Sunday, February 21, 2010

"Baiti Jannati, Satu Realiti"

Alhamdulillah, dengan izin Allah, hari ini saya dapat bersama-sama dengan peserta program "Baiti Jannati, Satu Realiti" anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Selangor. Program berlangsung di Dewan Serbaguna (berhadapan dengan Masjid 'Ubudiyyah) Kampung Tasik Tambahan, Ampang. Banyak yang dapat saya ambil manfaat daripada para peserta. Wajah-wajah mereka menggambarkan keikhlasan. Iltizam mereka menunjukkan betapa cinta mereka kepada agama. Walaupun di dalam dewan yang sederhana tanpa penghawa dingin, disebelahnya pula berlangsung pertandingan futsal remaja; itu semua tidak menghalang para mukhlisin ini untuk terus sudi bersama saya.

Sudah agak lama saya tidak diminta untuk membawakan topik ini. Apabila saya diminta oleh Abang Isa dan Kak Ba'ayah daripada Reliance Standard untuk membawakan modul ini, saya amat bersyukur. Sekurang-kurangnya, apabila saya memimpin kursus kekeluargaan begini, ia menjadi peringatan dan medan muhasabah diri saya. Saya tidak menganggap saya pergi mengajar, tetapi lebih kepada untuk berkongsi.

"Baiti Jannati" sudah merupakan satu bentuk ungkapan yang sering disebut-sebutkan. "Rumahku, syurgaku." Begitulah terjemahannya. Ungkapan ini sering diwacanakan, diceramahkan, diforumkan dan dijadikan topik penulisan. Bagaimanapun, selalunya tetap berkitar kepada konsep dan falsafahnya. Oleh itu, untuk kali ini, saya berhajat untuk berkongsi dengan para peserta, plan tindakan yang boleh dilakukan secara praktikal - walaupun kecil - untuk menjadikan "Baiti Jannati" benar-benar satu realiti.

Perkara pertama yang perlu difahami ialah, "Baiti Jannati" membawa maksud bahawa rumah adalah tempat yang membawa kebahagiaan kepada kita. Manakala kebahagiaan itu pula, Allah tidak pernah kaitkan dengan sebarang kebendaan. Seseorang yang tinggal di dalam pondok kecil boleh bahagia, seseorang yang tinggal di dalam banglo juga boleh bahagia. Inilah keadilan Allah. Oleh kerana urusan rezeki adalah ketetapan qadha' dan qadar Allah, maka Allah tidak kaitkan bahagia dan derita dengan sesuatu yang diluar kawalan manusia. Kebahagiaan hanya bergantung sejauhmana ketenangan dicapai oleh hati manusia. Bagi mencapai ketenangan ini, hati hanya perlu dihubungkan dengan Sumber Segala Ketenangan, iaitu Allah Azza Wa Jalla. Itu sahaja.

Seorang yang miskin boleh hubungkan diri mereka dengan Allah, seorang yang kaya juga boleh hubungkan diri mereka dengan Allah. Seorang yang anak ramai boleh hubungkan diri dengan Allah, seorang yang tidak ada anak pun boleh hubungkan diri dengan Allah. Seorang yang tinggal di dalam istana boleh hubungkan diri dengan Allah, seorang yang tinggal di gubuk buruk pun boleh hubungkan diri dengan Allah. Allah tidak pernah pilih kasih, dan satu-satunya neraca ukuran Allah ialah agama. Sejauhmana kita bawa agama dalam diri kita, maka sejauh itulah juga hubungan kita semakin erat dengan Allah.

Inilah keadilan, dan rahmat yang amat besar daripada Allah untuk hamba-hambaNya. Semuanya mempunyai peluang yang sama rata di sisi Allah.

Kedua, saya mengambil pendekatan, untuk berkongsi dengan peserta cara yang paling mudah untuk membina hubungan hati kita dengan Allah. Mudah sahaja, ambillah wudhuk dengan sempurna. Wudhuk yang sepaling mirip dengan wudhuknya Rasulullah s.a.w. Kenapa wudhuk?Kalau kita belajar mana-mana kitab Fiqh sekalipun, pasti akan dimulakan dengan bab Taharah (Bersuci). Manakala cara taharah yang paling utama ialah berwudhuk. Tanpa wudhuk, tiadalah solat. Tanpa solat, tiadalah apa-apa lagi yang tinggal untuk seseorang itu di dalam Islam. Solat adalah sumber rahmat. Solat adalah sumber pertolongan Allah. Solat adalah mikraj umat. Solat adalah 'medan' pertemuan seorang hamba dengan Tuhannya.

