Mufrad beliau, di dalam bab ke-280: Selawat ke atas baginda Nabi s.a.w. (Al-Adab Al-Mufrad - Al-Jaami’ lil-Aadaab an-Nabawiyyah, takliif lil-Imam al-Haafiz Muhammad bin Isma’il al-Bukhari (wafat 256H), ditahqiqkan oleh asy-Syaikh Muhammad Ilyas al-Baarahbankawiy, Maktabah al-‘Ilmi, Delhi al-Jadid, 1423H/2003M)

Imam al-Bukhari menukilkan:

Yahya bin Sulaiman telah membicarakan kepada kami, katanya: Telah berbicara kepada ku Ibnu Wahb, katanya: telah mengkhabarkan kepada ku Amru bin al-Harith, daripada Darraaj; bahawasanya Abal-Haitham telah membicarakan kepadanya, daripada Abu Sa’id al-Khudriy r.a., daripada baginda Nabi s.a.w., baginda bersabda: “Mana-mana lelaki muslim yang tidak ada kemampuan di sisinya apa-apa sedekah, maka hendaklah dia mengucapkan di dalam doanya:


اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ وَصَلِّ عَلَى المُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ واَلمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ
Ya Allah, selawatkanlah ke atas Muhammad, hamba-Mu dan juga Rasul-Mu, selawatkanlah juga ke atas mukminin dan mukminat, muslimin dan muslimat, maka sesungguhnya bagi orang itu suatu zakat.”

(Dikeluarkannya oleh Ibnu Hibban di dalam Sahihnya, oleh al-Hakim di dalam Mustadraknya; kedua-dua imam ini telah mensahihkan riwayat ini. As-Sayuti merupakan imam ketiga yang mensahihkan hadith ini. Imam al-Munawi di dalam At-Taisirnya menyatakan sanadnya adalah Hasan)

Muhammad bin al-‘Alaak telah membicarakan kepada kami, katanya: telah mebicarakan kepada kami ishaq bin Sulaiman, daripada Sa’id bin Abdir-Rahmaan – seorang maula Sa’id bin al-‘Aash, katanya: telah membicarakan kepada kami Hanzalah bin ‘Aliy, daripada Abu Hurairah r.a., daripada baginda Nabi s.a.w., baginda bersabda: “ Sesiapa yang mengucapkan:


اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَآلِ إبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمًّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَآلِ إِبْرَاهِيمَ وَتَرَحَّمْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا تَرَحَّمْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَآلِ إِبْرَاهِيمَ

“Ya Allah selawatkan ke atas Muhammad dan juga ahli keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah selawatkan ke atas Ibrahim dan juga ahli keluarga Ibrahim; berkatilah ke atas Muhammad dan juga keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkati ke atas Ibrahim dan ahli keluarga Ibrahim; rahmatilah ke atas Muhammad dan ahli keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah merahmati Ibrahim dan ahli keluarga Ibrahim”; aku akan mempersaksikan baginya di hari kiamat nanti dengan satu Penyaksian dan aku akan memberikan syafaat kepadanya.”

(Dikeluarkan oleh Ibnu Jarir at-Tobari di dalam Tahzibnya, sebagaimana dinyatakan di dalam Fathul-Baarik. Di antara sanadnya terdapat Sa’id bin Abdir-Rahmaan, Ibnu Hibban menyebutkannya di kalangan perawinya yang thiqah)

Abu Nu’aim telah membicarakan kepada kami, katanya: telah membicarakan kepada kami Salamah bin Wardaan, katanya: aku telah dengar Anas dan Malik bin Aus bin al-Hadathaan, bahawasanya baginda Nabi s.a.w.telah keluar untuk qadak hajat dan tidak ada sesiapa pun yang mengiringi baginda, maka keluarlah ‘Umar lalu mengikuti baginda sambil membawa satu bekas tembikar atau satu bejana untuk bersuci, lalu dia mendapati baginda sedang sujud berdekatan dengan satu sumber air, maka dia menjauhkan diri sedikit dan duduk di belakang baginda, hinggalah baginda Nabi s.a.w. mengangkat kepala baginda, lalu bersabda: Baguslah engkau wahai ‘Umar, apabila kau mendapatiku lalu engkau menjauh sedikit daripada ku, sesungguhnya Jibrail telah datang kepada ku, lalu dia berkata: “Sesiapa yang berselawat sekali ke atas engkau maka Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali, dan diangkatkan baginya sepuluh darjat.”

(Hadith bertaraf Hasan yang dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Ya’laa dan As-Sakhaawiy di dalam Al-Qaul Al-Badii’)

Abu Nu’aim telah membicarakan kepada kami, katanya: telah membicarakan kepada kami Yunus bin Abi Ishaq, daripada Buraid ibn Abi Maryam: Aku mendengar daripada Anas bin Malik, daripada baginda Nabi s.a.w., baginda bersabda: “Sesiapa yang berselawat ke atas sekali, Allah berselawat ke atasnya sepuluh kali, dan mengugurkan daripadanya sepuluh kesalahan.”

(Hadith bertaraf Sahih yang dikeluarkan oleh Ahmad dan Abu Nu’aim) Intaha.

Membaca hadith-hadith ini mebuat saya termenung, berapa kali sangat diri ini berselawat kepada Rasulullah s.a.w. dalam kehidupan seharian. Cuba kita tanyakan diri kita, biar lubuk hati kita yang paling dalam memberikan jawapannya, pernahkan kita berselawat kepada baginda, dengan hati yang penuh rasa terhutang budi kepada baginda? Dengan hati yang tehubung dengan segala limpah budi baginda, pengorbanan baginda, kasih sayang baginda, tangis sendu baginda, lapar dahaga baginda, esak rintih baginda, fikir risau baginda dan hubungan hati baginda dengan umat ini? Sejauhmana hati kita terhubung dengan semua ini tatkala kita berselawat kepada baginda?

Ya Allah… ampunkanlah kami!


اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَآلِ إبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمًّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَآلِ إِبْرَاهِيمَ وَتَرَحَّمْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا تَرَحَّمْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَآلِ إِبْرَاهِيمَ

Sunday, February 21, 2010

"Baiti Jannati, Satu Realiti"

Alhamdulillah, dengan izin Allah, hari ini saya dapat bersama-sama dengan peserta program "Baiti Jannati, Satu Realiti" anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Selangor. Program berlangsung di Dewan Serbaguna (berhadapan dengan Masjid 'Ubudiyyah) Kampung Tasik Tambahan, Ampang. Banyak yang dapat saya ambil manfaat daripada para peserta. Wajah-wajah mereka menggambarkan keikhlasan. Iltizam mereka menunjukkan betapa cinta mereka kepada agama. Walaupun di dalam dewan yang sederhana tanpa penghawa dingin, disebelahnya pula berlangsung pertandingan futsal remaja; itu semua tidak menghalang para mukhlisin ini untuk terus sudi bersama saya.

Sudah agak lama saya tidak diminta untuk membawakan topik ini. Apabila saya diminta oleh Abang Isa dan Kak Ba'ayah daripada Reliance Standard untuk membawakan modul ini, saya amat bersyukur. Sekurang-kurangnya, apabila saya memimpin kursus kekeluargaan begini, ia menjadi peringatan dan medan muhasabah diri saya. Saya tidak menganggap saya pergi mengajar, tetapi lebih kepada untuk berkongsi.

"Baiti Jannati" sudah merupakan satu bentuk ungkapan yang sering disebut-sebutkan. "Rumahku, syurgaku." Begitulah terjemahannya. Ungkapan ini sering diwacanakan, diceramahkan, diforumkan dan dijadikan topik penulisan. Bagaimanapun, selalunya tetap berkitar kepada konsep dan falsafahnya. Oleh itu, untuk kali ini, saya berhajat untuk berkongsi dengan para peserta, plan tindakan yang boleh dilakukan secara praktikal - walaupun kecil - untuk menjadikan "Baiti Jannati" benar-benar satu realiti.

Perkara pertama yang perlu difahami ialah, "Baiti Jannati" membawa maksud bahawa rumah adalah tempat yang membawa kebahagiaan kepada kita. Manakala kebahagiaan itu pula, Allah tidak pernah kaitkan dengan sebarang kebendaan. Seseorang yang tinggal di dalam pondok kecil boleh bahagia, seseorang yang tinggal di dalam banglo juga boleh bahagia. Inilah keadilan Allah. Oleh kerana urusan rezeki adalah ketetapan qadha' dan qadar Allah, maka Allah tidak kaitkan bahagia dan derita dengan sesuatu yang diluar kawalan manusia. Kebahagiaan hanya bergantung sejauhmana ketenangan dicapai oleh hati manusia. Bagi mencapai ketenangan ini, hati hanya perlu dihubungkan dengan Sumber Segala Ketenangan, iaitu Allah Azza Wa Jalla. Itu sahaja.

Seorang yang miskin boleh hubungkan diri mereka dengan Allah, seorang yang kaya juga boleh hubungkan diri mereka dengan Allah. Seorang yang anak ramai boleh hubungkan diri dengan Allah, seorang yang tidak ada anak pun boleh hubungkan diri dengan Allah. Seorang yang tinggal di dalam istana boleh hubungkan diri dengan Allah, seorang yang tinggal di gubuk buruk pun boleh hubungkan diri dengan Allah. Allah tidak pernah pilih kasih, dan satu-satunya neraca ukuran Allah ialah agama. Sejauhmana kita bawa agama dalam diri kita, maka sejauh itulah juga hubungan kita semakin erat dengan Allah.

Inilah keadilan, dan rahmat yang amat besar daripada Allah untuk hamba-hambaNya. Semuanya mempunyai peluang yang sama rata di sisi Allah.

Kedua, saya mengambil pendekatan, untuk berkongsi dengan peserta cara yang paling mudah untuk membina hubungan hati kita dengan Allah. Mudah sahaja, ambillah wudhuk dengan sempurna. Wudhuk yang sepaling mirip dengan wudhuknya Rasulullah s.a.w. Kenapa wudhuk?Kalau kita belajar mana-mana kitab Fiqh sekalipun, pasti akan dimulakan dengan bab Taharah (Bersuci). Manakala cara taharah yang paling utama ialah berwudhuk. Tanpa wudhuk, tiadalah solat. Tanpa solat, tiadalah apa-apa lagi yang tinggal untuk seseorang itu di dalam Islam. Solat adalah sumber rahmat. Solat adalah sumber pertolongan Allah. Solat adalah mikraj umat. Solat adalah 'medan' pertemuan seorang hamba dengan Tuhannya.

Malangnya, kita hari ini sering membincangkan cara-cara solat yang bagus, baik dari segi kaifiat mahupun kekhusyukannya, tetapi kita sering terlupa, tanpa wudhuk yang sempurna, bagaimana solat boleh jadi sempurna? Tanpa kita khusyuk di dalam wudhuk, bagaimana kita dapat menikmati kekhusyukan di dalam solat? Oleh itu, tanpa solat yang bagus, bagaimana sesuatu keluarga itu mampu mendapat rahmat dan 'sakinah' (ketenangan hati) daripada Allah? Tanpa rahmat dan sakinah ini, adakah mungkin 'Baiti Jannati' dikecapi?

Oleh yang demikian, menyempurnakan wudhuk dan khusyuk di dalam wudhuk perlu menjadi plan tindakan yang paling asas dalam membina keluarga yang bahagia. Wudhuk perlu sempurna kaifiatnya, kadar airnya dan tahap hubungan hati kita kepada Allah semasa mengambilnya.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

من ذكر الله عند الوضوء طهر جسده كله فإن لم يذكراسم الله لم يطهر منه إلا ما أصاب الماء

"Sesiapa yang mengingati Allah ketika berwudhuk, disucikan seluruhnya jasadnya; jika dia tidak mengingati nama Allah maka tidak disucikan daripadanya melainkan anggota yang dikenakan air." (HR Abdur-Razzaq, sebagaimana di dalam Al-Jami'us-Soghir)

Seterusnya, saya mengingatkan betapa pentingnya enam komponen kehidupan diberikan perhatian yang seimbang. Keenam-enam komponen tersebut merupakan perkara yang dititikberatkan oleh agama, iaitu: kerohanian, keluarga, kewangan, kerjaya, kesihatan dan kemasyarakatan. Kesemua komponen ini perlu dirancang agar seimbang dan menepati kehendak-kehendak Allah.

