Sunday, July 12, 2009

Petikan kata-kata Hadrat As-Syaikh Ad-Da’iyah Muhammad Saad Al-Kandahlawi

Sedikit petikan dan sedutan daripada kata-kata Hadrat As-Syaikh Ad-Da’iyah Muhammad Saad Al-Kandahlawi.

(1)

”Para ulama adalah qudwah. Ikutan. Memadai Allah jadikan mereka waris nabi-nabi. Ulama adalah ikutan. Dari segi ilmu, mereka berbeza-beza mengikut syariat, tetapi dari segi maksud, mereka adalah sama. Ulama pewaris nabi-nabi. Mereka mewarisi apa saja daripada nabi-nabi. Seperti harta pusaka, sedikit atau banyak semuanya kena diwarisi oleh pewarisnya. Maka ulama mewarisi untuk membawa dan menjadi ikutan dalam agama yang sempurna. Bukan hanya untuk diikuti dalam empat rakaat solat. Inilah maksud ulama pewaris nabi-nabi.”

(2)

”Nabi Muhammad s.a.w. diutus sebagai seorang da’i juga sebagai seorang mu’allim. Oleh itu, alim ulama jangan sangka mereka hanya mewarisi ilmu, tetapi juga mewarisi usaha dakwah daripada baginda Rasulullah s.a.w.

Allah berfirman menjelaskan maksud Rasulullah s.a.w. diutus: (Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu) dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan juga sebagai da’i (penyeru) (umat manusia seluruhnya) kepada agama Allah dengan taufik yang diberiNya dan sebagai lampu yang menerangi.) (Al-Ahzab 33: 45-46)”

(3)

”Kita benar-benar kena rasa dengan hati dan dada yang lapang, bahawa selagi usaha yang paling mirip dengan sunnah belum dibuat di seluruh alam, selagi itu akidah, ibadah, muamalah, muasyarah dan akhlak tidak akan wujud dalam bentuk yang paling mirip dengan cara Rasulullah s.a.w.”

(4)


”Kita ada satu silap faham dengan dakwah. Kita rasa dakwah hanya untuk orang yang bukan/belum Islam. Sebenarnya dakwah juga untuk orang yang sudah pun beriman.

Allah berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman! Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya... ) (An-Nisaa’ 4: 136) Mufassirin menyatakan makna ayat ini seolah-olah menyatakan, ”Wahai orang-orang yang beriman, hiduplah kamu dengan kehidupan yang beriman. Iman yang sempurna dan amalan yang sempurna.” Iman yang ada di dalam hati, mazharnya ada dalam kehidupan dan amalan kita.”

”Satu lagi salah faham kita terhadap kerja dakwah ialah bahawa dakwah itu adalah untuk memperbaiki orang lain. Bukan begitu. Manfaat dakwah yang utama ialah untuk islah diri kita.

Allah berfirman: (Dan (dengan sebab itu) sama sahaja kepada mereka, engkau beri amaran atau engkau tidak beri amaran kepadanya mereka tidak akan beriman.) (Ya Sin 36:10) Perkataan ’mereka’ di dalam ayat ini, merujuk kepada ’golongan yang didakwah’. Kesan dakwah kepada mereka sama sahaja, tetapi kepada ’orang yang melakukan dakwah’ ada manfaatnya untuk diri mereka sendiri. Allah berfirman: (Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk.) (Al-Ankabut 29: 6)”

(5)


”Hari ini, rata-rata fikir untuk kuatkan iman telah terkeluar daripada fikir dan zihin umat. Sedangkan fikir ini adalah asas agama. Dalam banyak riwayat-riwayat menceritakan bahawa para Sahabat saling mengajak sesama mereka untuk bercakap tentang iman dan duduk dalam majlis iman.