Malangnya, kita hari ini sering membincangkan cara-cara solat yang bagus, baik dari segi kaifiat mahupun kekhusyukannya, tetapi kita sering terlupa, tanpa wudhuk yang sempurna, bagaimana solat boleh jadi sempurna? Tanpa kita khusyuk di dalam wudhuk, bagaimana kita dapat menikmati kekhusyukan di dalam solat? Oleh itu, tanpa solat yang bagus, bagaimana sesuatu keluarga itu mampu mendapat rahmat dan 'sakinah' (ketenangan hati) daripada Allah? Tanpa rahmat dan sakinah ini, adakah mungkin 'Baiti Jannati' dikecapi?

Oleh yang demikian, menyempurnakan wudhuk dan khusyuk di dalam wudhuk perlu menjadi plan tindakan yang paling asas dalam membina keluarga yang bahagia. Wudhuk perlu sempurna kaifiatnya, kadar airnya dan tahap hubungan hati kita kepada Allah semasa mengambilnya.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

من ذكر الله عند الوضوء طهر جسده كله فإن لم يذكراسم الله لم يطهر منه إلا ما أصاب الماء

"Sesiapa yang mengingati Allah ketika berwudhuk, disucikan seluruhnya jasadnya; jika dia tidak mengingati nama Allah maka tidak disucikan daripadanya melainkan anggota yang dikenakan air." (HR Abdur-Razzaq, sebagaimana di dalam Al-Jami'us-Soghir)

Seterusnya, saya mengingatkan betapa pentingnya enam komponen kehidupan diberikan perhatian yang seimbang. Keenam-enam komponen tersebut merupakan perkara yang dititikberatkan oleh agama, iaitu: kerohanian, keluarga, kewangan, kerjaya, kesihatan dan kemasyarakatan. Kesemua komponen ini perlu dirancang agar seimbang dan menepati kehendak-kehendak Allah.

Itulah antara beberapa perkara yang sempat saya kongsikan daripada jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Sebenarnya ada satu lagi perkara yang penting untuk dimasukkan di dalam plan tindakan membina keluarga yang bahagia ini, iaitu: menghidupkan majlis ilmu di setiap rumah. Saya berharap, ada kesempatan untuk saya sampaikan berkenaan majlis ilmu di rumah ini pada masa yang lain.

Semoga Allah ampunkan saya dan mengurniakan kepada saya kekuatan untuk amalkan apa telah saya kongsikan.

"Ya Allah, berlemah lembutlah dengan hamba Mu yang dhaif lagi faqir ini...."

Saturday, February 6, 2010

Abah.. Setahun yang berlalu...


20 Januari telah berlalu. Bermakna telah setahun Abah meninggalkan alam yang fana ini. Perpisahan yang akan sentiasa dikenang. Sementara hayat ini masih dikandung badan. Setahun yang amat pendek, kerana kadang-kadang diri ini hampir terlupa, yang Abah telah tiada. Abah sentiasa hidup dalam hati kami. Semoga setiap diri anak-anak Abah, akan menjadi sumber kemuliaan Abah di akhirat sana...

Mohon kesudian sidang pembaca, menghadiahkan bacaan surah Al-Fatihah kepada arwah ayahanda saya... Al-Fatihah!

Ini adalah gambar Abah, seminggu sebelum Abah meninggal dunia. Dirakamkan oleh adik saya, Nurul Hakim semasa kunjungan Abah ke Kuala Lumpur.

ARTIKEL SOLUSI BIL. 16: Gelora Iman Kala Usia Muda

Alhamdulillah, artikel saya masih diizinkan Allah SWT untuk dapat dikongsikan melalui Majalah Solusi. Disertakan di bawah ini artikel asal sebagaimana di dalam simpanan saya. Semoga ada manfaatnya.

