Bulan Ramadhan, keberkatan dan kehebatannya, bukan sahaja dirasai oleh orang-orang yang beriman di atas muka bumi ini, bahkan penghuni-penghuni Barzakh juga amat menanti-nantikannya. Malah Rasulullah SAW menyatakan, bila munculnya Ramadhan, "syurga-syurga akan turut dihias dengan seindah-indahnya".
Bukan sahaja kita di bumi ni yang 'huru hara' dengan ketibaan Ramadhan, malah sampai di syurga pun menjadi 'gempar' dengan kemunculannya....
Menyebut tentang syurga, saya tertarik dengan catatan tafsir Al-Fadhil Ustaz Muhammad Syamsol al-Muqri` al-Hafiz semasa menjelaskan ayat ke-25 Surah Al-Baqarah. Saya naqalkan catatan tersebut di sini:
(Mafhumnya) "Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan berbuat baik, bahwa bagi mereka disediakan surga-surga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Setiap mereka diberi rezki buah-buahan dalam surga-surga itu, mereka mengatakan : "Inilah yang pernah diberikan kepada Kami dahulu." mereka diberi buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya."
(Surah Al-Baqarah 2: 25)
Dalam ayat ini Allah swt memulai dengan menyebut “Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan berbuat baik”, yakni sampaikanlah berita gembira yang benar-benar ada dan menunjukkan pengkhabaran yang akan datang kepada hamba-hambaNya yang menyakini bahawa hanya Allah swt sahajalah sebagai Tuhan yang satu dan mereka mempercayai setiap apa yang dikhabarkan oleh Nabi Muhammad saw dan pastinya mereka sentiasa melakukan setiap apa yang diperintah Allah swt. “Berbuat baik” yang dimaksudkan ialah perbuatan baik yang dilakukan dan dilaksanakan dengan daya tubuh, daya fikir, daya qalbu dan daya hidup mereka selari dengan apa yang diajar oleh Nabi saw.
Pastinya amalan kebaikan yang dilakukan adalah sesuatu yang baik dan sesuai dengan manhaj Islam. Maksudnya, Allah swt memerintahkan Nabi Muhammad saw dan para pewarisnya dari kalangan ulama` agar menyampaikan berita gembira ini kepada orang-orang mukmin. Pastinya orang-orang yang mukmin juga akan mengamalkan segala amalan baik secara istiqomah sepertimana amalan Nabi saw.
Dalam hadith Sahih Muslim disebutkan : Hadist riwayat Aisyah Radhiyallahu 'anha : ia berkata:Dari Masruq, ia berkata: Aku bertanya kepada Aisyah tentang amal yang dilakukan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam, dia menjawab: Beliau senang beramal yang berkesinambungan. Yakni amalan secara istiqomah. Dalam hadith yang lain disebutkan : Dari Anas Radhiyallahu 'anhu , katanya: "Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam itu adalah sebaik-baik manusia dalam hal budipekertinya."
Oleh kerana itu, beriman tanpa beramal soleh adalah tidak sempurna bagi seorang hamba Allah swt. Ibarat dikatakan, “beriman tanpa wujud ketaatan adalah sesuatu yang tidak sempurna”.
Orang-orang yang beriman pastinya mereka mempercayai kedatangan hari akhirat dan mereka beramal soleh sebagai bekal mereka di sana. Mereka disebut Nabi saw sebagai orang-orang yang cerdik. Sepertimana sabdanya : "Orang yang cerdik - berakal - ialah orang yang memperhitungkan keadaan dirinya dan suka beramal untuk mencari bekal sesudah matinya, sedangkan orang yang lemah ialah orang yang dirinya selalu mengikuti hawanafsunya dan mengharap-harapkan kemurahan atas Allah - yakni mengharap-harapkan kebahagiaan dan pengampunan di akhirat, tanpa beramal shalih." Hadith at-Tirmizi.
Sesungguhnya berbuat baik dalam segala keadaan adalah sesuatu yang telah diwajibkan oleh Allah swt. Berbuat baik bukan sahaja pada perbuatan akan tetapi pada setiap gerak kerja dan langkah pada anggota tubuh manusia seperti pertuturan, hukuman dan hubungan sesama manusia. Sepertimana sabda Nabi saw : "Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam, barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetangga dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tamunya". Hadith Sahih al-Bukhari dan Muslim.
