Saturday, June 21, 2008

Abacus and Mental Arithmetic








Pagi ini, Uwais dan Usaid telah menyertai Pertandingan Sempoa & Aritmetik Mental UC Mas (Bukan Cina) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-12 bertempat di Dewan Besar, Kampus Ibu Kota, Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Kata guru mereka, "Ini sebagai satu pendedahan dan sumber motivasi untuk mereka."

Peserta kiranya memenuhi dewan, dan terbahagi kepada dua kategori. Kategori yang menggunakan Sempoa @ Abacus dan kategori Mental Arithmetic. Pertandingan hanya mengambil masa selama lapan minit sahaja. Begitu pantas. Melihat kepada peserta-peserta muda menjawab soalan, adalah begitu menakjubkan. 100 soalan untuk hanya lapan minit.


Melihat juga kepada demonstrasi pengiraan Mental Aritmetik juga begitu mengujakan. Hati saya berbisik, "Maha Suci dan Maha Besar Allah yang telah memberikan kepada minda manusia kemampuan yang begitu hebat!"

Kuasa minda ini, adalah bukti nyata betapa benarnya firman Allah SWT bahawa manusia ini telah dipilih untuk menjkadi khalifah Allah di muka bumi ini. Sebagai khalifah, manusia telah dipersiapkan dengan kualiti dan kemampuan untuk melaksanakan tugas dan amanah ini. Terpulang kepada manusialah untuk mencungkil segala kehebatan ini. Dan saya melihat kemampuan manusia merangka dan membangunkan sistem Aritmetik dan juga alat Sempoa ini, adalah satu manifestasi kecil betapa Maha Pemurahnya Allah SWT.

Allah SWT telah melontarkan satu gesaan melalui firman-Nya:

"Dan pada diri kamu sendiri, tidakkah kamu lihat, (renungkan dan perhatikan)!"

Bagaimanapun, walau sehebat mana kemampuan yang diberikan; apa yang lebih penting ialah sejauhmana kehebatan dan kemampuan ini digunakan untuk menyempurnakan maksud dan tujuan manusia itu diciptakan! Setiap orang ada kehebatan dan kelebihan yang tersendiri. Itu pun sudah satu perkara yang hebat. Tapi perkara yang lebih hebat ialah bila seseorang itu mampu menggunakan kelebihan itu bagi memenuhi tujuan dia dijadikan oleh Allah SWT.

Oh Allah... terimalah hidup dan mati kami untuk Mu!

No comments:

Post a Comment