Membicarakan tentang fadhail a’mal pada hakikatnya ialah berbicara tentang nilai redha Allah Taala terhadap sesuatu amalan atau sesuatu perkara. Melalui kelebihan dan keutamaan serta pahala yang dinyatakan terhadap sesuatu amal itu, akan menggambarkan tahap kesukaan dan keredhaan yang Allah s.w.t. letakkan kepada sesuatu amalan atau perkara. Maka, seseorang muslim yang benar-benar beriman, akan sensitif dengan nilai redha Allah s.w.t. ini. Inilah hakikat iman.

Di dalam satu hadis sahih yang amat masyhur dinyatakan, Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “ Tujuh golongan yang akan dilindungi oleh Allah di bawah teduhan rahmatNya, pada hari (kiamat) yang tiada sebarang lindungan melainkan lindungan rahmatNya: pemerintah yang adil; pemuda yang menggunakan masa muda remajanya dalam beribadah kepada Allah; lelaki yang hatinya sentiasa terpaut kepada masjid; dua orang yang berkasih-sayang antara satu sama lain kerana Allah – di mana mereka berkumpul dan berpisah kerana Allah; lelaki yang digoda oleh wanita bangsawan dan jelita, lalu dia berkata, “Sesungguhnya aku takutkan Allah!”; seseorang yang memberi sedekah secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak tahu sedekah yang diberikan oleh tangan kanannya; dan lelaki yang mengingati Allah s.w.t. berseorangan diri sehingga berlinangan airmatanya.” (HR Al-Bukhari, Muslim dan selain daripada keduanya).

Riwayat di atas telah menyenaraikan beberapa golongan manusia yang akan begitu bertuah untuk menerima fadilat yang amat besar, iaitu akan diletakkan di bawah naungan rahmat Allah s.w.t. Ini adalah fadilat yang amat besar kerana pada masa itu, tiada lindungan dan teduhan lain lagi yang boleh diharapkan, melainkan naungan rahmat Allah.

Merenungi senarai tujuh golongan ini, kita dapati Allah s.w.t. telah mengkategorikan secara khusus satu golongan, iaitu golongan remaja dan belia yang telah memenuhkan usia muda mereka dan membesar dalam keadaan beribadah kepada Allah. Betapa tinggi fadilat yang telah dikhususkan kepada mereka.

Tidak syak lagi, hadis ini telah diucapkan oleh Rasulullah s.a.w. di hadapan para Sahabat. Hadis ini telah diriwayat oleh Abu Hurairah, Abu Sa’id Al-Khudri dan beberapa orang Sahabat yang lain. Ini menunjukkan, sabda Rasulullah s.a.w. ini telah dilontarkan di majlis yang umum. Maka di antara kelompok para Sahabat yang pastinya turut mendengar atau diperdengarkan dengan sabdaan ini ialah golongan remaja dan muda mudi para Sahabat.

Fadilat yang amat hebat ini, sudah pasti akan menyemarakkan lagi hangat keimanan yang ada di dalam hati mereka. Fadilat yang semulia ini akhirnya telah membentuk jatidiri mukmin yang hakiki kepada anak-anak Sahabat ini. Sejarah telah mencatatkan, betapa tubuh-tubuh kecil remaja di zaman Rasulullah s.a.w. dan para Sahabat ini, hakikat iman yang mengalir di dalam diri mereka boleh membuatkan orang dewasa pada zaman kita hari menundukkan muka kerana malu!

At-Tobrani telah meriwayatkan bahawa Abdullah bin Zubair r.a. dan Abdullah bin Ja’far r.a. telah berbai’ah kepada Rasulullah s.a.w. ketika mereka berusia baharu tujuh tahun. Ketika Rasulullah s.a.w. melihat keduanya, baginda tersenyum dan menghulurkan tangan baginda, lalu membai’ah keduanya.

Satu riwayat turut menjelaskan, betapa tinggi tahap pengabdian remaja-remaja Sahabat ini dalam usaha mereka meraih darjat yang tinggi di sisi Allah s.w.t.

Dikeluarkan oleh Ibnu ‘Asakir dari Sa’ad bin Abi Waqqas r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. mengembalikan adikku ‘Umair bin Abi Waqqas kepada ku dari medan pertempuran Badar kerana dia masih kecil.