Sabda Nabi saw lagi : Hadist riwayat Ibnu Abbas Radhiyallahu 'anhu : ia berkata: Dari Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam tentang apa yang diriwayatkan dari Allah Taala bahwa Allah berfirman: “Sesungguhnya Allah mencatat kebaikan dan kejelekan. Kemudian beliau (Rasulullah) menerangkan: Barang siapa yang berniat melakukan kebaikan, tetapi tidak jadi mengerjakannya, maka Allah mencatat niat itu sebagai satu kebaikan penuh di sisi-Nya. Jika ia meniatkan perbuatan baik dan mengerjakannya, maka Allah mencatat di sisi-Nya sebagai sepuluh kebaikan sampai tujuh ratus kali lipat hingga kelipatan yang sangat banyak. Kalau ia berniat melakukan perbuatan jelek, tetapi tidak jadi melakukannya, maka Allah mencatat hal itu sebagai satu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya. Jika ia meniatkan perbuatan jelek itu, lalu melaksanakannya, maka Allah mencatatnya sebagai satu kejelekan”. Hadith Sahih Muslim.
Pada lafaz selanjutnya Allah swt menyebut “bahwa bagi mereka disediakan surga-surga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya”, yakni ganjaran yang dijanjikan buat mereka yang beriman ialah dengan taman-taman istimewa dan sungai-sungai yang mengalirkan air yang sungguh lazat. Inilah yang disebut sebagai syurga.
Sepertimana FirmanNya dalam surah al-Qomar yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa itu di dalam taman-taman dan sungai-sungai”. Syurga adalah makhluk yang diciptakan Allah swt sebelum Dia menjadikan manusia. Bahkan disebutkan syurga terlebih dahulu diciptakan Allah sebelum terciptanya langit dan bumi.
Dalam hadith qudsi disebutkan : Hadist riwayat Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu : ia berkata : Dari Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam , beliau bersabda: Allah berfirman: “Aku sediakan untuk hamba-hamba-Ku yang saleh sesuatu yang belum pernah dilihat oleh mata dan tidak pernah didengar oleh telinga serta tidak terbesit dalam hati manusia”. Bukti kebenaran itu terdapat dalam Alquran:
Maksudnya : Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka yaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyenangkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan. Surah as-Sajdah ayat 17
Disebutkan bahawa syurga mempunyai banyak tingkat-tingkatnya dan begitu juga nama-namanya. Disebutkan syurga itu bermacam-macam dan diantaranya ada yang dinamai sebagai al-Firdaus, `Adnin, Na`im, Darul Khuldi, Darussalam, al-Ma`wa, Darul Qoror dan Darul Jalal. Sabda nabi saw : “Syurga itu mempunyai seratus tingkat. Jarak setiap tingkat itu sama seperti antara langit dan bumi”. Hadith Sahih al-Bukhari. Sabdanya lagi : “Syurga ada seratus tingkat. Sekiranya dikumpulkan seluruh alam ini lalu dimuatkan dalam tingkat yang lain, nescaya ia masih lapang”. Hadith at-Tirmizi.
Dari sudut aqidah ahli sunnah wal jama`ah, telah sepakat ulama-ulama aqidah kita bahawa syurga adalah makhluk ciptaannya yang tidak pernah punah atau binasa sejak ia diciptakan dan syurga itu telah ada sekarang ini. Dalilnya ialah sewaktu Nabi saw berMi`raj, Nabi saw pernah masuk kedalam syurga dan menyaksikan keindahannya. Dalam hadith Sahih al-Bukhari dan Muslim disebutkan, sabda Nabi saw : “Lalu Jibril pergi bersamaku sampai ke Sidratul Muntaha dan Sidratul Muntaha itu tertutup oleh warna-warna yang aku tidak mengetahui apakah itu sebenarnya? Aku lalu dimasukkan ke surga. Tiba-tiba di sana ada bangunan-bangunan dari mutiara dan debunya berbau kasturi”.
Mengenai “mengalir sungai-sungai di dalamnya” yakni mengalirnya beberapa sungai di dalam syurga. Sabda Nabi saw, “Sungai-sungai di syurga akan mengalir dari bawah anak bukit atau gunung yang beraroma kasturi”. Hadith al-Iraqi.