Iman para Sahabat adalah contoh kepada manusia seluruhnya. Allah Taala berfirman: (Dan apabila dikatakan kepada mereka: Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman...) (Al-Baqarah 2: 13) Perkataan ’orang-orang itu’ di sini maknanya ialah para Sahabat. Namun begitu, para Sahabat ini masih lagi diminta untuk memperbaharui (tajdid) dan memperkuatkan iman mereka. sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. kepada mereka, ”Perbaharuilah sentiasa iman kamu!” Lalu ditanyakan, macamanakah cara untuk memperbaharui iman itu? Jawab Rasulullah s.a.w., ”Perbanyakkanlah berkenaan qaul (percakapan atau perkataan) Laa ilaaha illalLah!”

Makna ’qaul’ di sini boleh jadi zikir atau muzakarah. Zikir secara fardiyy dan muzakarah secara ijtima’i. Kebesaran Allah perlu diulang-ulang dan dicakap-cakapkan. Secara umumnya, muzakarah tentang ini telah terkeluar daripada umat sedangkan ia adalah satu perkara yang penting. Muzakarah tentang benda lain seperti pangkat, harta, darjat dsb wujud, tetapi muzakarah tentang hakikat kalimah ini telah hilang.

Pernah satu masa, Saiyidina Umar masuk dalam satu majlis, dan ada Saiyidina Uthman di situ. Lalu Saiyidina Umar berkata, dalam majlis ini ada seorang yang jika imannya dibahagikan-bahagikan kepada sepasukan tentera sekalipun, akan memadai untuk mereka. Abdullah bin Rawahah, Muaz bin Jabal dan Abu Darda’ sering ajak-ajak Sahabat yang lain duduk-duduk dalam masjid untuk muzakarah tentang iman. Inilah majlis iman. Apa yang selalu dibincangkan, itulah yang akan masuk ke dalam hati. Para Sahabat selalu bincang tentang iman.”

(6)


”Dalam amalan perlu ada sifat ihsan. Ihsan ialah satu sifat hadir hati, sedar dan sentiasa ada hubungan dengan Allah. Jika amalan ada, tetapi sifat ihsan tidak ada, sebenarnya kita sedang musnahkan amalan tersebut. Lawan bagi ihsan ialah ghaflah (lalai). Walaupun lidah berzikir, kita baca fatihah dalam solat dsb tetapi hati lalai, sebenarnya kita sedang musnahkan amalan kita.

Sebut, cakap dan ulang-ulang kebesaran Allah, barulah hati kita akan sentiasa seiring dengan amalan kita.

Satu hari, Huzaifah berada di satu masjid di Syam. Dia tengok seorang sedang solat dengan cepat. Huzaifah tanya, berapa lama kau bersolat seperti ini? Jawab orang itu, sudah 40 tahun. Kata Huzaifah, jika kamu mati dalam keadaan kamu bersolat macama ini, kamu tidak akan dibangkitkan dalam agama yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w. Sebenarnya, bila solat dengan hati yang tidak berhubung dengan Allah, kita akan jadi solat dengan cepat-cepat.”

Banyak lagi yang diperkatakan oleh Hadrat Syaikh Saad. Semoga dapat kita jadikan renungan untuk diri kita. Berapa tahun kita telah jalani hidup ini, sedangkan hati kita amat sedikit berhubung dengan Allah... Oh Allah.. Kasihanilah kami!

(Petikan ini hanya berdasarkan catatan peribadi semasa pertemuan Hadrat Syaikh dengan para ulamak semasa Ijtimak Umat Islam Seluruh Malaysia 2009, 11 Julai 2009, Medan Ijtimak Kuaters KLIA Sepang-Nilai. Ucapan beliau diterjemah oleh Al-Fadhil Ustaz Abdul Hamid Chin, Imam Besar Masjid Bandar Baru Seri Petaling. Sekiranya terdapat salah catatan, mohon teguran.)