Lalu ‘Umair pun menangis memohon supaya Rasulullah s.a.w. mengizinkannya keluar berjihad di jalan Allah. Akhirnya Rasulullah s.a.w. telah memberikan keizinan baginda.

(Kata Sa’ad), “Maka aku pun mengikatkan sarung pedangnya kepada tubuhnya. Dia telah menyertai peperangan Badar. Ketika itu dia hanya mempunyai sehelai janggut yang sering aku usap dengan tanganku.”
Di dalam kitab Al-Isobah dinyatakan, sebelum ‘Umair dilarang oleh Rasulullah s.a.w, dia dengan sembunyi-sembunyi telah cuba menyeludup di dalam barisan para Sahabat. Bila Sa’ad melihat keadaan adiknya itu, beliau telah bertanya lalu dijawab oleh ‘Umair r.a.,”Aku takut Rasulullah s.a.w. melihatku, lalu aku akan dihalangi pergi kerana aku masih kecil, sedangkan aku amat cinta untuk keluar berjihad, agar Allah mengurniakan kesyahidan kepada ku.” Ibnu Saad dan Al-Bazzar meriwayatkan bahawa Sa’ad r.a. menyatakan, akhirnya ‘Umair r.a. telah syahid ketika usianya baru sekitar enam belas tahun.

Dapatkah kita selami, apakah sebenarnya yang telah bergelora di dalam hati seorang remaja berusia enam belas tahun bernama ‘Umair bin Abi Waqqas ini?

Benarlah, sekali iman telah menjalar segar di dalam diri seseorang, segala-galanya sedia dikorbankan demi menyempurnakan tuntutan iman.

Friday, January 22, 2010

ALLAH-LAH AS-SOMAD!

Rasulullah s.a.w bersabda:

أول صلاح هذه الأمة باليقين و الزهد وأول فسادها بالبخل و الأمل – رواه البيهقي

“Permulaan keelokan umat ini ialah dengan yakin (yang sahih) dan kezuhudan, dan permulaan kerosakannya ialah dengan kebakhilan (yakni tidak mahu berbelanja di jalan Allah) dan angan-angan (berkenaan kemewahan dunia).” (HR Al-Baihaqi di dalam kitab Syu’bul-Iman).

Yakin di sini merujuk kepada keadaan keimanan kita kepada Allah dengan segala kesempurnaan sifat-sifatNya. Dengan segala keagungan Zat-Nya. Allah-lah satu-satunya Tuhan Yang Maha Tunggal lagi Hakiki Wujud-Nya. Dia-lah satu-satunya Pencipta, selain daripada-Nya, semuanya adalah ciptaan-Nya. Seluruh ciptaan-Nya, yakni makhluk ini, berhajat dan bergantung hanya kepada-Nya.

Allah s.w.t. sendiri menegaskan:

قُلْ هُوَ اللّهُ أحَدٌ اللّهَ الصَّمَدُ

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Dialah Allah, Yang Maha Esa; Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat.” (Al-Ikhlas 112: 1-2)

Allah itu Esa. Esa itu bermaksud, satu-satunya. Maka tempat bergantung segala makhluk juga hanya Satu, iaitulah Allah Taala. Daripada sebesar-besar makhluk seperti ‘Arasy; hinggalah yang paling kecil seperti molekul, zarah dan atom sekalipun, semuanya memerlukan Allah. Semuanya bergantung dan berhajat hanya kepada Allah.

Di dalam Tafsir Mafatihul-Ghaib oleh Imam Ar-Razi menyatakan, Ibnu Abbas r.a. berkata bahawa ketikamana turunnya ayat ini, lalu para Sahabat bertanya, “Apakah makna (الصمد)?” Lalu jawab baginda s.a.w.:
هو السيد الذي يصمد إليه في الحوائج
“Dia ialah Tuan yang bertumpu (dan bergantung harap) kepadanya segala hajat”. Intaha.