Sabdanya lagi, “Ada empat gunung yang termasuk gunung syurga dan ada empat sungai yang termasuk empat sungai syurga, serta ada empat peperangan yang termasuk tempat peperangan di syurga”. Seorang sahabat bertanya, “Gunung apa itu”?, baginda menjawap, “Gunung Uhud yang ia mencintai kita dan kita pun mencintai, gunung Thur, gunung Libanon dan gunung Jaudi. Sungai-sungai ialah sungai Nil, sungai Eurat, sungai Saihan dan sungai Jaihan. Tempat-tempat peperangan itu ialah Badar, Uhud, Khandaq dan Khaibar”. Hadith at-Thobroni.
Nabi saw juga bersabda, “Sesungguhnya di syurga terdapat sebuah lautan air, lautan susu, lautan madu dan lautan anggur. Kemudian sungai-sungai itu dialirkan setelah penghuni syurga memasukinya”. Hadith at-Tirmizi.
Firman Allah swt dalam surah Muhammad ayat 15 yang bermaksud, “(Apakah) perumpamaan (penghuni) jannah yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa yang di dalamnya ada sungai-sungai dari air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai dari air susu yang tidak beubah rasanya, sungai-sungai dari khamar yang lezat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai dari madu yang disaring; dan mereka memperoleh di dalamnya segala macam buah-buahan dan ampunan dari Rabb mereka...”.
Dalam ayat ini Allah swt menyebut bahawa sungai-sungai di syurga itu airnya tidak mengalami perubahan pada rasa dan baunya. Begitu juga diriwayatkan bahawa sungai-sungainya juga adalah jernih dan tidak mengalami kekeruhan. Begitu juga rasa manis lagi berlemak dan tidak sama seperti air susu pada haiwan-haiwan ternakan. Manakala air anggurnya (khamar) tidak sama dengan di atas dunia, dimana rasanya manis dan lazat, begitu juga pada warna, bau, rasa dan pengaruh bagi yang meminumnya serta tidaklah mereka mabuk kerananya.
Disebutkan juga bahawa sungai anggur itu bewarna puteh bersih. Di dalam syurga juga terdapat sungai dari madu yang disaring dan bukanlah madu tersebut keluar daripada perut lebah melainkan sifat airnya lebih pekat, lebih manis, lebih jernih dan lebih wangi daripada madu di dunia.
Disebutkan juga bahawa sungai-sungai di syurga itu dipacarkan atau mengalir daripada beberapa syurga dan diantaranya yang disebutkan Nabi saw ialah hadith Ibnu Murdawaih, sabda Nabi saw, “Sungai-sungai ini (syurga) mengalir daripada syurga `Adn dari mata air yang ada didalamnya, kemudian terbelah menjadi banyak sungai sesudahnya”.
Sabdanya lagi, “Apabila kamu meminta kepada Allah, mintalah syurga Firdaus kepadaNya kerana sesungguhnya Firdaus adalah syurga yang paling tengah dan paling tinggi, darinya mengalir semua sungai disyurga dan di atasnya terdapat `Arsy Tuhan yang Maha Pemurah”.
Kata Anas bin Malik r.hu, “Sesungguhnya sungai-sungai syurga itu mengalir bebas di permukaan tanah (syurga), kedua sisinya adalah kubah-kubah dari mutiara dan tanahnya adalah minyak kasturi yang harum sekali”. Yakni sungai-sungai di syurga itu tidak mengalir sepertimana sungai-sungai di bumi yang wujud seperti parit-parit atau seumpamanya. Hadith Ibnu Abi ad-Dunya.
Sabda Nabi saw, “Barangsiapa yang minum khamar (air anggur yang disebut arak) di dunia kemudian dia tidak bertaubat kerananya, maka Allah mengharamkannya (minum) diakhirat”. Oleh kerana itu barangsiapa yang dimasukkan oleh Allah swt ke dalam syurga nescaya ia akan merasai kesemua jenis-jenis air yang disebutkan di dalam al-Quran dan hadith Nabi saw. Mereka itulah golongan orang mukmin yang mendapat keberuntungan yang besar dan itulah sebaik-baik pahala bagi golongan yang beriman yang beramal soleh. Sepertimana FirmanNya,
Maksudnya : Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang saleh, sesungguhnya akan Kami tempatkan mereka pada tempat-tempat yang tinggi di dalam syurga, yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, mereka kekal di dalamnya. Itulah sebaik-baik pembalasan bagi orang-orang yang beramal. Al-`Ankabut ayat 58.