Itulah antara beberapa perkara yang sempat saya kongsikan daripada jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Sebenarnya ada satu lagi perkara yang penting untuk dimasukkan di dalam plan tindakan membina keluarga yang bahagia ini, iaitu: menghidupkan majlis ilmu di setiap rumah. Saya berharap, ada kesempatan untuk saya sampaikan berkenaan majlis ilmu di rumah ini pada masa yang lain.

Semoga Allah ampunkan saya dan mengurniakan kepada saya kekuatan untuk amalkan apa telah saya kongsikan.

"Ya Allah, berlemah lembutlah dengan hamba Mu yang dhaif lagi faqir ini...."

Saturday, February 6, 2010

Abah.. Setahun yang berlalu...


20 Januari telah berlalu. Bermakna telah setahun Abah meninggalkan alam yang fana ini. Perpisahan yang akan sentiasa dikenang. Sementara hayat ini masih dikandung badan. Setahun yang amat pendek, kerana kadang-kadang diri ini hampir terlupa, yang Abah telah tiada. Abah sentiasa hidup dalam hati kami. Semoga setiap diri anak-anak Abah, akan menjadi sumber kemuliaan Abah di akhirat sana...

Mohon kesudian sidang pembaca, menghadiahkan bacaan surah Al-Fatihah kepada arwah ayahanda saya... Al-Fatihah!

Ini adalah gambar Abah, seminggu sebelum Abah meninggal dunia. Dirakamkan oleh adik saya, Nurul Hakim semasa kunjungan Abah ke Kuala Lumpur.

ARTIKEL SOLUSI BIL. 16: Gelora Iman Kala Usia Muda

Alhamdulillah, artikel saya masih diizinkan Allah SWT untuk dapat dikongsikan melalui Majalah Solusi. Disertakan di bawah ini artikel asal sebagaimana di dalam simpanan saya. Semoga ada manfaatnya.

Membicarakan tentang fadhail a’mal pada hakikatnya ialah berbicara tentang nilai redha Allah Taala terhadap sesuatu amalan atau sesuatu perkara. Melalui kelebihan dan keutamaan serta pahala yang dinyatakan terhadap sesuatu amal itu, akan menggambarkan tahap kesukaan dan keredhaan yang Allah s.w.t. letakkan kepada sesuatu amalan atau perkara. Maka, seseorang muslim yang benar-benar beriman, akan sensitif dengan nilai redha Allah s.w.t. ini. Inilah hakikat iman.

Di dalam satu hadis sahih yang amat masyhur dinyatakan, Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “ Tujuh golongan yang akan dilindungi oleh Allah di bawah teduhan rahmatNya, pada hari (kiamat) yang tiada sebarang lindungan melainkan lindungan rahmatNya: pemerintah yang adil; pemuda yang menggunakan masa muda remajanya dalam beribadah kepada Allah; lelaki yang hatinya sentiasa terpaut kepada masjid; dua orang yang berkasih-sayang antara satu sama lain kerana Allah – di mana mereka berkumpul dan berpisah kerana Allah; lelaki yang digoda oleh wanita bangsawan dan jelita, lalu dia berkata, “Sesungguhnya aku takutkan Allah!”; seseorang yang memberi sedekah secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak tahu sedekah yang diberikan oleh tangan kanannya; dan lelaki yang mengingati Allah s.w.t. berseorangan diri sehingga berlinangan airmatanya.” (HR Al-Bukhari, Muslim dan selain daripada keduanya).

Riwayat di atas telah menyenaraikan beberapa golongan manusia yang akan begitu bertuah untuk menerima fadilat yang amat besar, iaitu akan diletakkan di bawah naungan rahmat Allah s.w.t. Ini adalah fadilat yang amat besar kerana pada masa itu, tiada lindungan dan teduhan lain lagi yang boleh diharapkan, melainkan naungan rahmat Allah.

Merenungi senarai tujuh golongan ini, kita dapati Allah s.w.t. telah mengkategorikan secara khusus satu golongan, iaitu golongan remaja dan belia yang telah memenuhkan usia muda mereka dan membesar dalam keadaan beribadah kepada Allah. Betapa tinggi fadilat yang telah dikhususkan kepada mereka.

Tidak syak lagi, hadis ini telah diucapkan oleh Rasulullah s.a.w. di hadapan para Sahabat. Hadis ini telah diriwayat oleh Abu Hurairah, Abu Sa’id Al-Khudri dan beberapa orang Sahabat yang lain. Ini menunjukkan, sabda Rasulullah s.a.w. ini telah dilontarkan di majlis yang umum. Maka di antara kelompok para Sahabat yang pastinya turut mendengar atau diperdengarkan dengan sabdaan ini ialah golongan remaja dan muda mudi para Sahabat.

Fadilat yang amat hebat ini, sudah pasti akan menyemarakkan lagi hangat keimanan yang ada di dalam hati mereka. Fadilat yang semulia ini akhirnya telah membentuk jatidiri mukmin yang hakiki kepada anak-anak Sahabat ini. Sejarah telah mencatatkan, betapa tubuh-tubuh kecil remaja di zaman Rasulullah s.a.w. dan para Sahabat ini, hakikat iman yang mengalir di dalam diri mereka boleh membuatkan orang dewasa pada zaman kita hari menundukkan muka kerana malu!

At-Tobrani telah meriwayatkan bahawa Abdullah bin Zubair r.a. dan Abdullah bin Ja’far r.a. telah berbai’ah kepada Rasulullah s.a.w. ketika mereka berusia baharu tujuh tahun. Ketika Rasulullah s.a.w. melihat keduanya, baginda tersenyum dan menghulurkan tangan baginda, lalu membai’ah keduanya.

Satu riwayat turut menjelaskan, betapa tinggi tahap pengabdian remaja-remaja Sahabat ini dalam usaha mereka meraih darjat yang tinggi di sisi Allah s.w.t.

Dikeluarkan oleh Ibnu ‘Asakir dari Sa’ad bin Abi Waqqas r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. mengembalikan adikku ‘Umair bin Abi Waqqas kepada ku dari medan pertempuran Badar kerana dia masih kecil.

Lalu ‘Umair pun menangis memohon supaya Rasulullah s.a.w. mengizinkannya keluar berjihad di jalan Allah. Akhirnya Rasulullah s.a.w. telah memberikan keizinan baginda.

(Kata Sa’ad), “Maka aku pun mengikatkan sarung pedangnya kepada tubuhnya. Dia telah menyertai peperangan Badar. Ketika itu dia hanya mempunyai sehelai janggut yang sering aku usap dengan tanganku.”
Di dalam kitab Al-Isobah dinyatakan, sebelum ‘Umair dilarang oleh Rasulullah s.a.w, dia dengan sembunyi-sembunyi telah cuba menyeludup di dalam barisan para Sahabat. Bila Sa’ad melihat keadaan adiknya itu, beliau telah bertanya lalu dijawab oleh ‘Umair r.a.,”Aku takut Rasulullah s.a.w. melihatku, lalu aku akan dihalangi pergi kerana aku masih kecil, sedangkan aku amat cinta untuk keluar berjihad, agar Allah mengurniakan kesyahidan kepada ku.” Ibnu Saad dan Al-Bazzar meriwayatkan bahawa Sa’ad r.a. menyatakan, akhirnya ‘Umair r.a. telah syahid ketika usianya baru sekitar enam belas tahun.

Dapatkah kita selami, apakah sebenarnya yang telah bergelora di dalam hati seorang remaja berusia enam belas tahun bernama ‘Umair bin Abi Waqqas ini?

Benarlah, sekali iman telah menjalar segar di dalam diri seseorang, segala-galanya sedia dikorbankan demi menyempurnakan tuntutan iman.

Friday, January 22, 2010

ALLAH-LAH AS-SOMAD!

Rasulullah s.a.w bersabda:

أول صلاح هذه الأمة باليقين و الزهد وأول فسادها بالبخل و الأمل – رواه البيهقي

“Permulaan keelokan umat ini ialah dengan yakin (yang sahih) dan kezuhudan, dan permulaan kerosakannya ialah dengan kebakhilan (yakni tidak mahu berbelanja di jalan Allah) dan angan-angan (berkenaan kemewahan dunia).” (HR Al-Baihaqi di dalam kitab Syu’bul-Iman).

Yakin di sini merujuk kepada keadaan keimanan kita kepada Allah dengan segala kesempurnaan sifat-sifatNya. Dengan segala keagungan Zat-Nya. Allah-lah satu-satunya Tuhan Yang Maha Tunggal lagi Hakiki Wujud-Nya. Dia-lah satu-satunya Pencipta, selain daripada-Nya, semuanya adalah ciptaan-Nya. Seluruh ciptaan-Nya, yakni makhluk ini, berhajat dan bergantung hanya kepada-Nya.

Allah s.w.t. sendiri menegaskan:

قُلْ هُوَ اللّهُ أحَدٌ اللّهَ الصَّمَدُ

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Dialah Allah, Yang Maha Esa; Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat.” (Al-Ikhlas 112: 1-2)

Allah itu Esa. Esa itu bermaksud, satu-satunya. Maka tempat bergantung segala makhluk juga hanya Satu, iaitulah Allah Taala. Daripada sebesar-besar makhluk seperti ‘Arasy; hinggalah yang paling kecil seperti molekul, zarah dan atom sekalipun, semuanya memerlukan Allah. Semuanya bergantung dan berhajat hanya kepada Allah.

Di dalam Tafsir Mafatihul-Ghaib oleh Imam Ar-Razi menyatakan, Ibnu Abbas r.a. berkata bahawa ketikamana turunnya ayat ini, lalu para Sahabat bertanya, “Apakah makna (الصمد)?” Lalu jawab baginda s.a.w.:
هو السيد الذي يصمد إليه في الحوائج
“Dia ialah Tuan yang bertumpu (dan bergantung harap) kepadanya segala hajat”. Intaha.

Imam At-Tobari pula menukilkan, “Ali telah meriwayatkan kepada kami, katanya telah meriwayatkan Abu Salah kepada kami, katanya: telah menceritakan Mu’awiyah kepadaku, daripada Ali, daripada Ibnu Abbas, berkenaan maksud firman-Nya (الصمد), katanya: (Zat)Yang Mulia yang mana paling sempurna ketinggian martabatNya, Yang Maha Mulia yang paling sempurna kemuliaanNya, Yang Maha Agung yang paling agung keagunganNya, Yang Maha Lemah lembut yang paling sempurna kelemahlembutanNya, Yang Maha Kaya yang paling sempurna kekayaanNya, Yang Maha Perkasa yang paling sempurna JabarutNya, Yang Maha Bijaksana yang paling sempurna kebijaksanaanNya; Dialah yang telah paling sempurna segala bentuk Kemuliaan dan Ketinggian, Dialah Allah Maha Suci Dia, ini semua adalah sifatNya, yang tidak layak sifat-sifat ini melainkan untuk-Nya.” Intaha.

Imam Al-Alusi di dalam Tafsir Ruhul-Ma’ani menyatakan, “Adapun perkataan (الصمد) berkata Ibnu Al-Anbaari, tidak ada perselisihan dalam kalangan ahli bahasa Arab bahawa ia bermaksud Ketua yang tidak ada lagi sesiapa di atasnya, yang mana tertumpu dan menuju kepadanya setiap orang dalam segala masalah hajat dan urusan mereka; berkata pula Az-Zajjaj, maksudnya seseorang yang terhenti kepadanya segala kemuliaan dan tertumpu kepadanya segala sesuatu.”