Imam At-Tobari pula menukilkan, “Ali telah meriwayatkan kepada kami, katanya telah meriwayatkan Abu Salah kepada kami, katanya: telah menceritakan Mu’awiyah kepadaku, daripada Ali, daripada Ibnu Abbas, berkenaan maksud firman-Nya (الصمد), katanya: (Zat)Yang Mulia yang mana paling sempurna ketinggian martabatNya, Yang Maha Mulia yang paling sempurna kemuliaanNya, Yang Maha Agung yang paling agung keagunganNya, Yang Maha Lemah lembut yang paling sempurna kelemahlembutanNya, Yang Maha Kaya yang paling sempurna kekayaanNya, Yang Maha Perkasa yang paling sempurna JabarutNya, Yang Maha Bijaksana yang paling sempurna kebijaksanaanNya; Dialah yang telah paling sempurna segala bentuk Kemuliaan dan Ketinggian, Dialah Allah Maha Suci Dia, ini semua adalah sifatNya, yang tidak layak sifat-sifat ini melainkan untuk-Nya.” Intaha.

Imam Al-Alusi di dalam Tafsir Ruhul-Ma’ani menyatakan, “Adapun perkataan (الصمد) berkata Ibnu Al-Anbaari, tidak ada perselisihan dalam kalangan ahli bahasa Arab bahawa ia bermaksud Ketua yang tidak ada lagi sesiapa di atasnya, yang mana tertumpu dan menuju kepadanya setiap orang dalam segala masalah hajat dan urusan mereka; berkata pula Az-Zajjaj, maksudnya seseorang yang terhenti kepadanya segala kemuliaan dan tertumpu kepadanya segala sesuatu.”

Imam Al-Alusi menukilkan lagi, “adapun daripada Abu Hurairah r.a., maknanya, Dia yang mana tidak memerlukan kepada sesiapa dan apapun, (sebaliknya) Dialah tempat berhajat kepada-Nya segala sesuatu; dan daripadab Ibnu Jubair, maknanya ialah Dia yang Maha Sempurna dalam segala sifat dan perbuatan-Nya.”Intaha.

Keyakinan sebeginilah yang perlu muktamad dalam hati kita. Hati kita perlu disinari sentiasa dengan suluhan makrifah ini. Hati kita perlu sentiasa terhubung dengan hakikat ini. Iman-yakin yang murni sebeginilah yang dituntut oleh Allah. Sebab itu dinamakan surah ini sebagai Al-Ikhlas. Ikhlas yang bermaksud “bersih sama sekali”, yang mana di dalam surah ini tidakn ada perkara lain yang disebutkan, baik perkara dunia mahupun perkara akhirat, yang ada hanya mensabitkan Allah dengan segala sifat kesempurnaan-Nya.

Perantaraan agar keyakinan ini terpasak teguh dalam hati ialah dua perkara, iaitu: Dakwah dan Doa. Dakwah kita perlu cakapkan lagi dan lagi, ajakkan lagi dan lagi, ceritakan lagi dan lagi, sebut-sebutkan lagi dan lagi, serukan lagi dan lagi hakikat ini kepada manusia lain; manakala doa pula ialah kita mohon daripada Allah seperti seorang peminta sedekah, dengan menangis-nangis kita merayu, agar Allah ‘sedekah’kan hakikat iman-yakin sebegini kepada kita.

Adakah kita bersedia melakukan dua perkara ini?

Saturday, January 16, 2010

Pemangku Raja imam solat hajat di stadium


Saya baca tajuk di atas dalam portal sebuah akhbar. Apabila saya tenung gambar ini, hati saya bagai disiram dengan air sedingin salji. Alangkah indahnya, apabila seorang raja mengimamkan rakyat jelatanya, sama-sama sujud merendah diri di hadapan Pencipta segala raja, Pemilik segala kerajaan.

Kata orang, sekeping gambar mampu bercerita melebihi seribu kata. Tiba-tiba hati saya berimpian, alangkah hebat dan indahnya, jika seorang Pemangku Raja ini dapat pula menjadi asbab, belasan paduka duli-duli tuanku raja-raja yang lain juga dapat mengimamkan solat kepada hamba rakyat mereka!
"Ampun Tuanku!"

Thursday, January 7, 2010

"Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku..."

Allah adalah Zat Wajib Wujud Yang Maha Esa lagi Satu-Satunya Maha Pencipta. Selain daripada Allah, semuanya adalah makhluk (yang diciptakan). Hanya Allah sahaja yang Khaliq (Sang Pencipta). Apa yang Allah kehendaki ada, barulah perkara itu akan ada. Dialah Allah, Tuhan yang tiada tuhan lain selain-Nya.