Saturday, July 4, 2009

Kunjungan Tuan Guru Haji Saleh Penanti ke Putrajaya

Semalam, dengan rahmat Allah Taala, Putrajaya telah diberkati dengan kehadiran Tuan Guru Hj Saleh Penanti Muhajir Makki ke Surau Al-Mizan, Presint 8. Tuan Guru Hj Saleh merupakan anakanda kepada Syeikh Uthman Jalaluddin Penanti bin Muhammad bin Abdus Shamad al-Kalantani, Pengasas kepada Pondok Pengajian Manabi'ul 'Ulum Penanti, Seberang Prai.

Berkenaan Syeikh Uthman Jalaluddin ini boleh dilihat ketokohan ilmunya melalui tulisan Almarhum Ust Wan Mohd Saghir Abdullah di blog Ulama Nusantara ( http://ulama-nusantara.blogspot.com/2006/11/syeikh-uthman-jalaluddin-penanti.html ).

Tuan Guru Haji Saleh sekarang ini telah berhijrah dan bermukim di Kota Suci Makkah. Baru tiga hari tiba di tanahair, Tuan Guru telah sudi untuk berkunjung ke Putrajaya. Kepulangan Tuan Guru selama dua bulan ke tanahair sebelum berangkat kembali ke Makkah antara tujuan utamanya ialah untuk menghadiri Ijtimak Umat Islam Seluruh Malaysia yang akan berlangsung pada 9 - 12 Julai 2009. Tapak Ijtimak ialah di sebelah Kuarters KLIA Sepang-Nilai. Ijtimak ini dijangka akan dihadiri oleh lebih kurang 100,000 umat Islam, insya Allah.

Selepas solat Asar, Tuan Guru telah dijemput untuk memberikan sedikit nasihat kepada jemaah solat yang ada. Antara kata nasihat Tuan Guru yang dapat saya nukilkan daripada rakaman melalui handphone saya:

"Manusia mempunyai empat jenis masa:

  1. Masa taat
  2. Masa maksiat
  3. Masa sihat
  4. Masa bala' (musibah)
Semasa dalam taat, maka hendaklah dia nafikan bahawa taat itu sebab kelebihan dirinya, tetapi hanya semata-mata limpah taufik nikmat daripada Allah.

Semasa jatuh dalam maksiat, maka kena banyak istighfar.

Semasa sihat, kena syukur.

Semasa bala', kena sabar. Sabar adalah kepala iman. Al-Huzn (terlalu berduka lara) adalah musuh orang Islam."
Seterusnya Tuan Guru telah menyimpulkan nasihat beliau dengan sentuhan ringkas terhadap tafsir Surah Al-'Asr.
"Allah sendiri bersumpah dengan 'masa'
bahawa semua manusia sama ada kaya atau miskin, raja atau hamba....
semuanya dalam kerugian. Rugi! Rugi! Rugi!

Kecuali, orang yang ada iman!

Tapi iman sahaja 'tak cukup, kena ada amal soleh.

Ada dua 'tu sahaja 'tak cukup, kena pula tawasau-bil-haq (berpesan-pesan dengan perkara yang haq). Tawasau-bil-haq inilah kerja dakwah.

Ada tiga 'tu juga masih rugi, kena pula tawasau-bis-sabr (berpesan-pesan dengan kesabaran). Sabar ialah kepala iman.

Ada keempat-empat 'ni, barulah tidak rugi!"
Tuan Guru menutup nasihat beliau dengan doa ringkas.

Banyak yang saya dapat pelajari daripada Tuan Guru. Semoga Allah memanjangkan usia dan menyebarluaskan manfaat Tuan Guru kepada seluruh ummah. Semoga Allah juga memberi taufik untuk saya amalkan segala nasihat yang diberikan oleh Tuan Guru.

Oh Allah, kasihanilah kami!

Wednesday, July 1, 2009

Kolum sulung saya dalam Majalah SOLUSI



Alhamdulillah, dengan limpah ihsan-Nya, kolum sulung saya dalam Majalah SOLUSI telah diterbitkan dalam SOLUSI bilangan 9 (Julai 09). Kolum yang dipertanggungjawabkan kepada saya bertajuk: "Fadhail A'mal". Insya Allah, artikel melalui kolum FA ini akan berterusan pada keluaran-keluaran yang akan datang. Semoga ada manfaatnya, terutama untuk saya yang amat faqir ini.