Imam Al-Alusi menukilkan lagi, “adapun daripada Abu Hurairah r.a., maknanya, Dia yang mana tidak memerlukan kepada sesiapa dan apapun, (sebaliknya) Dialah tempat berhajat kepada-Nya segala sesuatu; dan daripadab Ibnu Jubair, maknanya ialah Dia yang Maha Sempurna dalam segala sifat dan perbuatan-Nya.”Intaha.

Keyakinan sebeginilah yang perlu muktamad dalam hati kita. Hati kita perlu disinari sentiasa dengan suluhan makrifah ini. Hati kita perlu sentiasa terhubung dengan hakikat ini. Iman-yakin yang murni sebeginilah yang dituntut oleh Allah. Sebab itu dinamakan surah ini sebagai Al-Ikhlas. Ikhlas yang bermaksud “bersih sama sekali”, yang mana di dalam surah ini tidakn ada perkara lain yang disebutkan, baik perkara dunia mahupun perkara akhirat, yang ada hanya mensabitkan Allah dengan segala sifat kesempurnaan-Nya.

Perantaraan agar keyakinan ini terpasak teguh dalam hati ialah dua perkara, iaitu: Dakwah dan Doa. Dakwah kita perlu cakapkan lagi dan lagi, ajakkan lagi dan lagi, ceritakan lagi dan lagi, sebut-sebutkan lagi dan lagi, serukan lagi dan lagi hakikat ini kepada manusia lain; manakala doa pula ialah kita mohon daripada Allah seperti seorang peminta sedekah, dengan menangis-nangis kita merayu, agar Allah ‘sedekah’kan hakikat iman-yakin sebegini kepada kita.

Adakah kita bersedia melakukan dua perkara ini?

Saturday, January 16, 2010

Pemangku Raja imam solat hajat di stadium


Saya baca tajuk di atas dalam portal sebuah akhbar. Apabila saya tenung gambar ini, hati saya bagai disiram dengan air sedingin salji. Alangkah indahnya, apabila seorang raja mengimamkan rakyat jelatanya, sama-sama sujud merendah diri di hadapan Pencipta segala raja, Pemilik segala kerajaan.

Kata orang, sekeping gambar mampu bercerita melebihi seribu kata. Tiba-tiba hati saya berimpian, alangkah hebat dan indahnya, jika seorang Pemangku Raja ini dapat pula menjadi asbab, belasan paduka duli-duli tuanku raja-raja yang lain juga dapat mengimamkan solat kepada hamba rakyat mereka!
"Ampun Tuanku!"

Thursday, January 7, 2010

"Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku..."

Allah adalah Zat Wajib Wujud Yang Maha Esa lagi Satu-Satunya Maha Pencipta. Selain daripada Allah, semuanya adalah makhluk (yang diciptakan). Hanya Allah sahaja yang Khaliq (Sang Pencipta). Apa yang Allah kehendaki ada, barulah perkara itu akan ada. Dialah Allah, Tuhan yang tiada tuhan lain selain-Nya.

Tuhan Yang Maha Esa lagi Maha Mencipta inilah yang telah memanggil dan memperkenalkan Diri-Nya dengan nama Allah, "Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, Sembahlah akan daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati daku." (Toha 20:14)

Al-Imam Abu Ja'far At-Tohawi (wafat 321H) menyimpulkan di dalam kitabnya Al-Aqidah At-Tohawiyah, bahawa, "Sesungguhnya Allah Taala itu Tunggal tiada sekutu bagi-Nya, tiada yang seumpama dengan-Nya, tiada suatu apa pun yang dapat melemahkan-Nya, dan tiada tuhan lain selain-Nya: Sediada (qadim) dengan tiada permulaan, Berkekalan dengan tiada kesudahan, tidak binasa Dia dan tidak rosak Dia, tiada apa pun boleh berlaku melainkan apa yang Dia kehendaki, Tiada sampai akan Dia oleh segala waham, dan tiada mendapat akan dia segala faham; tiada menyerupai Dia akan al-anaam (jin dan manusia); Hidup tidak mati Dia, Berdiri Dia sendiri tanpa tidur Dia, Dia Yang Menjadikan tanpa berhajat, Yang Memberi rezeki tanpa rasa berat, Dia Yang Mematikan tanpa takut, Dia Yang Membangkitkan tanpa sebarang kesukaran; Sentiasa Dia serta segala sifatNya, sediakala sebelum ada makhlukNya, tidak bertambah Dia dengan sebab wujudnya mereka suatu apa pun (akan sesuatu) daripada sifatNya yang tiada ada dahulu daripada mereka itu, sebagaimana adalah Dia dengan sifat-sifatNya adalah sediakala azali, maka demikianlah juga sentiasa Dia atas sifat-sifat kekal abadi." Intaha.

Sesungguhnya Allah itu telah berhak dengan nama Al-Khaliq (Yang Maha Menciptakan) bukan kerana Dia telah menciptakan makhluk-Nya, tetapi itu adalah sifat-Nya yang azali sebelum Dia menciptakan segala sesuatu.

Dialah Allah. Rabbul-'alamin. Zat yang telah menciptakan dan mentadbir segala ciptaan-Nya. Dialah Rabb bagi seluruh alam. Bukan satu alam, bahkan ribuan alam ciptaan-Nya. Ada alam yang kita tahu, ada alam yang kita tidak tahu. Imam Ibnu Kathir menukilkan di dalam kitab tafsirnya, "dan Muqatil berkata, alam-alam itu ada 80,000 alam. Kata Ka'ab Al-Ahbar, tidak ada yang mengetahui jumlah alam ini melainkan Alla Azza Wa Jalla. Semua ini dinaqalkan oleh Al-Baghawi. Al-Qurtubi pula telah menceritakan daripada Abu Sa'id Al-Khudri bahawasanya dia berkata, sesungguhnya bagi Allah itu 40,000 alam; dunia ini dari timur hingga ke baratnya, itu baru satu alam daripada alam-alam (yang berjumlah 40,000 itu)." Intaha.

Hakikat ini bukan untuk dijadikan penglipulara, tetapi perlu dipasak ke dalam hati kita. Iman kita perlulah menjadikan hati kita dipenuhi dengan keyakinan hanya kepada Allah, bahawa Dialah satu-satunya Tuhan. Tiada tuhan lain selain Allah. Hati kita perlu dipenuhi dengan 'azmatillah (kehebatan dan keagungan Allah)! Sehingga kalimah "Allahu Akbar!", benar-benar menyebabkan kita melihat selain daripada Allah semuanya kecil. Kebesaran dan keagungan Allah ini akan menyingkirkan seluruh 'ghairullah' atau 'al-aghyaar' (yakni, apa sahaja selain Allah).

Keyakinan sebegini akan menyebabkan kita hanya terkagum dan terkesan dengan kebesaran Allah. Kekaguman ini akan menyebabkan kita hanya jatuh cinta dengan Allah. Cinta ini akan mendorong kita untuk mencintai apa sahaja yang Allah cinta, dan mendorong kita mencintai sesuatu hanya kerana Allah. Cinta ini juga akan mendorong kita untuk membenci apa sahaja yang dibenci oleh Allah, dan mendorong kita untuk membenci sesuatu kerana Allah. Semua ini akan membawa rasa manis kepada iman. Dek kerana yakin ini, akan menyebabkan kita menyakini sepenuhnya janji-janji Allah. Oleh itu, kita akan berusaha sekeras mungkin berwaspada, kerana kita takut menyinggung 'hati' Allah yang amat kita cintai. Kita juga akan berusaha sekeras mungkin, bak kata Saiyidina Umar Al-Khattab r.a., "Syammartu waj-tahaddtu!" (Aku akan berhati-hati dan bersungguh-sungguh!); yakni bersungguh-sungguh untuk menggembirakan Allah. Kegembiraan Allah Taala akan hanya dicapai melalui satu perkara sahaja, iaitu: Taat Perintah Allah, cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.!

"Laa ilaaha illalLah, Muhammadur rasulullah", inilah kalimah Iman.

Semua ini akan mudah untuk dijadikan hakikat, apabila kita dakwahkan perkara ini berkali-kali! Lagi dan lagi! Kita cakapkan lagi dan lagi. Kita sebut-sebutkan lagi dan lagi! Kita beritahu seluruh manusia lagi dan lagi! Kita sampaikan percakapan ini lagi dan lagi! Hinggalah kita tiada lagi!
"Sesungguhnya orang-orang Yang menegaskan keyakinannya Dengan berkata: "Tuhan Kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan Yang betul, akan Turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan Terimalah berita gembira Bahawa kamu akan beroleh syurga Yang telah dijanjikan kepada kamu. "Kamilah penolong-penolong kamu Dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh - pada hari akhirat - apa Yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh - pada hari itu - apa Yang kamu cita-citakan mendapatnya. "(Pemberian-pemberian Yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan dari Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani!" ( Fussilat 41: 30 -32)

Sunday, January 3, 2010

SOLUSI BIL. 15: Fadilat Sang Muhajir

Alhamdulillah, dengan izin Allah Taala, artikel saya untuk kolum bulanan di Majalah Solusi masih dapat diteruskan. Kali ini, kolum saya diletakkan di halaman 70 majalah. Saya kongsikan di sini artikel asal sebagaimana yang terdapat di dalam laptop saya. Semoga ada manfaatnya!

Berhijrah adalah satu amalan yang sangat mulia. Malah antara amalan yang paling atas dalam senarai amalan-amalan soleh. Allah s.w.t. sendiri menjadikan hijrah sebagai salah satu kriteria seorang yang benar-benar beriman. Dalam Al-Quran, amalan hijrah diseiringkan dengan amalan ‘Jihad fi Sabilillah’ (berjuang di Jalan Allah).


Antaranya, firman Allah s.w.t., mafhumnya:

“Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya; mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.” (Al-Anfaal 8:74)

Sebenarnya jika kita merujuk kehidupan para Sahabat radiyallahu ‘anhum, amalan hijrah dan jihad merupakan amalan telah sebati dengan diri mereka. Walaupun para Sahabat telah dibahagikan kepada dua gelaran, iaitu Muhajirin dan Ansar, namun sebenarnya apabila diteliti rutin kehidupan mereka; maka dapat kita simpulkan bahawa keadaan diri mereka hanya berkitar antara amalan Hijrah (meninggalkan kampung halaman atas maksud agama) dan Nusrah (membantu orang yang berhijrah kerana agama). Seorang tokoh mufakkir Islam iaitu Al-‘Allamah Asy-Syaikh As-Saiyyid Abul-Hasan Ali an-Nadwi pernah menyimpulkan di dalam satu suratnya bahawa orang Islam itu hanya terbahagi kepada dua golongan sahaja, tidak ada yang ketiga. Menjadi orang yang keluar (berhijrah) di jalan Allah (Muhajir) atau yang membantu orang yang sedang keluar (berhijrah) di jalan Allah (Ansar).

Imam Al-Qurtubi menyatakan di dalam tafsirnya, ayat di atas menyatakan bahawa orang-orang yang beriman ini telah benar-benar membuktikan keimanan mereka dengan (melaksanakan) amalan Hijrah dan Nusrah mereka; manakala Allah s.w.t. pula telah membenarkan keimanan mereka dengan bisyarah (berita gembira) melalui firman-Nya, “mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia” iaitu pahala yang besar di dalam syurga.

Sebagai gambaran betapa mulia dan tingginya fadilat amalan hijrah ini, dinukilkan satu kisah yang tercatat di dalam kitab Hayatus-Sahabah, Jilid 1, Bab Hijrah.

Diriwayatkan daripada Al-Baihaqi dari Ibnu Sirin, katanya: Diceritakan bahawa terdapat beberapa orang yang telah memuji Umar r.a. pada zamannya dan melebih-lebihkannya berbanding Abu Bakar r.a. Berita ini telah sampai kepada Umar r.a., lalu dia berkata, “Demi Allah, satu malam milik Abu Bakar lebih baik daripada (amalan) seluruh keluarga Umar. Begitu juga, satu hari yang dihabiskan oleh Abu Bakar adalah lebih baik daripada seluruh keluarga Umar!

