Monday, September 7, 2009

Artikel dalam majalah SOLUSI Bil. 11

Alhamdulillah, dengan hanya izin-Nya, siri artikel saya dalam majalah SOLUSI masih dapat diteruskan dalam SOLUSI Bil. 11 (September 09) ini. Dinukilkan artikel tersebut di bawah:

Dalam siri yang lalu kita menyatakan bahawa Al-Quran mengandungi banyak gesaan Allah Taala mengenai fadilat sesuatu perkara. Ada yang dinyatakan secara umum, dan ada yang dinyatakan secara khusus. Renungilah firman-firman Allah Taala dengan sorotan basirah yang terbuka.

Allah Taala memaklumkan:

“Wahai orang-orang yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya); (dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga "Adn ", itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya), dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.” (Ash-Shaff 61: 10-13)

Ayat ini memaklumkan fadilat seorang yang berjuang menggunakan diri dan harta mereka di jalan Allah ialah:

1. Keselamatan daripada azab neraka;
2. Keampunan ke atas dosa-dosa;
3. Dimasukkan ke dalam syurga;
4. Mendapat nusrah (pertolongan) Allah; dan
5. Mendapat kemenangan di dunia.

Menerusi ayat yang lain pula, Allah Taala menceritakan fadilat dan ganjaran bagi amalan infaq (membelanjakan harta pada jalan Allah):

“Bandingan (infaq) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.” (Al-Baqarah 2: 261)

Fadilat membelanjakan harta pada jalan Allah seperti bersedekah dan berwakaf ialah:

1. Diberikan ganjaran paling minimum sebanyak 700 kali ganda;
2. Oleh kerana infaq itu diumpamakan sebagai benih, menunjukkan ia akan terus berkembang dan berpanjangan pahalanya; dan
3. Berpotensi untuk diberikan ganjaran berlipat ganda tanpa batas.
Ayat-ayat yang mengandungi fadilat yang sebeginilah yang telah menjadi satu tenaga dan jazbah keimanan yang telah menggerakkan generasi salafus-soleh yang terdahulu bersedia mengorbankan diri dan harta mereka di jalan Allah.

Imam Ibnu Kathir di dalam kitab tafsirnya telah menukilkan bahawa Ibnu Mas'ud r.a telah menceritakan, "Apabila turun ayat ini [Siapakah orangnya yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipat-gandakan balasannya?], berkatalah Abu Dahdaah Al-Ansari r.a, "Ya Rasulullah! Adakah Allah memerlukan 'pinjaman' daripada kami?", lalu dijawab oleh Rasulullah s.a.w., "Benar, wahai Abu Dahdaah!" Lalu Abu Dahdaah r.a. berkata, "Hulurkan tanganmu ya Rasulullah", lalu dicapainya tangan suci Rasulullah seraya berkata, "Sesungguhnya aku berikan 'pinjaman' kepada Tuhanku kebun saya ini!"

Abu Dahdaah r.a mempunyai kebun yang mengandungi 600 pokok tamar yang mana beliau dan keluarganya tinggal di situ. Lalu dia pergi kepada isterinya dan berkata, "Wahai isteriku Ummu Dahdaah, marilah keluar daripada sini, sesungguhnya aku telah memberikan kebun ini sebagai pinjaman kepada Tuhanku Azza Wa Jalla!"

Di dalam riwayat yang lain, berkata Ummu Dahdaah r.ha. kepadanya, "Beruntunglah perniagaanmu wahai Abu Dahdaah!" Abu Hurairah ra menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah membahagi-bagaikan kebun itu kepada beberapa orang anak yatim.

Semangat dan tahap keimanan sebegini, pada hakikatnya adalah dibentuk oleh gagasan Fadhail Amal yang telah diwarnakan oleh Allah melalui Kitab-Nya dan oleh Baginda Rasul s.a.w. melalui sunnah-sunnah Baginda!

Melihat secebis kepada fadilat infaq atau bersedekah ini, tidak tergerakkah hati kita untuk menyeluk saku kita dan menghulurkan infaq kita seikhlas, semampu dan sesegera yang mungkin? Tepuk dada, tanyalah iman!
Renungan:
Lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan ini. Adalah diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. sememangnya seorang yang sangat pemurah, tetapi apabila tibanya bulan Ramadhan, Rasulullah s.a.w. akan menjadi lebih pemurah. Ayuh kita tanamkan dalam hati kita keghairahan penuh keimanan dan keyakinan kepada janji-janji Allah, untuk memperbanyakkan sedekah. Kita berazam untuk tidak hanya menanti peluang bersedekah malah kita yang mencari peluang bersedekah. Semoga tidak ada hari yang berlalu, tanpa kita dapat bersedekah pada hari itu!

1 comment:

  1. TQ sudi ziarah blog saya.

    TQ kerana berkongsi ilmu dgn umat sekelian. Saya doakan Allah kurniakan keberkatan buat saudara selagi mana nawaitu ikhlas kerana Allah.

    ReplyDelete