Tuhan Yang Maha Esa lagi Maha Mencipta inilah yang telah memanggil dan memperkenalkan Diri-Nya dengan nama Allah, "Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, Sembahlah akan daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati daku." (Toha 20:14)

Al-Imam Abu Ja'far At-Tohawi (wafat 321H) menyimpulkan di dalam kitabnya Al-Aqidah At-Tohawiyah, bahawa, "Sesungguhnya Allah Taala itu Tunggal tiada sekutu bagi-Nya, tiada yang seumpama dengan-Nya, tiada suatu apa pun yang dapat melemahkan-Nya, dan tiada tuhan lain selain-Nya: Sediada (qadim) dengan tiada permulaan, Berkekalan dengan tiada kesudahan, tidak binasa Dia dan tidak rosak Dia, tiada apa pun boleh berlaku melainkan apa yang Dia kehendaki, Tiada sampai akan Dia oleh segala waham, dan tiada mendapat akan dia segala faham; tiada menyerupai Dia akan al-anaam (jin dan manusia); Hidup tidak mati Dia, Berdiri Dia sendiri tanpa tidur Dia, Dia Yang Menjadikan tanpa berhajat, Yang Memberi rezeki tanpa rasa berat, Dia Yang Mematikan tanpa takut, Dia Yang Membangkitkan tanpa sebarang kesukaran; Sentiasa Dia serta segala sifatNya, sediakala sebelum ada makhlukNya, tidak bertambah Dia dengan sebab wujudnya mereka suatu apa pun (akan sesuatu) daripada sifatNya yang tiada ada dahulu daripada mereka itu, sebagaimana adalah Dia dengan sifat-sifatNya adalah sediakala azali, maka demikianlah juga sentiasa Dia atas sifat-sifat kekal abadi." Intaha.

Sesungguhnya Allah itu telah berhak dengan nama Al-Khaliq (Yang Maha Menciptakan) bukan kerana Dia telah menciptakan makhluk-Nya, tetapi itu adalah sifat-Nya yang azali sebelum Dia menciptakan segala sesuatu.

Dialah Allah. Rabbul-'alamin. Zat yang telah menciptakan dan mentadbir segala ciptaan-Nya. Dialah Rabb bagi seluruh alam. Bukan satu alam, bahkan ribuan alam ciptaan-Nya. Ada alam yang kita tahu, ada alam yang kita tidak tahu. Imam Ibnu Kathir menukilkan di dalam kitab tafsirnya, "dan Muqatil berkata, alam-alam itu ada 80,000 alam. Kata Ka'ab Al-Ahbar, tidak ada yang mengetahui jumlah alam ini melainkan Alla Azza Wa Jalla. Semua ini dinaqalkan oleh Al-Baghawi. Al-Qurtubi pula telah menceritakan daripada Abu Sa'id Al-Khudri bahawasanya dia berkata, sesungguhnya bagi Allah itu 40,000 alam; dunia ini dari timur hingga ke baratnya, itu baru satu alam daripada alam-alam (yang berjumlah 40,000 itu)." Intaha.

Hakikat ini bukan untuk dijadikan penglipulara, tetapi perlu dipasak ke dalam hati kita. Iman kita perlulah menjadikan hati kita dipenuhi dengan keyakinan hanya kepada Allah, bahawa Dialah satu-satunya Tuhan. Tiada tuhan lain selain Allah. Hati kita perlu dipenuhi dengan 'azmatillah (kehebatan dan keagungan Allah)! Sehingga kalimah "Allahu Akbar!", benar-benar menyebabkan kita melihat selain daripada Allah semuanya kecil. Kebesaran dan keagungan Allah ini akan menyingkirkan seluruh 'ghairullah' atau 'al-aghyaar' (yakni, apa sahaja selain Allah).