Pada suatu malam, Rasulullah s.a.w. berangkat dari Makkah menuju gua Thaur, bersama Abu Bakar r.a. Sekejap Abu Bakar berjalan di depan Rasulullah s.a.w., dan sekejap dia berjalan di belakang baginda. Apabila Rasulullah s.a.w. menyedari hal ini, lalu baginda bertanya, “Wahai Abu Bakar, apa yang menyebabkan engkau berjalan sekejap di hadapanku dan sekajap di belakangku?”

Jawab Abu Bakar r.a., “Ya Rasulullah, apabila saya teringat musuh mengejar mu, maka saya berada di belakangmu. Apabila saya teringat yang mungkin musuh sedang menginati untuk menyerangmu, maka aku berjalan pula di hadapanmu.”

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Wahai Abu Bakar, jika terjadi apa-apa, apakah engkau lebih suka kalau itu menimpamu dan bukan menimpaku?”

Jawab Abu Bakar r.a., “Ya, demi Zat yang mengutuskan mu dengan kebenaran!”

Ketika mereka sampai di gua itu, Abu Bakar r.a. berkata kepada Rasulullah s.a.w., “Tunggulah di sini, wahai Rasulullah! Biarkan saya membersihkan dan membuangkan segala bahaya di gua ini terlebih dahulu.”

Kemudian dia masuk dan membersihkannya. Tiba-tiba dia teringat bahawa dia belum membersihkan sarang-sarang haiwan berbisa, lalu dia berkata, “Tunggulah sebentar di sini, wahai Rasulullah! Biarkan saya membersihkannya.” Kemudian dia masuk dan membersihkannya.

Setelah itu Abu Bakar r.a. berkata kepada Rasulullah s.a.w., “Turunlah, wahai Rasulullah s.a.w.” Kemudian Rasulullah s.a.w. pun turun daripada untanya.

Umar r.a. berkata, “Demi Allah yang jiwa ku di dalam gengaman-Nya, malam yang dihabiskan Abu Bakar bersama Rasulullah s.a.w. itu adalah lebih baik daripada seluruh keluarga Umar.”

Lihatlah, betapa Saiyidina Umar Al-Khattab r.a. memahami ketinggian fadilat walau satu malam sahaja keluar berhijrah di jalan Allah. Oleh yang demikian, semoga kita juga kini dapat memahami betapa pentingnya hubungan hijrah dengan usaha menegakkan agama sebagaimana yang dipesankan oleh Rasulullah s.a.w., “Wahai manusia! Berhijrahlah kamu sekalian (di jalan Allah) dan berpegang teguhlah dengan Islam, maka sesungguhnya hijrah tidak akan terhenti selama masih ada Jihad.” (HR At-Tobrani, dan sanadnya kesemuanya adalah thiqat, sebagaimana di dalam Majma’uz-Zawaaid 9/658)

Sempena tahun baru sama ada kalendar Hijri mahupun Masihi ini, marilah kita menghayati kembali ketinggian fadilat amalan Hijrah ini. Sebelum kita dijemput untuk berhijrah daripada alam dunia ini ke alam akhirat yang kekal abadi.

Friday, December 18, 2009

1,431 tahun selepas Hijrah Rasulullah s.a.w.

Hijrah telah dijadikan oleh Allah s.w.t. sebagai antara sifat orang yang benar-benar beriman. Hijrah juga merupakan satu sunnah. Peristiwa Hijrah merupakan satu garis mula, kemenangan yang hak atas yang batil. Saiyidina Umar ibn Al-Khattab r.a. amat memahami kepentingan dan kebesaran peristiwa Hijrah ini, lalu beliau ambil tahun berhijrahnya Rasulullah s.a.w. ke Yathrib (Madinah al-Munawwarah) sebagai tahun pemula kepada pengiraan dan penyeragaman kalendar atau takwim Islam.

Allah berfirman (mafhumnya):
“dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.” (Al-Anfaal 8:74)

Lalu, muncul sahaja tarikh 1 Muharram, maka umat Islam akan kembali mengingati peristiwa agung ini. Malangnya, disebabkan tahun demi tahun menyambut perayaan sempena mengingati peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w. ini, akhirnya kita menjadi leka dengan peristiwa itu sendiri. Kita lupa kepada peribadi-peribadi yang menjayakan hijrah itu. Kita lupa untuk mengenali dengan lebih mendalam, siapakah golongan yang digelar sebagai Muhajirin oleh Al-Quran. Kita semakin tidak mengenali siapakah mereka ini. Natijahnya, bak kata orang tua-tua, tidak kenal maka tidak cinta. Lalu cinta kita kepada golongan Muhajirin semakin luntur. Cinta kita kepada golongan yang telah membantu dan menyambut para Muhajirin, iaitu golongan Ansar juga menjadi pudar. Mata kita tidak lagi bersinar, apabila bercerita atau mendengarkan cerita tentang insan-insan terpilih ini.

Kita menjadi sibuk dengan slogan dan perarakan yang kita cipta. Hingga hati-hati kita hampir terputus untuk mengenali dan meminati golongan yang ditanda dengan bintang kehormatan oleh Al-Quran yang membawa gelar ‘Radiyallahu ‘anhum wa radhuu ‘anhu’ (Allah redha dengan mereka, dan mereka redha dengan Allah). Hijrah adalah satu peristiwa yang telah melahirkan apa yang disebut sebagai Muhajirin dan Ansar.

Allah berfirman, (mafhumnya):

“..dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.” (At-Taubah 9: 100)

Hijrah bukan sahaja berkitar tentang hijrahnya Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar r.a., malah peristiwa Hijrah ini sepatutnya kita bicarakan sama tentang hijrahnya Muhajirin dan bantuan (nusrah) yang diberikan oleh golongan Ansar. Seorang tokoh mufakkir Islam iaitu Al-‘Allamah Asy-Syaikh As-Saiyyid Abul-Hasan Ali an-Nadwi pernah menyimpulkan di dalam satu suratnya bahawa orang Islam itu hanya terbahagi kepada dua golongan sahaja, tidak ada yang ketiga. Sama ada menjadi orang yang keluar (berhijrah) di jalan Allah (Muhajir) atau yang membantu orang yang sedang keluar (berhijrah) di jalan Allah (Ansar).

Inilah yang sepatutnya terjadi. Setiap umat perlu meletakkan posisi mereka di dalam salah satu daripada dua kategori ini, sebagai Muhajirin mahupun Ansar. Formula hijrah dan nusrah ini akan terus menjadi resepi tuntas kehebatan dan kemuliaan ummah. Melalui hijrah dan nusrah ini, Kalimah Allah akan menjadi ‘Ulya [ العليا ](tinggi) dan Kalimah Kufur akan menjadi rendah Sufla [ السفلى ](rendah dan hina). Renungkan catatan Al-Quran berkenaan perkara ini semasa Al-Quran mengisahkan tentang peristiwa agung Hijrahnya Rasulullah s.a.w.. Allah berfirman (mafhumnya):

Wahai orang-orang yang beriman! mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: "Berangkatlah kamu beramai-ramai pada jalan Allah", kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.

Jika kamu tidak berangkat beramai-ramai (pada jalan Allah demi agama-Nya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, Iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang dia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah Engkau berdukacita, Sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(At-Taubah 9:38-40)

Melalui firman ini, Allah s.w.t. menyimpulkan bahawa natijah akhir daripada hijrah dan nusrah ini ialah akan tinggi dan mulialah Kalimah Allah. Bagi memahami perkara ini, maka kita kena merujuk kepada kehidupan para Muhajirin dan Ansar ini. Merekalah isi bicara yang perlu kita muzakarahkan bila memperkatakan tentang Hijrah.


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Wahai manusia! Berhijrahlah kamu sekalian (di jalan Allah) dan berpegang teguhlah dengan Islam, maka sesungguhnya hijrah tidak akan terhenti selama masih ada Jihad.” (HR At-Tobrani, dan sanadnya kesemuanya adalah thiqat, sebagaimana di dalam Majma’uz-Zawaaid 9/658)

Bersediakah kita?

Thursday, December 17, 2009

PEMBELIAN BUKU "MASJID ITU HIDUPKU" SECARA ON-LINE

Alhamdulillah, sekarang ini kepada sesiapa yang berminat untuk membeli buku "Masjid Itu Hidupku" secara on-line, boleh mendapatkannya melalui www.StormReaders.net/gunawan


Bagi memudahkan pesanan:
  1. Pergi ke lamanweb:http://www.StormReaders.net/gunawan
  2. Taip pada kotak Search perkataan 'masjid'
  3. Klik Search
  4. Ikuti arahan pesanan.

Dapatkan sama buku-buku lain terbitan Telaga Biru Sdn Bhd melalui e-kedai buku saya ini.

Kepada sesiapa yang berminat untuk memiliki e-kedai buku seperti saya ini, boleh hubungi saya melalui 016-3073379.

Thursday, December 3, 2009

SOLUSI BIL. 14: Terdorong oleh Fadilat, Tidak Ikhlas?

Alhamdulillah, segala puji dan puja hanya milik Allah, untuk Allah dan kepada Allah. Semata-mata dengan izin-Nya, artikel saya masih dapat mengisi kolum Fadhail A'maal di dalam majalah SOLUSI. Di sini saya perturunkan artikel asal sebagaimana yang terdapat dalam laptop saya. Semoga ada manfaatnya untuk kita semua:


Allah SWT berfirman, mafhumnya, “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar.” (Al-Baiyyinah 98:5)

Daripada Abdullah ibn Amr r.anhuma, dia berkata; telah bersabda Rasulullah s.a.w., “Ada empat puluh perkara (amalan kebaikan), dan amalan yang paling tinggi (darjatnya) antara amalan-amalan itu ialah ‘مَنِيحَةُ العَنْزِ ‘. Tidak ada seorang pun yang melakukan mana-mana amalan (daripada empat puluh) amalan itu, dengan mengharapkan pahalanya dan membenarkan janji-janji (pahala yang dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w), melainkan Allah akan memasukkan orang itu dengannya ke dalam syurga.” (HR Al-Bukhari, Bab Keutamaan Meminjamkan Kambing…)

مَنِيحَةُ العَنْزِ bermaksud, meminjamkan kambing kepada seseorang agar dia mendapat manfaat daripada susu kambing itu, kemudian kambing itu dipulangkan kepada pemiliknya.

Ada dalam kalangan umat ini, yang berpendapat bahawa jika kita beramal kerana terdorong dengan pahala, syurga dan fadhilat; maka itu telah menyalahi hakikat ikhlas yang sejati. Ini adalah suatu yang amat mengelirukan. Bagaimana kita sanggup membuat kesimpulan yang sedemikian, sedangkan Allah dan Rasul-Nya telah berulang-ulang kali menggunakan manhaj Tabsyir dan Inzar serta Fadhail A’maal di dalam Al-Quran dan As-Sunnah?

Malah dalam riwayat di atas, bukan sahaja kita dapat mengambil faham tentang pentingnya ikhlas dalam beramal, tetapi Rasulullah s.a.w. turut menyatakan fadhilat Ikhlas itu sendiri! Dorongan dan gesaan supaya kita beramal dengan ikhlas itu sendiri pun, Rasulullah s.a.w. menggunakan kaedah dan pendekatan Fadhail A’maal dalam menerapkan kepentingannya kepada umat baginda.

