Tuesday, June 17, 2008

Cherating


Alhamdulillah, perjalanan kami daripada Putrajaya ke Cherating menepati jangkaan iaitu selama lebih kurang 4 jam. Rupanya kamilah keluarga yang terakhir sampai. Alhamdulillah, Program Perhimpunan Keluarga kami kali ini disertai oleh kesemua sembilan orang adik beradik saya termasuk keluarga mereka (bagi yang 'dah berkeluarga).

Dua program sebelum ini di Cameron Highland dan A'Famosa Melaka, kami kekurangan seorang adik beradik, kerana berada di Algeria. Alhamdulillah, kali ini semuanya ada. Sudah tentu Ma dan Abah kami amat gembira. Cuma yang tidak ada ialah Umair, anak sulung saya. Umair berada di madrasah beliau, Madrasah Miftahul-Ulum, Caw. Bukit Changgang, Banting.

Satu berita gembira untuk saya, Umair sudahpun menamatkan hafazan Juzuk ke-30 beliau. Inilah hadiah Hari Bapa yang paling berharga untuk saya. Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah... Insya Allah, beliau akan memulakan pula hafazan Juzuk ke-29. Mohon sama doakan, agar Allah mudahkan hafazan beliau.

"Oh Allah, atas sifat sebagai seorang bapa yang memikul amanah zuriat ini, ku mohon pada Mu, agar menjadikan seluruh zuriatku hingga hari Kiamat sebagai da'ie agama-Mu, mujahid di jalan-Mu, hafiz kitab-Mu, alim syariat-Mu dan pencinta sunnah Nabi-Mu (SAW)! Oh Allah, walaupun daku ini bapa yang penuh dengan kelemahan, hamba-Mu yang penuh dosa, namun harapanku kepada rahmat-Mu untuk zuriat-zuriatku ini mengatasi Arasy-Mu... Oh Allah, janganlah Kau hampakan hamba-Mu yang faqir ini...!"

Berbalik kepada Program Keluarga kali ini, saya sebagai abang sulung, merasa amat gembira sekali. Gembira, hajat Ma dan Abah melihat kami dapat berkumpul tercapai; gembira melihat adik-adik saya dapat berkasih-sayang; gembira kerana sekali lagi program ini dapat kami adakan.

Seperti biasa, program ini akan diisi dengan acara makan bersama, bermesyuarat hal-ehwal keluarga, mengadakan program untuk anak-anak kami, program sukaneka, program kekeluargaan seperti membina sand casttle etc. Kami menghabiskan tiga hari dua malam yang begitu membahagiakan. Berbincang, bersenda-gurau, makan bersama dsb.



Semoga Allah, terus-menerus menyatukan hati kami dengan kasih-sayang dan taufik hidayah daripada-Nya!

Di hujung program, saya termenung dan hati saya berbisik, "Alangkah indahnya, jika kami juga dapat sebegini di syurga nanti! Oh Allah... Satukanlah kami di syurga-Mu!"

Tiba-tiba saya teringat kepada satu ayat Al-Quran:

"Dan orang-orang yang bertakwa kepada Tuhannya di bawa ke dalam syurga berombong-rombongan (pula). Sehingga apabila mereka sampai ke syurga itu sedang pintu-pintunya telah terbuka dan berkatalah kepada mereka penjaga-penjaganya: "Kesejahteraan (dilimpahkan) atasmu, berbahagialah kamu! Maka masukilah surga ini, sedang kamu kekal di dalamnya". " (Az-Zumar 39:73)

Alangkah indahnya jika kami termasuk dalam rombongan sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT ini!

No comments:

Post a Comment