Alhamdulillah, milik Nya jualah segala puji-pujian. Dialah Al-Khaliq, semata-mata Dia. Tidak pernah sama sekali dikongsi kedudukan satu-satunya Maha Pencipta. Yang menciptakan daripada tiada kepada ada. Dialah satu-satunya Penguasa, atas segala ciptaan Nya. Segalanya hanya tunduk kepada masyii-ah dan iradah Nya. Dialah Allah, tiada Tuhan lain selain Dia.
Setelah beberapa hari suara saya hilang, asbab batuk-batuk. Beberapa kuliah juga terpaksa ditangguhkan. Akhirnya saya terpaksa juga memenuhi jemputan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai salah seorang penceramah di dalam kursus "Pengurusan Emosi" di Suria Cherating Beach Resort, Cherating, Pahang. Suara saya sebenarnya masih lagi serak, tetapi memandangkan masa yang amat singkat untuk mendapatkan pengganti, saya terpaksalah meneruskan juga perkongsian ilmu dengan peserta kursus ini. Lagipun, untuk modul "Tafakkur Zihni", sememangnya saya seorang sahaja yang mengajarkannya. Itupun setelah puas berbalas SMS dengan urusetia kursus iaitu En Gopal (Kaunselor di KBS), akhirnya dengan diiringi permohonan maaf, saya terpaksa penuhi juga jemputan ini.
Slot saya telah dipinda kepada sebelah malam. Setelah memandu kira-kira empat jam daripada Putrajaya, akhirnya saya sampai di Cherating kira-kira jam 6.30 petang. Setelah menikmati jamuan BBQ bersama para peserta, kelas malam itu diadakan bermula jam 9.00 malam hingga ke 11.00 malam. Saya mulakan kelas dengan permohonan maaf kepada peserta kerana mutu suara saya yang masih lagi serak. Alhamdulillah, para peserta telah memberikan perhatian dan partisipasi yang amat memberangsangkan. Wajah-wajah mereka amat bertenaga. Bagi saya, di sini saya belajar daripada mereka erti keikhlasan dan kesungguhan mencari ilmu.
Walaupun telah berkursus selama 3 hari, dan malam ini ialah malam terakhir mereka. Nampaknya, mereka masih sudi memberikan hati dan minda mereka kepada perkongsian ilmu yang saya sampaikan. Semoga Allah menjadikan kesungguhan mereka sebagai asbab kemuliaan mereka di sisi Nya.
Sebenarnya emosi juga perlukan kemahiran untuk menguruskannya. Kemahiran inilah yang dinamakan sebagai Emotional Quotient (EQ). EQ merupakan satu elemen yang sangat penting untuk diberikan perhatian. Kursus ini dikendalikan oleh tiga orang penceramah, iaitu YM Puan Raja Kamariah (Kaunselor JPM), Tn Hj Abd Latif (Pengerusi Kelab Rakan Pembimbing JPM) dan saya sebagai salah seorang Rakan Pembimbing di JPM. Jadi, bahagian saya ialah berkongsi dengan satu bidang yang saya asaskan, iaitu "Tafakkur Zihni". Di sini, saya berpegang kepada pentingnya kita mengenal diri kita sebelum kita dapat menguruskan emosi. "Tafakkur Zihni" ialah satu sorotan rohaniah ke atas diri (Spiritual Quotient [SQ]) sebagai satu alat untuk menguruskan emosi.
Semoga Allah meletakkan manfaat di dalam perkongsian ini, dan memanjangkan manfaatnya kepada para peserta sekalian.
Allahumma aamiin!
No comments:
Post a Comment