Ikhlas adalah rahsia daripada rahsia-rahsia Allah. Ikhlas merupakan benteng dan perisai seseorang hamba Allah dengan musuh-musuh hakikinya, yakni syaitan dan segala konconya. Ikhlas adalah syarat mutlak penerimaan sesuatu amalan. Ikhlas adalah ikatan hati seorang hamba dengan Tuhannya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Beruntunglah orang yang ikhlas. Mereka adalah pelita-pelita di dalam kegelapan malam, dan segala fitnah dan kezaliman akan hilang daripada mereka.” (HR Al-Baihaqi, sebahagian hadis sebagaimana di dalam kitab Syu’bil-Iman)

Beramal kerana dorongan sesuatu fadhilat yang telah dijanjikan oleh Allah dan Rasul-Nya sudah pasti tidak terkeluar daripada hakikat ikhlas. Malah inilah yang boleh menyelamatkan kita daripada sifat riyak dan syirik. Seseorang yang terdorong beramal dengan fadhilat pada hakikatnya telah terdorong kerana keimanannya dengan janji-janji Allah. Janji-janji yang tersimpul kukuh dengan keimanan kepada Allah, Rasulullah s.a.w., hari Akhirat dan perkara yang ghaib.

Hampir semua orang Islam mengetahui, bahawa bersolat dengan berjemaah itu ganjarannya 27 atau 25 kali ganda berbanding bersolat secara berseorangan. Apabila seseorang itu terdorong dan sanggup tinggalkan keenakan berehat di rumah bersama keluarga yang tercinta kerana janji 27 kali ganda ganjaran ini, bukankah itu semua menggambarkan betapa keyakinannya kepada janji-janji Allah. Walaupun janji Allah itu ghaib sifatnya dan manfaatnya akan terzahir hanya di akhirat. Ditambah pula dengan kefahaman bahawa, apabila Allah menyatakan bahawa sesuatu amalan itu lebih besar pahalanya daripada satu amalan yang lain, maka itu menunjukkan keredhaan Allah juga lebih besar kepada amalan tersebut.

Al-‘Allamah Ad-Da’iyah Al-Muhaddith Syaikh Muhammad Yusuf Al-Kandahlawi menyatakan, beramal dengan penuh keyakinan terhadap janji-janji Allah SWT, disertai pula dengan kerinduan dan keinginan terhadap pahala dan ganjaran yang ada di sisi Allah, inilah yang dinamakan sebagai Ihtisab ( احتساب ) di dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w.

Maka, bukankah ini semua adalah satu penghuraian kepada apa yang dikatakan sebagai ikhlas? Jelas di sini, Fadhail A’maal adalah medium paling ampuh bagi membentuk sifat ikhlas dalam beramal kepada Allah!

Saturday, November 28, 2009

Catatan dari kampung...

24 Ramadhan yang lalu, hari ulang tahun kelahiran saya mengikut kalendar Hijri. 23 November, ulang tahun mengikut hitungan kalendar Masihi. Tahun ini nampaknya ramai juga yang mengucapkan Selamat Ulang Tahun Kelahiran. Terutamanya daripada rakan-rakan Facebook. Ada yang betul-betul kenal, ada yang sekadar kenalan di alam siber. Apa pun, saya amat bersyukur dengan teknologi yang dibukakan oleh Allah kepada manusia hari ini. Bagaikan lapisan kulit bawang, Allah buka satu demi satu ilmu teknologi komputer dan maklumat. Segalanya adalah daripada khazanah Allah.

Walau bagaimana hebatnya pencapaian yang dicapai, kita perlu sedar, Yang Maha Pencipta hanya satu. Segalanya datang dan wujud daripada satu Iradat, iaitu Iradatullah (Iradat Allah). Tidak ada yang mampu terjadi, melainkan hanya dengan kehendak Allah. Apa yang Allah kehendaki terjadi, itu sahaja yang akan terjadi. Apa yang Allah tidak kehendaki, pasti tidak akan terjadi. Dan hanya Allah sahajalah Sang Pencipta, selain daripada Allah, segalanya diciptakan. Yang hanya satu dan satunya yang layak menyandang gelar Al-Khaliq ialah Allah. Selain daripadaNya semuanya adalah makhluk.

Seorang yang mempunyai basirah akan dapat melihat, bahawa segalanya ini adalah ciptaan Allah. Semuanya datang daripada Allah. Walau setinggi mana teknologi yang dikuasai manusia, semuanya tersimpan dalam batas cas-cas elektrik yang bergerak dan bersambung sekitar otak lembik manusia. Itu sahaja. Apa yang Allah bukakan kefahaman dan kemampuan kepada otak manusia, setakat itulah teknologi yang mereka akan capai. Sedangkan Allah, sejak azali telah pun mengetahui akan semua ilmu dan teknologi ini. Allah telah sedia tahu sejak mula akan semua zaman dan teknologi ini. Semuanya datang dan bersumber daripada satu sumber sahaja iaitu Khazanah Allah. Allah ciptakan semuanya agar Dia dikenal dan diketahui oleh sekalian makhluk-Nya.

Allah berfirman, "Allah Yang menciptakan tujuh petala langit dan (ia menciptakan) bumi seperti itu; perintah Allah berlaku terus menerus di antara alam langit dan bumi. (berlakunya Yang demikian) supaya kamu mengetahui Bahawa Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, dan Bahawa Sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmunya akan tiap-tiap sesuatu." (At-Tholaq 65:12)

Saya sangat bersyukur, melalui medium Facebook baru-baru ikatan silaturahim antara saya dan sepupu sebelah ibu saya dapat dieratkan. Oleh kerana saya dan adik-beradik dilahirkan dan dibesarkan di Kelantan, hubungan kami dengan sepupu sebelah Melaka menjadi amat terhad. Namun begitu, alhamdulillah, Allah bukakan hati untuk Azreen buatkan satu group khusus untuk kami sepupu-sepapat sebelah Melaka. Semoga Allah eratkan silaturahim sesama kami dan jadikan silaturahim ini sebagai sumber kemuliaan kami di sisi-Nya.


Aidil Adha masih lagi berlangsung. Hari-hari Tasyriq masih lagi bersama kita. 'Aidil Adha' adalah hari kita sempurnakan semangat pengorbanan demi Allah, Rasul dan agama. Ibadah sembelihan korban, menuntut pengorbanan. Apa yang Allah inginkan, bukan darah dan daging binatang korban itu, namun taqwa yang lahir daripada hati seorang hamba. Hati yang pasrah demi meraih perhatian dan cinta Allah. Taqwa ialah satu sifat yang terbit daripada hati seorang hamba yang amat sensitif dengan suka dan murka Allah. Hati yang berusaha sekuat mungkin untuk menjaga 'hati' Allah dengan penuh taat dan cinta. Inilah taqwa.

Allah berfirman, "Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah Taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya." (Al-Hajj 22:37)

Ibadah sembelihan, asasnya pengorbanan. Ibadah haji, penuh dengan pengorbanan. kemuncak pengorbanan ini ialah makrifah. Kata Rasulullah s.a.w. "Haji itu Arafah!" Berwukuf di Arafah adalah kemuncak. Berwukuf ertinya berhenti dan menetap seketika di Arafah. Apa makna Arafah? Arafah berasal dari akar kata, 'arafa - ya'rifu. Maka dari akar kata yang samalah perkataan makrifah! Berwukuf ialah saat seorang hamba dengan penuh pengorbanan dan penafian diri, merenung dan menghayati kebesaran Allah. Merasai kekerdilan diri, dan betapa indahnya hati seorang hamba - yang telah mewakafkan diri, harta dan masa mereka - berhubung (connected) dengan Allah SWT.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar... walillahil-hamd!


Semoga taufiq Allah sentiasa bersama kita!

Saturday, November 14, 2009

KECERDASAN SPIRITUAL (SQ) TERBILANG

KECERDASAN SPIRITUAL (SQ) TERBILANG
Oleh: Mohd Gunawan bin Che Ab Aziz

Era pertengahan 1990-an telah menyaksikan bagaimana bidang psikologi yang merupakan satu disiplin dalam dunia sains moden telah menerima ‘emosi’ sebagai satu kecerdasan penting. Dalam dunia psikologi, telah muncul satu angkatan yang dikenali sebagai Transpersonal Psychology, yang percaya bahawa di sana ada satu hal yang lebih jauh dan dalam mengenai kejiwaan manusia. Ini bermakna, ‘spiritual’ yang sebelum ini begitu sinonim dengan agama dan ahli agama, yang lebih difahami sebagai dogma dan ritual, telah mula diterima sebagai satu bentuk sains yang tersendiri.

Jika Daniel Goleman dikenali dengan EQ-nya, maka Danah Zohar dan Ian Marshall telah dikenali sebagai yang mempopularkan istilah ‘Spiritual Quotient’ (Kecerdasan Kerohanian) yang mana telah menyimpulkan di dalam buku “SQ: Spiritual Intteligence - The Ultimate Intelligence” bahawa Kecerdasan Kerohanian (SQ) ialah kecerdasan tertinggi yang dimiliki oleh insan. Kini perkataan ‘spiritual’ telah mendapat tempat di dalam kamus neurologi, pengurusan, korporat malah sukan. Danah Zohar telah pun memperkatakan tentang ‘Spiritual Capital’ (Modal Spiritual) melalui buku terbarunya ‘Spiritual Capital: Wealth We Can Live By’. Malah Majlis Sukan Negara Malaysia baru-baru ini telah menganjurkan satu Bengkel Kecerdasan Spiritual dan Doping kepada atlet Sukan Sea Korat negara.

Perkataan ‘spiritual’ itu sendiri bukanlah satu perkataan yang difahami secara detailnya dengan sekata. Bagaimanapun, tokoh-tokoh yang memperkatakannya bersetuju dengan satu konsep, bahawa seseorang insan itu mempunyai satu elemen yang sangat penting, iaitu spiritual. Satu elemen yang berkait dengan dimensi dalaman seseorang iaitu ‘roh, jiwa dan diri’.

Al-Quran sejak 1500 tahun dahulu telah memperkatakan berkenaan elemen ini, sebagai penerus kepada risalah yang dibawa oleh rantaian kitab-kitab samawi yang terdahulu. Al-Quran telah diturunkan dengan satu mukadimah yang jitu, iaitu satu penegasan bahawa manusia perlu ‘membaca’ asal kejadian mereka. Kajilah jasad lahiriah, sifat dan perlakuannya; akhirnya mereka tetap akan ‘sujud’ mengakui betapa di sana ada satu Zat ‘Allazi Khalaq’ (Yang Telah Menciptakan). Maka di sinilah dimensi rohaniah itu wujud (Q96:1-5). Dan pastinya inilah asas SQ yang paling tuntas. Kecerdasan ini dasarnya ialah natijah daripada satu proses cerapan akliah yang waras dan rasaan rohaniah yang halus, yang mana akhirnya mencetuskan satu tahap ‘pencerahan’ rohaniah (spiritual enlightenment) bahawa ‘diri’ itu mempunyai hubungan yang terlalu istimewa dengan Penciptanya; dan betapa Sang Pencipta Yang Maha Esa itu begitu ‘rapat’ dengannya (Q57:14).

Nabi Muhammad SAW merupakan insan pilihan yang mula-mula menerima suluhan wahyu tersebut, dan semestinya sebagai seorang Rasul Allah, Nabi Muhammad SAW adalah insan yang paling faham kandungan wahyu tersebut. Rasulullah SAW mengatakan, “Sesungguhnya, di dalam hati manusia itu ada seketul darah, jika elok, maka eloklah seluruh (anggota) jasadnya yang lain. Jika rosak, rosak seluruh (anggota) jasadnya yang lain. Ketahuilah, ia adalah hati!” (HR Al-Bukhari dan Muslim)

Maka hati adalah titik tolak segala gesaan rohaniah yang akan membentuk kerangka pemikiran minda. Kerangka pemikiran (paradigm) ini membentuk sikap dan tindakan; tetapi paradigma itu sendiri dibentuk oleh sistem kepercayaan (belief system). Seorang atheis ‘pandang-alam’nya (world view) pasti amat berbeza dengan seorang Muslim yang berkeyakinan bahawa alam ini ialah ciptaan Zat Sang Maha Pencipta.

Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, Al-Quran menggagaskan SQ itu mestilah bermula dan berakhir dengan satu pengiktirafan diri terhadap kewujudannya sebagai makhluk dan hamba kepada Al-Khaliq (Sang Maha Pencipta); iaitu Allah SWT. Ini merupakan satu sistem kepercayaan yang paling tuntas dan hakiki (the ultimate belief system). Keimanan yang berpaksikan ketauhidan yang murni kepada Tuhan Yang Maha Pencipta akan menerbitkan satu kekuatan dalaman dan kecerdasan tertinggi dalam memberi makna dan nilai kepada hidup dan kehidupan. Kecerdasan inilah yang akan memandu Kecerdasan Intelektual (IQ) dan Kecerdasan Emosi (EQ) untuk saling berinteraksi dan berpartisipasi.

Terdapat puluhan penulisan jika tidak ratusan yang memperkatakan tentang cirri-ciri seorang mempunyai SQ yang hebat. Cherian P. Tekkeveettil, contohnya telah menyenaraikan lapan kriteria utama seorang yang mempunyai SQ yang tinggi, seperti fleksibiliti, kesedaran kendiri, kebolehan menghadapi dan memanfaatkan penderitaan, kebolehan mendapatkan ilham dan berfikiran secara holistik. Manakala Dr. Yusuf Al-Qardhawi pula melalui khutbahnya yang diangkat menjadi buku bertajuk ’12 Peribadi Cemerlang Ibadurrahman: Ciri Yang Allah Sebut 1500 lalu’ memperincikan 12 ciri-ciri seorang mukmin yang hebat berdasarkan saranan ayat suci Al-Quran, Surah Al-Furqan 25:63-77. Sekadar mengambil dua contoh daripada dua peradaban yang berbeza, tetapi inti perbicaraannya masih sama. Malah penulisan terkini Dr. Stephen R. Covey yang tersohor dengan “7 Habits of Highly Effective Peoples”, iaitu bukunya “The 8th Habit: From Effectiveness to Greatness” dan juga satu hasil penerbitan De Jiao Hong Yang She yang bertajuk ‘Journey to The Underworld’ atau dalam bahasa asalnya ‘Diyu Youji’ masih dalam daerah perbincangan yang menyentuh mauduk yang sama.

Sesungguhnya, Al-Quran penuh dengan saranan dan gagasan agar seluruh kewujudan alam ini menjadi ‘trigger’ kepada insan agar sedar bahawa ‘Rabb’ mereka adalah Allah. Penyaksian bahawa Allah itulah ‘Rabb’ dan manusia adalah hamba-Nya yang istimewa dan mempunyai urusan yang istimewa merupakan kemuncak SQ yang perlu terjelma setelah menghayati saranan, ajakan, cabaran, tantangan, wacana, pujukan, perkhabaran, tamsilan dan renungan oleh Al-Quran. Malah ada cendekiawan ummah yang menyebut tentang ‘Quranic Quotient’ (Kecerdasan Kealquranan), dan juga 99Q iaitu ’99 Quotient’ yang digarap daripada 99 Asma Al-Husna Allah SWT. Malah, Ary Ginanjar Agustian telah memformula tauhid, enam rukun iman dan lima rukun Islam sebagai satu kesatuan yang memaparkan erti SQ melalui modul ESQ165 beliau yang semakin terkenal di Malaysia dewasa ini. Kesemua inilah adalah garapan akliah untuk menceritakan beberapa sudut daripada makna SQ yang ada di dalam Al-Quran.

Hati adalah medan kerohanian, maka usaha ke atas hati adalah medan yang paling tepat untuk pembinaan dan pemerkasaan SQ seorang insan. Al-Quran menyatakan, “Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya” (Q33:4). Hati ini kecil, inilah tempat tumpuan Allah SWT pada seseorang insan. Maka pencerahan spiritual ini mempunyai kesan langsung kepada perlakuan dan pentadbiran jasadi manusia. Hari ini, tidak ada mana-mana pakar pengurusan atau ekonomi yang dapat menafikan betapa etika, moral dan nilai merupakan perkara teras dalam mana-mana pengurusan hatta apa yang disifatkan sebagai korporat. Integriti atau luhur-akhlak menjadi inti kepada kejayaan sistem pengurusan mana-mana institusi.

Oleh yang demikian, melalui pengajian, pengkajian, pemerhatian dan penghayatan daripada tunjuk ajar guru-guru dan alim-ulama, penulis melihat SQ ini boleh diterbilangkan melalui enam sifat yang diusahakan ke atas hati:

(1) Asal Segala Sumber

“Kita perlu mengetahui sumber hakiki segala sesuatu, barulah kita akan berjaya mendapatkannya. Umpamakan kita ingin menggali perigi. Maka kita hanya akan berjaya mendapatkan sebuah perigi, jika tapak yang kita gali itu mempunyai sumber air. Jika tidak, penat sahajalah yang kita akan dapat. Atau kita sedang berusaha mencari suatu harta. Jika kita tidak mengetahui sumbernya, maka akan sukarlah mendapatkannya.”

Hati perlu dibawa dan dibimbing untuk mengenal dan mengakui secara hak dan bulat, sumber bagi segala sumber, iaitu Allah SWT. Tanpa tahu dan kenal sumber sesuatu, bagaimanakah kita mampu memperolehnya? Maka hanya ada satu sumber yang maha hakiki, iaitu Iradat dan Kudrat Allah SWT. Tiada satu perkara pun yang terjadi melainkan dengan kehendak-Nya; dan mustahil sama sekali ada perkara yang terjadi, di luar kehendak dan izin Allah SWT. Allah-lah Asal Segala Sumber, dan Allah-lah satu-satunya tempat pergantungannya ‘keperluan’ segala makhluk. “Allah-lah yang tiada tuhan melainkan Dia, Yang Maha Hidup lagi Maha ‘Qayyum’” (Q2:255). Al-Qayyum membawa maksud, “Yang Maha Berdiri Dengan Sendiri dan segala sesuatu yang lain bergantung hidup dengan-Nya.” Allah mengisytiharkan, “Sesungguhnya Allah menahan dan memelihara langit dan bumi supaya tidak binasa (dengan berganjak dari peraturan dan keadaan yang ditetapkan baginya) dan jika keduanya (ditakdirkan) berganjak maka tidak ada sesiapapun yang dapat menahannya daripada berlaku demikian selain dari Allah. Sesungguhnya Dia Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.” (Q35:41)

Tanpa pengenalan (ma’rifah) yang sempurna kepada Asal Segala Sumber ini, maka seolah-olah kita cuba mendapatkan sesuatu benda daripada sumber yang salah. Atas roh dan semangat inilah Rasulullah SAW menasihatkan anak saudaranya Hadrat Ibnu ‘Abbas RA dengan kata-kata, “Wahai budak! Sesungguhnya aku ingin mengajarkan kamu beberapa kalimah, (iaitu): Jagalah Allah, Allah akan menjaga kamu; jagalah Allah, kamu akan mendapati Dia akan berada di hadapan mu; apabila kamu meminta, mintalah dengan Allah!; apabila kamu memohon pertolongan, mohonlah daripada Allah!; Ketahuilah, jika berkumpul seluruh umat untuk memberikan kamu manfaat dengan sesuatu, nescaya mereka tidak dapat memberikan manfaat itu, melainkan apa yang telah Allah tuliskan bagi mu; dan jika mereka berkumpul untuk mengenakan mudarat kepada mu dengan sesuatu, nescaya mereka tidak akan mampu mengenakan mudarat itu melainkan dengan apa yang telah Allah tuliskan ke atas mu; sesungguhnya pena telah terangkat, dan lembaran (takdir) telah kering (dakwatnya)!” (HR At-Tirmizi).

(2) Membuka Khazanah

“Setelah kita mengetahui Khazanah yang mengandungi segala harta karun itu, maka sangat perlu kita tahu dan mampu membukanya. Jika kita sudah tahu khazanah itu, tetapi gagal membukanya, maka semuanya akan jadi sia-sia. Hanya mampu menjadi pameran dan objek untuk dibangga-banggakan saja.”

Setelah hati dapat mengenal di mana Asal Segala Sumber, lalu terbentang kepadanya Khazanah bagi segala sesuatu. Sesungguhnya, segalanya datang dari khazanah Allah. Daripada sehebat-hebat makhluk seperti ‘Arasy dan syurga, mahupun sekecil-kecil makhluk seperti atom sekalipun, segalanya datang dari khazanah Allah SWT. Maka untuk membuka peti khazanah ini, hendaklah sebagaimana cara yang telah disistemkan oleh Pemilik peti khazanah itu. Lalu Allah SWT sendiri telah berfirman, “Wahai orang-orang yang ada iman! Mintalah kamu pertolongan dengan sabar dan solat! Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar.” (Q2:153) Nyata sekali, kedua-dua perkara yang disebutkan di sini iaitu ‘sabar’ dan ‘solat’ adalah perkara yang semua orang mampu melakukannya dan tidak terikat dengan sebarang perkara yang berada di luar diri mereka sendiri.

(3) Jalan Yang Terang

“Setelah mengetahui tempat khazanahnya, anak kunci sudah berada di tangan, maka perlulah tahu pula jalan yang cepat dan selamat untuk sampai kepadanya.”

Maka ‘jalan’ di sini ialah ‘ilmu’, dan cahaya yang terang di sini ialah ‘zikrullah’. Hukama menyatakan, “Ilmu tanpa zikir adalah berbahaya; dan zikir tanpa ilmu adalah sia-sia.” Allah SWT telah memerintahkan Penghulu Segala Rasul iaitu Nabi Muhammad SAW agar memohon untuk sentiasa ditambahkan ilmu, sebagaimana firman-Nya, “Katakanlah (wahai Muhammad), “Wahai Tuhan ku, tambahkan bagi ku ilmu!” (Q20:114 ); sedangkan wahyu sentiasa diturunkan kepada baginda. Di tempat yang lain, firman-Nya, “Dan semua perumpamaan itu Kami bentangkannya kepada manusia, tetapi tiada seorang pun yang mampu memahaminya melainkan orang-orang yang berilmu.” (Q29:43) Seorang yang mempunyai SQ yang tinggi akan sentiasa mampu melihat dan mengetahui apa yang dikehendaki oleh Pemilik Dunia dan Akhirat dalam setiap masa dan keadaan. Sentiasa peka dalam melakukan sesuatu perkara, agar sentiasa dengan cara yang paling disukai oleh Allah SWT. Pada masa yang sama, sentiasa melaksanakan segala perintah-perintah-Nya dengan ingatan dan kesedaran yang sepenuhnya kepada Allah SWT.

(4) Menangkan Diri

“Apabila sumber segala khazanah telah dikenal pasti, cara untuk membukanya telah diketahui, jalan untuk menuju kepadanya telah dimaklumi; maka kita perlu ingat bahawa di sana juga terdapat ramai lagi orang yang berebut-rebut untuk mendapatkan khazanah ini. Umpamakan kita sedang menyertai acara ‘treasure hunt’. Oleh itu, kita kena menangkan diri kita.”

SQ yang mantap akan sentiasa mendorong tuannya untuk berusaha memenangkan diri mereka. Menang di sini maksudnya ialah bagaimana untuk memenangi ‘hati’ Allah SWT sebagai Pemilik Mutlak Segala Khazanah melalui hubungan sesama hamba-Nya. Seorang yang mempunyai SQ yang hebat, akan sentiasa melihat bahawa setiap diri saudaranya dan hubungannya dengan mereka adalah medan dan peluang keemasan untuk memenangi ‘hati’ Pencipta Segala Makhluk, iaitu Allah SWT. Rasulullah SAW menyingkapkan suatu hakikat, “…Dan Allah sentiasa menolong seseorang (hamba-Nya) itu selama mana dia menolong saudaranya.” (HR Ahmad).

(5) Perisai Penerimaan

“Setelah memenangi khazanah itu, sentiasa ada ancaman daripada musuh-musuh, semata-mata atas nama dengki dan iri hati. Maka kita perlulah sentiasa menjaga diri kita dengan perisai yang kukuh daripada ancaman dan gangguan musuh yang ingin melihat kita jatuh tersungkur dan binasa. Pada masa yang sama, kita mahu pastikan bahawa kemenangan kita itu sentiasa diiktiraf dan diterima oleh Penganjur perlumbaan ini.”

