Monday, September 1, 2008

2 Ramadhan 1429H



Alhamdulillah, segala puji dan puja bagi Allah yang telah melimpahkan nikmatnya, sehingga kita masih dapat menikmati barakah, rahmat dan keagungan Ramadhan ini. Semoga taufiq Allah akan sentiasa mengiringi setiap detik dan nafas kita dalam Ramadhan ini. Moga setiap saat Ramadhan yang berlalu, merupakan pembinaan dan penambahan sifat Taqwa dalam diri kita.


Cerita tentang Ramadhan dan fardhu Puasa disentuh oleh Allah di dalam Al-Quran melalui ayat 183-188 surah Al-Baqarah. Segala yang berhubung dengan garis dasar tentang fardhu Puasa Ramadhan disentuh. Maulana Abdullah Yusuf Ali rah.a. yang tersohor dengan terjemahan dan tafsir Al-Qurannya dalam bahasa Inggeris menyimpulkan bahawa, melalui enam ayat yang mulia ini, Allah menggambarkan betapa ibadah Puasa itu mempunyai kaitan rapat dengan pengendalian empat kecenderungan nafsu manusia, iaitu: (1) makan; (2) minum; (3)syahwat; dan (4) kecintaan kepada harta.
Allah telah programkan Ramadhan dengan kefardhuan Puasa di dalamnya untuk membentuk sifat Taqwa. Setiap Mukmin yang menyertai program Ramadhan ini pasti akan dicenai dan dibentuk Taqwa mereka. Inilah janji Allah.

Jika kita perhatikan, dicelah-celah enam ayat Al-Baqarah ini, pada ayat yang ke-186, Allah mencelah dengan firman-Nya:

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. "



Seolah-olah, Allah ingin mengingatkan kita, bahawa elemen ibadah doa merupakan satu teras utama dalam bulan Ramadhan yang penuh barakah ini.

Daripada Abu Hurairah r.a., beliau telah meriwayatkan, bahawa telah bersabda Rasulullah SAW., "Tiga golongan yang tidak ditolak doa-doa mereka. Seorang yang berpuasa sehingga dia berbuka; seorang imam(pemerintah) yang adil; dan doa daripada orang yang dizalimi. Allah akan mengangkatnya melampaui awan dan terbuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah akan berkata, "Demi kemuliaan-Ku, pasti Aku akan menolong kamu walaupun selepas beberapa ketika!"
(رواه أحمد في حديث والترمذي وحسنه وابن خزيمة وابن حبان في صحيحهما كذا في الترغيب )




Cuba kita renungkan, keterangan dan gambaran suci keadaan Nabi kita Saiyidina wa Habibina Muhammad SAW berkenaan hal ini.



"Di dalam kitab Durril-Manthur terdapat hadith yang dinukilkan daripada Saiyidatina 'Aishah r.ha. bahawa apabila Ramadhan tiba, keadaan Nabi SAW akan berubah, Baginda akan menambahkan solatnya, sangat merendah diri dalam berdoa dan keadaannya dikuasai perasaan takutkan Allah SWT. Di dalam hadith yang lain beliau berkata bahawa sehingga ke akhir Ramadhan Baginda tidak akan datang ke tempat tidur.

Dinyatakan dalam satu hadith bahawa di dalam Ramadhan, Allah SWT memerintahkan malaikat penanggung Arasy supaya meninggalkan ibadah mereka masing-masing, dan hanya mengaminkan doa-doa orang yang berpuasa. Memang dapat diketahui dari banyak hadith bahawa doa-doa di dalam Ramadhan diterima secara khusus. Tidak ada apa-apa keraguan lagi dalam penyempurnaan perkara ini kerana Allah SWT telah berjanji, dan janji itu diberitakan pula oleh seorang Rasul yang benar."
Sekarang, cubalah kita renungkan. Ramadhan telah pun dua hari menjengah kita, bagaimanakah keadaan kita? Bagaimana doa kita?

"Oh Allah, jadikanlah Ramadhan kami adalah sebaik-baik hari hidup kami di atas muka bumi Mu ini.... Oh Allah, kesianlah pada kami!"

No comments:

Post a Comment