FirmanNya lagi, maksudnya : Supaya dia memasukkan orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dan supaya Dia menutupi kesalahan-kesalahan mereka. dan yang demikian itu adalah keberuntungan yang besar di sisi Allah. Al-Fath ayat 5. Maksud ayat “Dia menutupi kesalahan-kesalahan mereka” yakni Allah swt yang Maha Pemurah mengampunkan dosa-dosa dan kekeliruan mereka. Allah swt tidak menghukum mereka atas hal tersebut, bahkan memaafkannya, mengampuni dan menutupi aib serta mengasihani mereka.
Selanjutnya Allah swt berfirman, “Setiap mereka diberi rezki buah-buahan dalam surga-surga itu, mereka mengatakan : "Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu”. Yakni setiap penduduk syurga akan diberi rezeki berupa buah-buahan sepertimana buah-buahan di dunia dan ketika penduduk dunia melihat buah-buahan itu mirip dengan buah-buahan di dunia maka mereka mengatakan, “inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu (di dunia)”.
Ada juga ulama tafsir yang berpendapat bahawa yang dimaksudkan “Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu”, yakni inilah yang telah dijanjikan kepada kami di dunia”.
Ada juga ulama yang berpendapat bahawa maksud “Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu” yakni di dalam syurga, kerana disana mereka diberi dan terus diberi, Apabila disajikan makanan dan buah-buhan kepada mereka pada awal siang, lalu merekapun memakannya, kemudian disajikan kembali kepada mereka seperti di waktu akhir siang, mereka berkata, “Inilah yang pernah diberikan kepada kami sebelumnya”.
Disebutkan dalam kitab-kitab tafsir bahawa, buah-buahan yang dikurniakan kepada penduduk syurga itu lebih kurang sama sahaja bentuknya sepertimana buah-buahan di syurga, walaupun begitu rasanya lebih lazat, lebih manis dan baunya lebih harum daripada kasturi. Begitu juga penduduk syurga akan dihidangkan dengan buah-buahan yang lain yang tidak pernah dilihat dan wujud di atas dunia.
Inilah juga yang disebutkan Allah swt pada lafaz yang selanjutnya, “mereka diberi buah-buahan yang serupa”, yakni bentuk seakan-akan buah-buahan di dunia tetapi berbeza dari sudut rasanya. Ada juga ulama tafsir yang berpendapat bahawa, penduduk syurga akan dihidangkan dengan buah-buahan yang sama warna dan bentuknya akan tetapi wujud perbezaan rasa diantara buah-buahan itu. Begitu juga warna, kualiti dan bentuknya sangat-sangat bagus dan cantik, tidak seperti buah-buahan di dunia yang wujud dengan sifat yang baik dan buruk.
Kata Ibnu Abbas r.hu, “Tiada sesuatupun di syurga yang menyerupai sesuatu di dunia, hanya namanya sahaja yang serupa”. Yakni buah-buahan syurga itu seakan-akan serupa dengan buah-buahan di dunia.
Dalam surah al-Waqiah Allah swt berfirman,, maksudnya : Dan buah-buahan dari apa yang mereka pilih. Yakni penduduk syurga akan terlebih dahulu memilih buah-buahan ketika dihidangkan kepada mereka sebelum memakannya. Dalam riwayat yang lain, mereka bebas memetik mana satupun buah-buahan yang mereka sukai.
Sabda Nabi saw, “Sesungguhnya apabila seseorang itu memetik suatu buah dari syurga, maka dari tempat yang dipetiknya itu akan muncul lagi buah yang lainnya”.
Diriwayatkan juga, Nabi saw menyebut bahawa di dalam syurga ada pohon yang dinamai dengan pohon bidara yang tidak berduri yang mengeluarkan buah-buahan yang mempunyai tujuh puluh dua rasa yang masing-masingnya berbeza antara satu sama lain.
Dalam hadith Muslim disebutkan, Nabi saw bersabda, “Sesungguhnya tadi aku melihat syurga lalu aku menerima setandan saja buahnya dan seandainya aku mengambil semuanya, nescaya cukup untuk kamu makan selama masih di dunia”.
Disebutkan juga bahawa, pohon-pohon yang mengeluarkan buah-buahan di syurga itu dinamai dengan pohon Thuba, pohon kurma, pohon pisang, pohon tin, pohon semangka dan labu. Sabda Nabi saw, “Tidak ada pohon di syurga kecuali batangnya berasal daripada emas”.
Sabdanya lagi, “Pohon kurma di syurga batangnya adalah zamrud berwarna hijau, dahannya adalah emas merah dan pelepahnya adalah pakaian penghuni syurga, buahnya sebesar kendi dan sedangkan warnanya seputeh susu, rasanya semanis madu, lembutnya selembut keju dan di dalamnya tidak ada isi”.