Musuh di sini adalah merujuk kepada syaitan (Q36:60) dan konco-konconya sama ada daripada kalangan jin dan manusia (Q114:4-6) bahkan daripada sekutunya iaitu nafsu ‘ammarah kita sendiri (Q12:53). Maka yang menjadi perisainya ialah ‘ikhlas’ (Q15:39-40) atau sekurang-kurangnya pada tahap sentiasa berusaha ‘mensahihkan niat’ (tashihun-niyyah). Allah SWT mengingatkan, “Dialah Yang Tetap Hidup; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; maka sembahlah kamu akan Dia dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepada-Nya semata-mata. Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Q40:65) Seorang yang mantap SQ-nya, akan memiliki kemahiran yang tinggi dalam mengenali musuh dan strategi-strateginya. Ini merupakan antara kemahiran hidup (living skill) yang terpenting bagi seorang insan.

(6) Pengorbanan Membara

“Setelah strategi dan rahsia-rahsia kemenangan telah dimiliki, maka kita perlu bersedia untuk mendapatkannya dengan bersungguh-sungguh. Bersedia untuk melakukan apa sahaja pengorbanan yang perlu, dalam masa yang sama mempunyai hasrat yang membara untuk membawa seramai mungkin ahli kumpulan kita untuk mendapatkan kemenangan itu.”

Rasulullah SAW telah menggariskan satu prinsip kerohanian yang amat penting, “Tidak (sempurna) iman seseorang kamu sehinggalah dia menyukai bagi saudaranya, apa yang dia suka untuk dirinya.” (HR Al-Bukhari, Muslim, Ibnu Majah, Ahmad dll.) Berpaksi kepada prinsip keimanan ini, SQ seseorang itu akan terbentuk untuk faham bahawa segala kebaikan dan apa saja yang boleh membuatkan manusia berjaya dan mulia di sisi Allah SWT, perlulah dikongsi, disebarkan, disampaikan, diuar-uarkan, dikempenkan, digagaskan dan diperjuangkan. Untuk maksud itu, mereka sedia untuk berhabis-habisan melalukan pengorbanan sama ada pemikiran, diri, harta, masa dan seluruh hidup mereka. Mereka penuh sedar bahawa kehadiran mereka di muka bumi ini bukan sekadar untuk menjadi hamba Allah yang cemerlang untuk diri mereka semata-mata; bahkan mereka dengan penuh keghairahan sedar bahawa mereka perlu menjadi terbilang secara ummah (khaira ummah) (Q3:110), umat penuh wibawa (ummatan wasatan) (Q2:143) dan secara taklifnya telah dipertanggungjawabkan untuk menjadi pewaris dan penerus risalah yang dibawa oleh insan-insan terbilang, iaitu para nabi dan rasul (Q42:13). Malah secara khusus, mereka telah dipertanggungjawabkan untuk menjadi pewaris misi kepada insan yang paling terbilang, iaitu Hadrat Habibullah Saiyidina Muhammad SAW (Q12:108)

Jika keenam-enam perkara ini benar-benar menjadi sebati di dalam hati seseorang, maka sudah pasti seseorang itu akan mempunyai satu pakej SQ yang lengkap. Pakej yang membuatkan seseorang itu cemerlang dan terbilang ‘hubungannya dengan Allah’ (hablum-minallah) dan terbilang pula ‘hubungannya dengan manusia’ (hablum-minannas). Tanpa mengira apa tahap pendidikan dan status sosial dan ekonomi seseorang itu, dengan enam perkara ini, membolehkan seseorang itu mengenali ‘diri’ mereka dengan begitu jelas; mempunyai definisi terhadap hidup dan mati dengan tepat; keghairahan untuk mengisi kehidupan dengan kebaikan dan dengan perkara yang terbaik; sentiasa dengan penuh kesungguhan dan kreativiti ingin memastikan kebaikan sentiasa dijulang; dan secara semula jadi akan menjadi pemangkin agar orang lain juga akan sentiasa berusaha untuk mendapatkan dan menyebarkan kebaikan.

Sejarah dunia telah menjadi saksi, generasi terbilang yang secara umumnya telah mencapai SQ sedemikian ialah generasi 300 tahun yang pertama umat ini. Merekalah ‘benchmark’ terbaik untuk kita dewasa ini, terutamanya generasi para Sahabat RA. Merekalah contoh yang pernah dicatatkan oleh sejarah bagaimana melalui pemilikan SQ mereka yang tinggi, mereka telah membangunkan satu sumber rahmat kerohanian, dan telah menyebarkan rahmat itu ke seluruh alam. “Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari kalangan orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan ihsan (sebaik-baik ikutan iman dan ketaatan), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.” (Q9:100) Adakah kita bersedia untuk menuruti jejak langkah mereka?

Monday, November 9, 2009

Benarkah Sayyidina Umar Pernah Membunuh Anak Perempuannya?

Saya teringat semasa bulan Ramadhan yang lalu, pada satu malam yang saya tidak ada jemputan tazkirah, jadi dapatlah saya pada malam tersebut menunaikan solat Isyak dan Tarawih di surau mahallah saya, Surau Al-Muhajirin, Presint 9. Kebetulan pula, pada malam itu, ada tazkirah. Satu tazkirah yang bersemangat dan penuh kesungguhan. Cuma, apabila tiba pada satu kisah, berkenaan bagaimana Saiyidina Umar r.a. dikisahkan sebagai telah membunuh anak perempuannya, suasana begitu beremosi. Apa lagi bila tuan penceramah, mengisahkannya dengan gaya deskriptif yang terperinci sekali. Bila tiba bab kisah ini, hati saya sudah berdebar. Lalu, apabila pulang ke rumah, saya telah buat carian di internet. Akhirnya saya ketemukan satu artikel, yang ditulis oleh Maulana Muhammad Asri Darul-Kautsar. Saya pernah ziarah Maulana Asri di madrasah Darul-Kautsar beliau.

Bila teringatkan artikel tersebut, saya fikir, elok juga jika saya panjangkan tulisan Maulana Asri ini. Walaupun bukan semua pendapat dan pengajaran Maulana Asri saya persetujui, tetapi artikel berkenaan sejarah Islam ini, amat saya muafakati. Wallahualam. Artikel yang saya perpanjangkan:

Ada beberapa buah buku yang disebarkan dengan agak meluas dalam masyarakat memuatkan kisah Sayyidina Umar r.a kononnya telah membunuh seorang anak perempuan dengan menanamnya hidup-hidup, seperti buku Sepuluh Sahabat Dijamin Ahli Syurga oleh Muhammad Ali Quthub, terbitan Pustaka Nasional Pte. Ltd (1984), ms. 50-51. Terdapat juga dua artikel yang disiarkan di dalam akhbar Harakah. Satunya disiarkan sebagai bahan bacaan untuk kanak-kanak di ruangan BESTARI (Harakah, 18 Disember 1998), dan satu lagi artikel hasil penyelidikan satu kumpulan yang memakai nama ILHAM (Harakah, 30 Nov. 1998). Kedua-duanya memuatkan cerita yang sama dengan sedikit perbezaan ibaratnya.

Jika cerita yang seperti itu disiarkan oleh musuh Islam tentu sekali tidak ada maksud lain lagi bagi mereka selain untuk memburuk-burukkan imej Sayyidina Umar r.a sebagai sahabat karib Rasulullah (s.a.w) dan khalifah agung umat Islam.

Cerita yang seperti ini jika disebarkan oleh kalangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah, pada pandangan penulis ada dua kemungkinan yang mendorong mereka menyebarkannya. Pertama, kerana jahil dan kedua adalah kerana menganggap kisah ini berlaku sewaktu Sayyidina Umar r.a berada di zaman jahiliah.

Apa peliknya andaikata semasa jahiliah itu Sayyidina Umar r.a telah melakukan demikian! Selain itu bukankah ini menunjukkan kehebatan Islam? Dengan kemampuannya yang luar biasa dalam mengubah dan membentuk peribadi manusia sehingga manusia yang sekejam Umar r.a itu pun setelah memeluk Islam menjadi sebaik-baik manusia malah pemimpin Islam contoh untuk umat Islam kemudian.

Bagi penulis tidak timbul soal kehebatan Islam dalam mengubah kehidupan manusia kerana ini telah pun terbukti melalui sekian banyak riwayat-riwayat yang sahih. Tetapi bagaimana dengan cerita kekejaman Sayyidina Umar r.a ini? Apakah kedudukannya? Adakah ia memang berasas atau ia hanya dongeng dan cerita rekaan semata-mata?

Alangkah berguna kepada para pembaca sekalian sekiranya penulis buku-buku dan artikel-artikel tersebutmengemukakan tempat rujukan kisah ini supaya amanah ilmiah yang mereka bawakan kepada orang ramai itu disampaikan dengan penuh tanggungjawab.

Kisah ini tidak akan dapat ditemui dan dikesan walaupun bayangnya di dalam kitab-kitab hadits atau kitab-kitab sejarah yang muktabar. Tentu sekali mulanya ia direka oleh musuh Islam tetapi sungguh malang sekali kita umat Islam hari ini kerana menerima apa saja yang disogokkan dalam bentuk cerita atau kisah-kisah sahabat padahal Rasulullah (s.a.w) telah pun bersabda yang bermaksud;

“Cukuplah seseorang itu menjadi pendusta apabila ia menceritakan apa saja yang didengarnya.” (Hadits Riwayat Muslim)

Tujuan penulis mengoreksi artikel-artikel ini tidak lain adalah untuk memelihara kesucian sejarah hidup sahabat Rasulullah (s.a.w), juga untuk memberi peringatan kepada umat Islam umumnya, pendakwah-pendakwah, penulis-penulis dan guru-guru agama khususnya supaya berhati-hati apabila membawa sesuatu kisah berhubung dengan Rasulullah (s.a.w) dan sahabat-sahabat Baginda (s.a.w) kerana mereka adalah cermin agama Islam.

Supaya lebih jelas kepada para pembaca, penulis putarkan kembali bahagian terpenting daripada kisah Sayyidina Umar r.a menanam hidup-hidup anak perempuannya (sebagaimana yang disiarkan di dalam akhbar tersebut). Begini ceritanya ...

“... Umar memejamkan mata. Anak itu ditendangnya masuk ke dalam lubang yang digalinya. la menangis. Umar tidak menghiraukannya. ... Umar menutupkan mata dan terfikir, “Oh! Anakku yang manis dan pintar. Mengapa kau dilahirkan sebagai perempuan?” la menangis. Tangannya gementar, tubuhnya menggigil. “Umar, jangan jadi pengecut,” tiba-tiba suara itu terdengar berulang kali di telinganya. Lalu sambil menahan kesedihannya, Umar meneruskan lagi menimbun pasir ke lubang tadi, sehinggalah anaknya itu menghembuskan nafasnya yang terakhir ...”

Selain kisah ini tidak terdapat di dalam kitab-kitab sahih dan muktabar, ia juga bercanggah dengan kaedah dirayah yang dipakai oleh ulama’ Islam dalam menilai sesuatu cerita.

Di antara alasan yang boleh dikemukakan ialah:

1. Tidak ada satu pun riwayat yang boleh dipertanggungjawabkan untuk membuktikan seorang pun daripada qabilah Quraisy pernah menanam anak hidup-hidup, apatah lagi untuk membuktikan Sayyidina Umar r.a membunuh anak perempuan sendiri.

2. Adat menanam anak perempuan hidup-hidup berlaku di kalangan setengah-setengah qabilah Bani Tamim dan Asad yang bimbangkan kepapaan menimpa mereka disebabkan anak-anak itu. (Mohd Tayyib an-Najjar, al-Qabasu al-Waddha’, ms. 78, Zakaria Bashier,The Meccan Crucible, ms. 24).