Thursday, June 18, 2009

Gigi Itmi'nan...

Hari ‘ni tiba-tiba tergerak hati ‘nak load gambar Itmi’nan dalam blog ‘ni. Umur ’dah masuk 10 dekat 11 bulan. Dialah yang jadi buah hati kami. Ummi dia ’tak payah ceritalah. Abang-abang dia pun bukan main lagi dengan adik perempuan mereka. Ubaid yang umur 3 tahun pun bukan kemain sayang ’kat adik dia. Walaupun masa ’kat rumah, banyak menyakat daripada menjaga adik dia, tapi bila ada orang lain dukung Itmi’nan ’tak senang duduk dia.

"Ambik la mi’nan tu.. ambik la..!", risau dia takut orang ambil adik dia.


Kurang sebulan lepas, sibuk betul dengan gigi Itmi’nan yang baru tumbuh. Sebatang saja pun. Mula tu risau juga kami bila gigi ’tak tumbuh-tumbuh. ’Dah masuk 10 bulan, gigi ’tak tumbuh-tumbuh juga.

Bila rujuk ’kat adik saya Dr. Zeti Adura, pakar gigi di HUM, dia kata,
"Don’t worry... biasa jer tu.. kes biasa jer!"

’Dah pakar gigi kata macam ’tu, kami pun kira redhalah. Kesian juga tengok Itmi’nan, semua makanan orang lain dia ’nak makan sama. Gigi ’tak ada! Selera besar!

Bila direnungkan cerita gigi Itmi’nan ’ni, saya terfikir, betapa besar Kuasa dan Kebijaksanaan Allah Taala. Gigi ’tu entah dari mana datangnya? Tiba-tiba tumbuh saja daripada gusi. Padahal kalau dibelah gusi ’tu, bukan ada pun giginya. Maha Hebat Allah!

"Semuanya daripada khazanah Allah!", saya teringat satu ceramah yang disampaikan oleh seorang ustaz.

Betullah, semuanya daripada khazanah Allah. Daripada gusi yang gondol, akhirnya Allah ’belah’ gusi ’tu dan keluarkan gigi. Satu titis darah pun ’tak mengalir daripada gusi yang ’terbelah’ ’tu. Dan tidak perlu campur tangan daripada sesiapa pun, hatta si ibu kepada anak kecil tadi. Allah yang uruskan.

Daripada tiada kepada tumbuh sikit. Kemudian semakin banyak. Semakin panjang pertumbuhan gigi ’tu. Sampai satu ketika, dengan Kebijaksanaan Allah Taala, gigi ’tu akan berhenti tumbuh. Bayangkan... kalaulah gigi ’tu tumbuh macam kuku kita tumbuh!

"Tak ke huru hara jadinya? Kita kena cipta pemotong gigi la pulak..."

Kemudian kita dapati, gigi ’ni bukan satu corak saja. Bukan satu bentuk dan jenis saja. Dan tanpa si ibu atau si bapa risaukan, Allah tumbuhkan gigi-gigi yang bermacam-macam jenis itu dengan elok dan sistematik sekali. Gigi geraham, gigi kacip, gigi taring semuanya tumbuh pada tempatnya masing-masing. Allah Taala telah programkan segalanya dengan teratur. Maha Besar Allah lagi sempurna Kudrat dan Iradat-Nya!

Dialah Allah...
Laa ilaaha illalLah!

Monday, June 15, 2009

Doa seorang ulamak lagi da'ie...