Semua nama-nama pohon ini dinamai dengan nama pohon di dunia kecuali pohon Thuba, sepertimana sabda Nabi saw, “Tidak ada satu pohon pun dibumi yang menyerupainya”.
Kata Anas bin Malik r.hu, “Di dunia ini, tidak ada buah yang menyerupai buah di syurga kecuali buah pisang”, sepertimana FirmanNya dalam surah al-Waqiah ayat 29.
Maksudnya : Dan pohon pisang yang bersusun-susun (buahnya).
Nabi saw pernah membaca surah ash-Shaffat ayat 146,Maksudnya : Dan Kami tumbuhkan untuk dia sebatang pohon dari jenis labu. Lalu beliau bersabda, “Labu dan semangka adalah buah dari syurga”.
Inilah juga yang firmanNya dalam surah al-Waqiah ayat 27 hingga 33:
27. Dan golongan kanan, Alangkah bahagianya golongan kanan itu.28. Berada di antara pohon bidara yang tak berduri,29. Dan pohon pisang yang bersusun-susun (buahnya),30. Dan naungan yang terbentang luas,31. Dan air yang tercurah,32. Dan buah-buahan yang banyak,33. Yang tidak berhenti (berbuah) dan tidak terlarang mengambilnya.
Pada ayat selanjutnya Allah swt menyebut “dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya”, yakni yang dimaksudkan ialah bidadari-bidadari yang disediakan buat suami-suami yang beriman dan beramal soleh di syurga.
Ulama menafsirkan bahwa para bidadari itu sentiasa dalam keadaan suci dan wujud hal-hal menjijikan atau kotor kepada mereka. Mereka adalah makhluk-makhluk Allah swt yang mendiami syurga dan menjadi pasangan buat lelaki yang soleh di syurga. Mereka ini tidak pernah haid, nifas, tidak ludah, tidak pernah buang air besar atau kecil, tidak pernah melahirkan anak dan tidak wujud juga sifat-sifat aib dan buruk sepertimana manusia. Mereka adalah makhluk Allah yang sentiasa suci bersih pada zahir dan batin mereka.
Inilah yang difirmankan Allah swt (maksudnya): Dan Kami lenyapkan segala rasa dendam yang berada dalam hati mereka, sedang mereka merasa bersaudara duduk berhadap-hadapan di atas dipan-dipan (tempat duduk istimewa). Al-Hijr ayat 47
Yakni di akhirat kelak, seorang isteri itu suci dari segala sesuatu yang dibenci oleh suaminya sewaktu di dunia. Oleh itu, di akhirat orang-orang mukmin itu suci dari segala kekurangan dan kesusahan yang terjadi di dunia.
Kata “azwaj” yakni isteri yang menjadi sumber kesenangan suami di dunia apabila ia solehah dan sumber kesengsaraan apbila ia tidak solehah. Bagi seorang lelaki di syurga akan mendapat pasangan yang terbaik dan solehah dengan bidadari-bidadari syurga yang menjadi penawar dan penyejuk hati suami. Lafaz “azwaj” menunjukkan lafaz jama` yakni seorang lelaki akan mendapat lebih seorang isteri di syurga.
Disebutkan juga dalam kitab-kitab tafsir dan kitab-kitab hadist, bahawa terdapat riwayat yang menyatakan bahawa wanita mukminah di dunia berstatus lebih baik daripada bidadari syurga, sepertimana yang dijelaskan Allah swt di dalam surah al-Waqi`ah ayat 35 hingga 38. FirmanNya :
35. Sesungguhnya Kami menciptakan mereka (Bidadari-bidadari) dengan langsung
36. Dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan.37. Penuh cinta lagi sebaya umurnya.38. (Kami ciptakan mereka) untuk golongan kanan.
36. Dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan.37. Penuh cinta lagi sebaya umurnya.38. (Kami ciptakan mereka) untuk golongan kanan.
Diriwayatkan dalam hadist a-Tirmizi, daripada Ummu Salamah r.ha bahawa saya bertanya : Ya Rasulullah, perempuan dunia lebih baik atau bidadari syurga? Baginda saw menjawap : “Bahkan perempuan dunia lebih baik daripada bidadari syurga seperti pakaian luar berbanding pakaian dalam”. Aku bertanya lagi : Ya Rasulullah mengapa mereka lebih baik? Baginda menjawap : “Kerana solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah `Azza wajalla”.