Keyakinan sebegini akan menyebabkan kita hanya terkagum dan terkesan dengan kebesaran Allah. Kekaguman ini akan menyebabkan kita hanya jatuh cinta dengan Allah. Cinta ini akan mendorong kita untuk mencintai apa sahaja yang Allah cinta, dan mendorong kita mencintai sesuatu hanya kerana Allah. Cinta ini juga akan mendorong kita untuk membenci apa sahaja yang dibenci oleh Allah, dan mendorong kita untuk membenci sesuatu kerana Allah. Semua ini akan membawa rasa manis kepada iman. Dek kerana yakin ini, akan menyebabkan kita menyakini sepenuhnya janji-janji Allah. Oleh itu, kita akan berusaha sekeras mungkin berwaspada, kerana kita takut menyinggung 'hati' Allah yang amat kita cintai. Kita juga akan berusaha sekeras mungkin, bak kata Saiyidina Umar Al-Khattab r.a., "Syammartu waj-tahaddtu!" (Aku akan berhati-hati dan bersungguh-sungguh!); yakni bersungguh-sungguh untuk menggembirakan Allah. Kegembiraan Allah Taala akan hanya dicapai melalui satu perkara sahaja, iaitu: Taat Perintah Allah, cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.!

"Laa ilaaha illalLah, Muhammadur rasulullah", inilah kalimah Iman.

Semua ini akan mudah untuk dijadikan hakikat, apabila kita dakwahkan perkara ini berkali-kali! Lagi dan lagi! Kita cakapkan lagi dan lagi. Kita sebut-sebutkan lagi dan lagi! Kita beritahu seluruh manusia lagi dan lagi! Kita sampaikan percakapan ini lagi dan lagi! Hinggalah kita tiada lagi!
"Sesungguhnya orang-orang Yang menegaskan keyakinannya Dengan berkata: "Tuhan Kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan Yang betul, akan Turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan Terimalah berita gembira Bahawa kamu akan beroleh syurga Yang telah dijanjikan kepada kamu. "Kamilah penolong-penolong kamu Dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh - pada hari akhirat - apa Yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh - pada hari itu - apa Yang kamu cita-citakan mendapatnya. "(Pemberian-pemberian Yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan dari Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani!" ( Fussilat 41: 30 -32)

Sunday, January 3, 2010

SOLUSI BIL. 15: Fadilat Sang Muhajir

Alhamdulillah, dengan izin Allah Taala, artikel saya untuk kolum bulanan di Majalah Solusi masih dapat diteruskan. Kali ini, kolum saya diletakkan di halaman 70 majalah. Saya kongsikan di sini artikel asal sebagaimana yang terdapat di dalam laptop saya. Semoga ada manfaatnya!

Berhijrah adalah satu amalan yang sangat mulia. Malah antara amalan yang paling atas dalam senarai amalan-amalan soleh. Allah s.w.t. sendiri menjadikan hijrah sebagai salah satu kriteria seorang yang benar-benar beriman. Dalam Al-Quran, amalan hijrah diseiringkan dengan amalan ‘Jihad fi Sabilillah’ (berjuang di Jalan Allah).


Antaranya, firman Allah s.w.t., mafhumnya:

“Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya; mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.” (Al-Anfaal 8:74)

Sebenarnya jika kita merujuk kehidupan para Sahabat radiyallahu ‘anhum, amalan hijrah dan jihad merupakan amalan telah sebati dengan diri mereka. Walaupun para Sahabat telah dibahagikan kepada dua gelaran, iaitu Muhajirin dan Ansar, namun sebenarnya apabila diteliti rutin kehidupan mereka; maka dapat kita simpulkan bahawa keadaan diri mereka hanya berkitar antara amalan Hijrah (meninggalkan kampung halaman atas maksud agama) dan Nusrah (membantu orang yang berhijrah kerana agama). Seorang tokoh mufakkir Islam iaitu Al-‘Allamah Asy-Syaikh As-Saiyyid Abul-Hasan Ali an-Nadwi pernah menyimpulkan di dalam satu suratnya bahawa orang Islam itu hanya terbahagi kepada dua golongan sahaja, tidak ada yang ketiga. Menjadi orang yang keluar (berhijrah) di jalan Allah (Muhajir) atau yang membantu orang yang sedang keluar (berhijrah) di jalan Allah (Ansar).