Sebagaimana adanya riwayat menyebutkan Qais bin Asim, seorang pemimpin qabilah Bani Tamim yang kemudiannya memeluk Islam, telah mengaku menanam hidup-hidup 8 orang anak perempuannya di zaman jahiliah,di sana terdapat juga riwayat menyebutkan seorang pemimpin dari qabilah yang sama telah menyelamatkan sekian ramai anak-anak perempuan daripada dibunuh oleh ibubapa mereka kerana takutkan kepapaan dengan membeli anak-anak perempuan itu.

Di antara pemimpin yang menonjol dalam usaha membasmi adat keji ini ialah Sa’sa’ah bin Naajiah, datuk kepada al-Farazdaq (seorang penyair Arab yang terkenal) dan Zaid bin Amar bin Nufail.

Sa’sa’ah telah membeli anak perempuan daripada kedua ibubapa mereka kemudian memelihara mereka hingga dewasa. Bilangan anak-anak perempuan yang dipeliharanya ialah 360 orang. (At-Thabarani dalam al-Mu’jamu al-Kabir, jilid 8, ms. 77). Sementara Zaid bin Amar bin Nufail pula tidak terpengaruh dengan masyarakatnya yang menyengutukan Allah (s.w.t) dengan sesuatu yang lain malah beliau mencari-cari kebenaran dan sedapat mungkin cuba mengesan serta mengamalkan saki-baki peninggalan agama Nabi Ibrahim (a.s). Beliau juga membeli anak-anak perempuan daripada ibubapa mereka lalu memeliharanya hingga dewasa. Kemudian beliau akan membawa anak perempuan itu kepada dua ibubapa masing-masing lalu berkata kepada mereka, “Jika kamu suka kepada anak perempuan kamu ini bolehlah kamu mengambilnya, atau kalau kamu tidak mahu biarlah anak-anak perempuan ini bersama saya.” (Bukhari, jilid 1, ms. 540.)

Zaid bin Amar bin Nufail bukan sahaja dari keluarga Sayyidina Umar r.a malah beliau merupakan sepupu Sayyidina Umar r.a sendiri. Adik perempuan Sayyidina Umar r.a menjadi isteri kepada anaknya Sa’id, manakala anak perempuan Zaid pula menjadi isteri Sayyidina Umar r.a sendiri. Takkanlah dalam keluarga yang terkenal dengan usaha-usaha suci menyelamatkan anak-anak perempuan daripada dibunuh oleh orang tua mereka, tiba-tiba seorang yang sangat menyerlah dan terpenting di kalangan mereka melakukan perbuatan terkutuk ini dengan membunuh anak sendiri!

3. Setelah Mekah dibuka, Rasulullah (s.a.w) berbai’ah dengan perempuan-perempuan mukmin. Di antara ucapan Baginda (s.a.w) ialah: “Kamu tidak lagi akan membunuh anak-anak kamu.” Hindun dengan spontan menjawab, “Kami memelihara mereka semasa kecil, apabila besar kamu pula yang membunuhnya.”

Peristiwa tersebut dicatatkan di dalam kitab-kitab hadits dan kitab-kitab sirah dengan jelas dan terperinci, kata-kata Hindun ini menunjukkan qabilah Quraisy tidak terlibat dengan adat yang keji ini.

Sabda Rasulullah (s.a.w) yang diriwayatkan oleh Imam Muslim juga membuktikan bahawa Quraisy tidak terlibat dalam pembunuhan anak-anak perempuan iaitu sabda Baginda (s.a.w) yang bermaksud;

“Sebaik-baik perempuan Arab ialah perempuan Quraisy. Mereka sangat penyayang terhadap anak-anak yatim sewaktu kecilnya dan mereka amat menjaga kedudukan dan harta benda suami.” (Sahih Muslim, jilid 16 ms. 81)

Apa ertinya pujian Nabi (s.a.w) mengenai sifat penyayang mereka terhadap anak-anak sekiranya mereka juga seperti qabilah-qabilah lain yang terlibat dengan adat membunuh anak? Sewaktu Nabi (s.a.w) diutuskan menjadi Nabi, Sayyidina Umar r.a ketika itu berumur 27 tahun. Anak-anak Sayyidina Umar r.a yang lahir sebelum Islam semuanya masih hidup. Mereka ialah Ummul Mukminin Hafsah, Abdullah bin Umar dan Abdul Rahman.

Dalam tradisi Arab, seseorang itu dikuniahkan dengan anak sulungnya. Sebagaimana kuniah Nabi kita (s.a.w) ialah Abu al-Qasim, kuniah Sayyidina Umar r.a ialah Abu Hafsin yang merujuk kepada Hafsah, anak perempuannya. Ini menunjukkan anak perempuan Sayyidina Umar r.a yang sulung ialah Sayyidatina Hafsah.

Perlu juga diperhatikan bahawa di sepanjang hayatnya, berapa ramaikah isteri Sayyidina Umar r.a dan juga hamba sahayanya di samping anak-anak beliau dengan mereka itu?

Kerana sejarah menyimpan semua maklumat isteri-isteri dan anak-anak Sayyidina Umar r.a, Imam Ibnu al-Jauzi dan lain-lain telah menyenaraikan isteri-isteri Sayyidina Umar r.a dan anak-anaknya serta hamba sahayanya. Beliau menulis, “Sayyidina Umar r.a mempunyai beberapa orang isteri dan mendapat ramai anak.” Isteri beliau ialah:

i. Zainab binti Maz’un. Zainab adalah saudara perempuan Utsman bin Maz’un yang terbilang di antara orang yang memeluk Islam di peringkat permulaan, juga merupakan saudara susuan Nabi (s.a.w). Dengan Zainab ini Sayyidina Umar r.a telah mendapat tiga orang anak iaitu Hafsah, Abdullah dan Abdul Rahman.

ii. Atikah binti Zaid bin Amar bin Nufail. Dengannya beliau mendapat seorang anak lelaki bernama ‘lyadh.

iii. Isteri yang ketiga ialah Jamilah binti Tsabit bin Aflah. Dengannya beliau mendapat seorang anak lelaki bernama ‘Aasim.

v. Ummul Hakam binti al-Harits bin Hisyam. Dengannya beliau mendapat anak perempuan bernama Fatimah.

v. Ummul Kultsum binti Jarwal bin Malik. Dengannya beliau mendapat dua orang anak bernama Ubaidullah dan Zaid al-Akbar.

vi. Ummul Kultsum binti Ali bin Abi Talib. Dengannya beliau mendapat dua orang anak bernama Zaid al-Ashghar dan Ruqayyah.

vii. Daripada hamba sahayanya yang bernama Fukayyah dan Luhayyah juga Sayyidina Umar r.a telah mendapat anak. Dengan Fukayyah dia mendapat anak perempuan bernama Zainab dan dengan Luhayyah beliau mendapat anak bernama Abdul Rahman al-Ausath dan Abdul Rahman al-Ashghar.

Jadi anak-anak Sayyidina Umar r.a adalah seperti berikut:

Lelaki:

1. Abdullah

2. Abdul Rahman al-Akbar

3. Abdul Rahman al-Ausath

4. Abdul Rahman al-Ashghar

5. Zaid al-Akbar

6. Zaid al-Ashghar

7. Ubaidullah

8. ‘Aasim

9. ‘lyadh


Perempuan:
1. Hafsah

2. Ruqayyah

3. Fatimah

4. Zainab

Daripada isteri pertamanya Zainab binti Maz’un, Sayyidina Umar r.a hanya mendapat tiga orang anak iaitu Ummul Mukminin Hafsah, Abdullah bin Umar dan Abdul Rahman al-Akbar. Hafsah adalah anak sulungnya dengan Zainab binti Maz’un, sebab itulah beliau dikuniahkan dengan Abu Hafsin.

Pada ketika beliau memeluk Islam, beliau mempunyai hanya 3 orang anak ini sahaja. Kalau begitu anak yang manakah yang ditanam hidup-hidup oleh Sayyidina Umar r.a itu? Apakah namanya dan apakah nama ibunya? Kalaulah Sayyidina Umar r.a betul-betul tidak suka atau bencikan anak perempuan, kenapa pula beliau sanggup memakai kuniah Abu Hafsin?

Selain daripada alasan yang disebutkan tadi, adakah logik Sayyidina Umar r.a baru mengetahui jantina sebenar anaknya hanya setelah anak itu berumur 4 tahun?

Mungkin juga orang yang mula-mula menyebarkan kisah ini terkeliru dengan riwayat Wadhin yang dikemukakan oleh Imam Daarimi di dalam Sunannya, atau mungkin ia pura-pura terkeliru.

Riwayat itu menyebutkan bahawa ada seorang lelaki mengadap Rasulullah (s.a.w) lalu dia berkata, “Wahai Rasulullah! Kami dahulu orang-orang jahiliah. Kami menyembah berhala dan membunuh anak-anak. Saya pernah mempunyai seorang anak perempuan. Bila saya memanggilnya dia berlari-lari datang kepada saya dan sangat ceria. Pada suatu hari saya memanggilnya. Dia terus mengekori saya. Berdekatan dengan tempat itu ada satu telaga. Saya memegang tangannya dan menolaknya masuk ke dalam telaga. Kata-kata terakhir yang terkeluar dari mulutnya ialah, “Ayah!”.”

Mendengar ceritanya itu Nabi (s.a.w) menangis. Orang-orang yang ada berdekatan dengan Nabi (s.a.w) berkata kepada orang itu, “Kamu betul-betul telah menyedihkan Rasulullah (s.a.w).” Nabi bersabda, “Orang ini datang bertanyakan sesuatu yang lebih penting dari itu.” Seraya Baginda (s.a.w) berkata kepada orang itu, “Ceritakan sekali lagi kisah itu.” Orang itu pun mengulangi lagi sekali kisah tersebut menyebabkan Rasulullah (s.a.w) menangis sehingga basah janggutnya.

Kemudian Nabi (s.a.w) bersabda, “Perkara-perkara yang telah dilakukan oleh mereka di zaman jahiliah telah dihapuskan oleh Allah (s.w.t) dengan masuknya mereka ke dalam Islam. Sekarang mulakanlah amalan-amalan yang lain.” (Sunan Daarimi, jilid 1, ms. 3)

Ini adalah satu kisah dari seorang yang tidak diketahui siapa orangnya dan apa namanya. Mungkin orang-orang yang mempunyai maksud jahat telah mengaitkan cerita ini dengan Sayyidina Umar r.a padahal cerita ini pun jika ditimbang dengan neraca ilmu riwayat juga tidak dapat disabitkan kerana Wadhin adalah merupakan perawi teratas, lahir pada tahun 80 H dan wafat pada 149 H, sedangkan dia tidak pula menceritakan perawi lain di atasnya. Tidak mungkin dia telah mendengar sendiri kisah ini 80 tahun sebelum kelahirannya!

Dalam istilah ilmu hadits, riwayat seperti ini dinamakan riwayat munqati’, kerana perawi di atasnya tidak disebutkan. Selain itu Wadhin itu sendiri adalah seorang yang dipertikaikan oleh ulama’ rijal hadits tentangnya. Imam Bukhari, Muslim dan Nasa’i tidak mahu menerima riwayatnya. Ibnu Saad berkata, “Dia seorang yang dhaif.” Abu Hatim berkata, “Setengah-setengah riwayatnya baik tetapi sesetengah yang lain sangatlah buruk.” Jauzajani berkata, “Riwayat-riwayatnya adalah lemah.” (Mizan al-I’tidal, jilid 4, ms. 336). Hafidz Ibnu Hajar menulis bahawa, “Ingatannya sangat teruk di samping tertuduh berfahaman Qadariyah.” (Taqribu at-Tahzib jilid 2 ms. 331)

Bila riwayat itu sendiri tidak tahan diuji, di samping orang yang berkenaan pula tidak disebutkan dengan jelas namanya, kenapa pula ada orang yang pandai-pandai mengaitkannya dengan Sayyidina Umar r.a? Tentu sekali perbuatan seperti ini tidak berani dilakukan dengan sengaja, kecuali oleh musuh-musuh Islam.