“Ya Allah ampunkan dosa-dosa kami
Ya Allah tutupkanlah kesalahan-kesalahan kami
Ya Allah tukarkanlah keburukan-keburukan kami kepada kebaikan-kebaikan
Ya Allah Engkau masukkan hakikat iman dalam hati kami
Ya Allah Engkau kurniakanlah sifat-sifat iman dalam diri kami
Ya Allah Engkau kurniakanlah pengiktirafan Mu pada kami
Ya Allah kurniakan kami hubungan yang khusus dengan zat Mu
Ya Allah kami milik Mu Ya Allah
Ya Allah bantulah kami dengan amalan-amalan yang Engkau redhai
Ya Allah tetapkan kami dengan amalan-amalan yang Engkau redhai
Ya Allah kurniakanlah istikhlas dan istiqamat
Ya Allah Engkau satukan umat ini dengan usaha dakwah
Ya Allah Engkau jadikan setiap individu umat ini da’ie agama Mu
Ya Allah kurniakanlah kepedihan atas keruntuhan agama dalam hati-hati umat ini
Ya Allah Engkau gunakan setiap kemampuan-kemampuan kami dalam kerja agama
Ya Allah Engkau gunakan umat ini untuk buat pengorbanan untuk agama Mu
Ya Allah Engkau kurniakan hidayah pada seluruh umat
Ya Allah Engkaulah yang satu-satunya yang membuat tarbiah hakiki hanya tarbiyah Mu sahajalah yang hakikat tarbiah. Ya Allah tarbiah umat ini dengan sebaiknya
Ya Allah Engkau kurniakan kami dengan kehidupan sunnah Nabi saw
Ya Allah Engkau hidupkan kehidupan sunnah Nabi saw pada umat
Ya Allah Engkau kurniakan kebencian dalam hati kami cara kehidupan orang kafir dan hidupkan sunnah-sunnah dalam diri kami
Ya Allah keluarkanlah sifat kehaiwanan dan tidak berakhlak dari kami
Ya Allah kurniakan sifat insaniah dalam diri kami
Ya Allah berilah petunjuk pada setiap individu umat ini
Ya Allah amkan hidayat pada seluruh umat
Ya Allah luaskanlah jalan-jalan hidayat
Ya Allah tutupkanlah pintu-pintu batil
Ya Allah hancurkanlah suara-suara batil
Ya Allah Engkau gagalkanlah rancangan-rancangan batil
Ya Allah peliharalah usaha-usaha agama ini, rakan-rakan usaha agama, markas-markas usaha agama, masjid-masjid buat usaha agama, madrasah-madrasah dan semua pergerakan-pergerakan agama yang haq
Ya Allah bantulah kami dengan setiap langkah kami
Ya Allah tunjuklah kami dengan setiap langkah kami
Ya Allah kurniakan taufik untuk buat kebaikan-kebaikan
Ya Allah bantu kami dengan usaha-usaha agama yang penting
Ya Allah kurniakan keampunan, tutupkan kesalahan-kesalahan kami, mudahkanlah kami .
Ya Allah kurniakanlah ihsan Mu pada kami.
Ya Allah mudahkan urusan kami dengan kurniaan Mu
Ya Allah tanamkan keyakinan atas nusrah ghaib Mu dalam hati kami dan Engkau turunkanlah nusrah ghaib Mu pada kami.
Ya Allah di mana perlunya hujan, Engkau turunkan hujan rahmat Mu ( 3x )
Ya Allah jangan pandang umat ini dengan pandangan murka Mu lihatlah umat ini dengan pandangan ihsan Mu
Ya Allah jadikan umat ini menyesal atas dosa-dosa yang dilakukan dan kurniakan umat ini taufik untuk bertaubat
Ya Allah jangan hindarkan rahmat / ihsan Mu pada umat ini
Ya Allah kasihanlah dan rahmatilah umat ini. Kau turunkan hujan rahmat Mu ( 3 x )
Ya Allah keluarkanlah harapan dalam hati kami pada ghair (selain daripada Allah), kurniakan kami taufik untuk mengambil manfaat terus dari zat Mu
Ya Allah keluarkanlah keyakinan yang salah pada makhluk dalam hati-hati kami dan tetapkan kami dalam mentaati perintah-perintah Mu
Ya Allah pada orang-orang yang ada masalah hutang, Engkau bantulah mereka dengan pertolongan ghaib Mu untuk menyelesaikan masalah mereka.
Ya Allah Engkau sembuhkanlah orang-orang yang sakit
Ya Allah Engkau keluarkanlah kelemahan-kelemahan zahir dan batin kami
Ya Allah Engkau kurniakanlah kekuatan zahir dan batin kami
Ya Allah kurniakanlah fikir akhirat dalam hati-hati umat
Ya Allah hapuskanlah kelalaian dalam diri kami
Ya Allah kurniakanlah fikir akhirat dalam hati kami
Ya Allah dengan ihsan Mu / rahmat Mu terimalah doa kami”