Imam Al-Qurtubi menyatakan di dalam tafsirnya, ayat di atas menyatakan bahawa orang-orang yang beriman ini telah benar-benar membuktikan keimanan mereka dengan (melaksanakan) amalan Hijrah dan Nusrah mereka; manakala Allah s.w.t. pula telah membenarkan keimanan mereka dengan bisyarah (berita gembira) melalui firman-Nya, “mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia” iaitu pahala yang besar di dalam syurga.

Sebagai gambaran betapa mulia dan tingginya fadilat amalan hijrah ini, dinukilkan satu kisah yang tercatat di dalam kitab Hayatus-Sahabah, Jilid 1, Bab Hijrah.

Diriwayatkan daripada Al-Baihaqi dari Ibnu Sirin, katanya: Diceritakan bahawa terdapat beberapa orang yang telah memuji Umar r.a. pada zamannya dan melebih-lebihkannya berbanding Abu Bakar r.a. Berita ini telah sampai kepada Umar r.a., lalu dia berkata, “Demi Allah, satu malam milik Abu Bakar lebih baik daripada (amalan) seluruh keluarga Umar. Begitu juga, satu hari yang dihabiskan oleh Abu Bakar adalah lebih baik daripada seluruh keluarga Umar!

Pada suatu malam, Rasulullah s.a.w. berangkat dari Makkah menuju gua Thaur, bersama Abu Bakar r.a. Sekejap Abu Bakar berjalan di depan Rasulullah s.a.w., dan sekejap dia berjalan di belakang baginda. Apabila Rasulullah s.a.w. menyedari hal ini, lalu baginda bertanya, “Wahai Abu Bakar, apa yang menyebabkan engkau berjalan sekejap di hadapanku dan sekajap di belakangku?”

Jawab Abu Bakar r.a., “Ya Rasulullah, apabila saya teringat musuh mengejar mu, maka saya berada di belakangmu. Apabila saya teringat yang mungkin musuh sedang menginati untuk menyerangmu, maka aku berjalan pula di hadapanmu.”

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Wahai Abu Bakar, jika terjadi apa-apa, apakah engkau lebih suka kalau itu menimpamu dan bukan menimpaku?”

Jawab Abu Bakar r.a., “Ya, demi Zat yang mengutuskan mu dengan kebenaran!”

Ketika mereka sampai di gua itu, Abu Bakar r.a. berkata kepada Rasulullah s.a.w., “Tunggulah di sini, wahai Rasulullah! Biarkan saya membersihkan dan membuangkan segala bahaya di gua ini terlebih dahulu.”

Kemudian dia masuk dan membersihkannya. Tiba-tiba dia teringat bahawa dia belum membersihkan sarang-sarang haiwan berbisa, lalu dia berkata, “Tunggulah sebentar di sini, wahai Rasulullah! Biarkan saya membersihkannya.” Kemudian dia masuk dan membersihkannya.

Setelah itu Abu Bakar r.a. berkata kepada Rasulullah s.a.w., “Turunlah, wahai Rasulullah s.a.w.” Kemudian Rasulullah s.a.w. pun turun daripada untanya.

Umar r.a. berkata, “Demi Allah yang jiwa ku di dalam gengaman-Nya, malam yang dihabiskan Abu Bakar bersama Rasulullah s.a.w. itu adalah lebih baik daripada seluruh keluarga Umar.”

Lihatlah, betapa Saiyidina Umar Al-Khattab r.a. memahami ketinggian fadilat walau satu malam sahaja keluar berhijrah di jalan Allah. Oleh yang demikian, semoga kita juga kini dapat memahami betapa pentingnya hubungan hijrah dengan usaha menegakkan agama sebagaimana yang dipesankan oleh Rasulullah s.a.w., “Wahai manusia! Berhijrahlah kamu sekalian (di jalan Allah) dan berpegang teguhlah dengan Islam, maka sesungguhnya hijrah tidak akan terhenti selama masih ada Jihad.” (HR At-Tobrani, dan sanadnya kesemuanya adalah thiqat, sebagaimana di dalam Majma’uz-Zawaaid 9/658)

Sempena tahun baru sama ada kalendar Hijri mahupun Masihi ini, marilah kita menghayati kembali ketinggian fadilat amalan Hijrah ini. Sebelum kita dijemput untuk berhijrah daripada alam dunia ini ke alam akhirat yang kekal abadi.