Disebutkan dalam hadist sahih juga bahawa seorang lelaki akan mempunyai dua orang isteri dan para ulama berpendapat bahawa salah seorang daripadanya adalah perempuan dunia (isteri di dunia) dan seorang lain adalah perempuan syurga (bidadari syurga).
Nabis saw pernah di tanya mengenai penciptaan bidadari, maka baginda saw menjawap : “Daripada tiga hal, bahagian bawah daripada kasturi, bahagian tengah daripada anbar dan bahagian atas daripada kapur barus. Rambut dan alis mereka yang hitam tebal terbuat daripada cahaya”. Hadist al-Tirmizi.
Nabi saw juga bersabda : “Aku bertanya kepada Jibril, ceritakan kepadaku bagaimana Allah menciptakan bidadari”. Jibril berkata kepadaku : Hai Muhammad, Allah menciptakan mereka dari potongan dahan anbar dan za`faran. Mereka ada tanda-tanda khusus. Pertama-tama sekali Allah swt menciptakan dada mereka dari kasturi putih yang sangat harum dan bahagian inilah yang memperindah tubuh.
Kata Ibnu Abbas r.hu : “Allah menciptakan bidadari dari hujung jari-jari kaki sampai lutut terbuat daripada za`rafan, dari lutut sampai dada terbuat dari kasturi yang sangat harum, dari dada sampai leher terbuat daripada anbar kelabu dan dari leher sampai kepala terbuat daripada kapur barus putih. Di kepalanya terpasang tujuh puluh ribu perhiasan dari tumbuh-tumbuhan syaqiq nu`man”.
Firman Allah swt : 22. Dan ada bidadari-bidadari bermata jeli,23. Laksana mutiara yang tersimpan baik.
Yakni penampilan mereka seakan-akan seperti mutiara kerana sangat putihnya dan kejernihannya sepertimana yang disebutkan dalam tafsir surah as-Saffat ayat 49, “seakan-akan mereka adalah telur (burung unta) yang tersimpan dengan baik”.
Maksudnya : Di sisi mereka ada bidadari-bidadari yang tidak liar pandangannya dan jelita matanya. As-Saffat ayat 48.
Ulama menafsirkan bahawa, mereka ini adalah para bidadari yang sentiasa menjaga kehormatannya dan tidaklah mereka ini memandang melainkan suami mereka sahaja. Sabda Nabi saw : “Tiada seorang hamba masuk syurga kecuali akan duduk di sebelah kaki dan kepalanya dua orang bidadari yang bermata jeltai, mereka bernyanyi dengan kemerduan suaranya, yang belum pernah jin dan manusia mendengar suara semerdu itu, mereka tidak menyanyikan rayuan-rayuan syaitan, namun berisi pembacaan tasbih dan pujian kepada Tuhannya”.
Lafaz yang selanjutnya Allah swt menyebut, “dan mereka kekal di dalamnya”, yakni inilah ganjaran buat mereka yang beriman dan beramal soleh, mereka akan duduk tinggal selama-lamanya di syurga dengan merasai pelbagai kenikmatan kehidupan di sana, bersama isteri yang bidadari yang tidak akan tua melainkan umur yang sebaya dengan suamimereka untuk selama-lamanya. Inilah yang disebutkan syurga akhirat yang wujud dan kekal abadi. Wa Allahu `alam.
---intaha---
"Oh Allah.. himpunkanlah aku di dalam syurga-Mu bersama-sama dengan mereka yang Engkau redhai!"
amin...amin...amin...
ReplyDeleteterima kasih sharingnya...
semoga bisa menjadi ilmu yg bermanfaat & Multi Level Pahala (MLP), amin...
selamat Berpuasa... semoga segala ibadah kita diterima oleh Allah SWT, amin...
sebagai tambahan, saya membuat tulisan tentang "Benarkah Kita Hamba Allah?"
silakan berkunjung ke:
http://achmadfaisol.blogspot.com/2008/09/benarkah-kita-hamba-allah-1-of-2.html
(link di atas adalah tulisan ke-1 dr 2 buah link benarkah kita hamba Allah?)
Apakah Allah juga mengakui bahwa kita adalah hamba-Nya?
semoga Allah menyatukan dan melembutkan hati semua umat Islam, amin...
salam,
achmad faisol
http://achmadfaisol.blogspot.com/