- Hadrat Asy-Syaikh Muhammad Saad Al-Kandahlawi d.b.
(beliau merupakan keturunan Saiyidina Abu Bakr As-Siddiq r.a.)

Tuesday, June 9, 2009

Sesungguhnya... ini adalah kematian yang amat dicemburui!

12 jemaah ditembak mati ketika imam baca al-Fatihah pada rakaat kedua solat Isyak

NARATHIWAT (Selatan Thailand): "Ketika itu saya hanya terfikir saat kematian dan tidak mampu berpaling melihat siapa menembak kami," kata Nasir Ibrahim, salah seorang jemaah yang terselamat dalam serangan ketika solat Isyak di Masjid al-Furqan, Kampung Air Tempayan, dekat sini malam kelmarin.

Nasir, 42, yang juga penghulu kampung itu berkata, imam Wan Abdullah Wan Latif, 62, sedang membaca surah al-Fatihah pada rakaat kedua apabila mereka diserang dua lelaki bersenjatakan raifel kira-kira jam 9 malam waktu Malaysia itu.

Dua penyerang itu, yang berpakaian serba hitam, masing-masing berada di pintu utama dan sebelah kanan masjid berkenaan, melepaskan tembakan dari jarak kurang tiga meter ke arah jemaah, menyebabkan kebanyakan mangsa mati akibat terkena tembakan di kepala dan tubuh badan masing-masing.

Serangan kejam itu, yang dianggap paling buruk di selatan Thailand, menyebabkan 10 jemaah termasuk Wan Abdullah mati serta-merta, manakala dua lagi jemaah meninggal dunia ketika dalam rawatan kecemasan di Hospital Narathiwat.

Sebelas lagi mangsa cedera parah dan dirawat di hospital itu. Hanya Nasir dan seorang lagi jemaah terselamat dalam serangan itu, tetapi terpaksa dirawat di Klinik Cho Airong dekat sini, ekoran trauma dan serangan jantung kerana terkejut.

Nasir berkata, tembakan bertalu-talu dari dari arah belakang dan tepi berlaku hampir 10 minit, menyebabkan ramai jemaah tumbang.

"Saya yang berada di hujung saf di sebelah kanan, turut merebahkan badan. Ketika kelam-kabut itu, saya merangkak di celah jemaah yang cedera dan berlumuran darah, menuju ke stor di sebelah tempat imam. Saya duduk di situ sehingga penyerang melarikan diri," katanya ketika ditemui semalam.

Walaupun bersyukur kerana terselamat dalam serangan itu, Nasir amat bersedih mengenangkan ramai jemaah termasuk Wan Abdullah yang menjadi korban serangan kejam itu.

Isteri Wan Abdullah, Yah Che Kob, 58, berkata ketika kejadian beliau berada di rumahnya, kira-kira 50 meter di hadapan masjid berkenaan.

"Secara tiba-tiba, saya terdengar bunyi tembakan bertalu-talu macam bertih goreng dari arah masjid. Saya terus berlindung di sebalik pintu rumah dan sejurus selepas itu, terdengar jeritan penduduk kampung menyatakan masjid diserang.

"Saya hanya mampu mendoakan keselamatan suami kerana saya tahu dia mengimamkan solat Isyak. Secara kebetulan anak lain keluar, jika tidak mereka juga berjemaah di masjid," katanya.

Yah berkata, jenazah suaminya hanya dapat dikeluarkan dari masjid itu kira-kira jam 7 pagi semalam.

"Serangan ini amat kejam. Mereka tergamak menyerang dan membunuh umat Islam yang sedang solat," katanya dengan nada sedih mengenangkan kematian suaminya yang sudah 15 tahun menjadi imam masjid itu.

Adik Wan Abdullah, juga seorang imam, Wan Ismail Wan Latif, 58, berkata selain abangnya, turut terkorban ialah lapan ahli kumpulan tabligh yang berkunjung ke masjid itu sejak tiga hari lalu.

Jenazah semua mangsa disemadikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan kampung itu kira-kira 11 pagi semalam dengan dihadiri kira-kira 2,000 penduduk termasuk kumpulan pelajar pondok sekitar Narathiwat.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Narathiwat, Abdul Razak Ali, yang meninjau tempat kejadian pagi semalam, mengutuk serangan kejam itu.

"Serangan kejam ini didalangi pihak yang tidak mahu melihat keamanan dinikmati semua penduduk di selatan Thailand. Mereka yang berbuat begini sebenarnya mahu melihat selatan Thailand terus berada dalam pergolakan," katanya.

Tinjauan Berita Harian mendapati, dinding depan masjid dan cermin pintu turut mempunyai kesan peluru, dipercayai akibat tembakan yang tersasar, manakala sebahagian besar lantai dipenuhi darah jemaah yang terkorban. Kesan itu hanya dibersihkan kira-kira 2 petang semalam dengan sebuah lori tangki air yang dihantar pihak berkuasa tempatan.

Sumber:
http://www.bharian.com.my/


Renungan:

1- Betapa kita hati juga turut 'menangis' mengenangkan ibtila' (ujian) yang sedang menimpa saudara kita di Selatan Thailand. Saya pernah ke sana, dan hati saya menjadi sayu mendengar berita-berita sebegini. Ini adalah antara kejadian yang paling menyayatkan hati dan amat tidak menghormati masjid sebagai tempat ibadah.

2- Seorang ulamak pernah menyatakan, musibah dan ibtila' bentuknya hampir sama, tapi ibtila' adalah untuk orang yang beriman, dan akan menjadi sumber kemuliaan kepada mereka akhirnya. Manakala musibah pula untuk golongan yang fasiq dengan tujuan menghinakan. Semoga Allah tidak menguji kita dengan ujian yang tidak sanggup kita hadapi.


3- Betapa bersyukur kita dengan keamanan yang Allah kurniakan kepada kita. Ini adalah satu nikmat yang besar. Pastinya, Allah akan tanya kembali nikmat ini satu hari nanti!


4- Semoga Allah terima mereka yang terkorban dalam kejadian ini sebagai syuhada'. Lebih-lebih lagi jemaah yang terdiri daripada mereka yang sedang khuruj di Jalan Allah. Berita diatas memaklumkan, bahawa 8 orang antara yang terkorban ini adalah mereka yang sedang 'keluar di jalan Allah atas maksud islah dan dakwah'. Mereka telah korbankan diri, harta dan masa mereka di jalan Allah, hingga akhirnya mereka telah dikurniakan syahid di jalan-Nya. Semoga setiap titis darah merah mereka yang mengalir, adalah asbab kemuliaan mereka di sisi Allah, menjadi penyubur hidayah di tempat syahid mereka dan juga untuk seluruh alam. Sesungguhnya... ini adalah kematian yang amat dicemburui!


Oh Allah... Kasihanilah kami
!

Monday, June 8, 2009

Amat menarik sekali...

Hari ini ada masa lapang sikit setelah 3 minggu yang melelahkan. Hambatan tugas-tugas di pejabat dan jabatan saling silih berganti. Semoga Allah beri taufik kepada saya untuk menguruskannya. Blog yang telah lama terpinggir, saya jengah. Hemmm... Sepi nampaknya blog saya 'ni. Tiba-tiba hati saya tergerak untuk melayari blog Ust Al-Alorstari. Dan saya amat tertarik dengan satu posting Ust. Saya ambil keputusan untuk abadikan posting 'tu dalam blog saya 'ni. Saya hanya 'cut' dan 'paste' posting Ust. Satu huruf pun saya tak baiki, tak tambah dan tak kurangkan. Sekadar renungan untuk kita yang berada di hujuuuuuung akhir zaman!



Dari Sauban r.a dari Rasulullah saw beliau bersabda: “Dua gulongan dari ummatku yang diselamatkan Allah dari Neraka. Iaitu gulongan yang berperang di India dan gulongan yang berkumpul bersama Isa a.s.” (Riwayat Nasai dan Ahmad)

Hadis ini saya ambil dari buku ‘Nuzuulu Isa Ibn maryama Aakhiraz Zaman’. Karangan Imam As-Sauyuthi. Lengkap hadisnya sebagaimana yang dikeluarkan oleh Allamah Ali Al-Qari di dalam kitab Al-Marqaah 5:658 di dalam sebuah hadis yang panjang dari Ali Zainul Abidin bin Husain r.a bahawa Rasulullah saw dalam sabdanya berkata: “bergembiralah ! bergembiralah ! Sesungguhnya perumpamaan ummatku seperti hujan, tiada diketahui yang mana satu lebih baik, yang mulanya atau yang penghabisannya, atau seperti sebuah kebun yang luas , yang dapat memberi makan kepada segulongan manusia buat setahun. Kemudiannya kepada gulongan yang lain buat setahun . Moga-moga gulongan yang terakhir itulah yang akan memperolehi bahagian yang paling banyak, yang paling baik dan yang paling bagus dari kebun itu.Bagaimana boleh binasa sesuatu ummat sedangkan aku yang menjadi pangkalnya , Al-Mahdi pula menjadi pertengahannya dan( Isa ) Al –Masih menjadi penghujungnya. Namun di dalam antara masa-masa itu memang ada masa-masa yang ‘bengkok’. Mereka yang terlibat di dalamnya tidak tergulong sebagai ummatku. Dan aku pun tidak tergulong dari mereka”

Sedikit Huraian

Bila kita lihat terjemahan hadis di atas Syeikh Ahmad Semait , Mufti Singapura menterjemahkan perkataan ‘Jihad’ dengan ‘ berperang’. Namun ulama terkenal Indonesia , H.Salim Bahreisy mengekalkan terjemahannya dengan ‘berjihad’ yang boleh difahami dengan ‘perang’ dan juga ‘dakwah’. Jika dikekalkan ‘Jihad’ dengan perkataan ‘berperang’ sekali pun pasti dan pasti kaedah berperang yang akan dilaksanakan ketika itu adalah mengikut tertib Nabi saw. Iaitu di dahului dengan ‘Dakwah’ (sebagaimana yang pernah kita terangkan di sini ), jika sekiranya ‘dakwah’ tidak diterima maka ‘Jizyah’ perlu dijelaskan. Dan jika ‘jizyah’ tidak diterima maka barulah akan berlaku ‘ Perang’ (Qital ). Maka masih ‘dakwah’ mengambil tempat yang utama.

Sebaliknya jika kita mengunapakai terjemahan ‘berjihad’ dengan diistilahkan sebagai 'berdakwah’. Maka lengkap hadis itu mungkin begini bunyinya :

Dari Sauban r.a dari Rasulullah saw beliau bersabda : “Dua gulongan ummatku yang diselamatkan oleh Allah dari Neraka, Iaitu gulongan yang ber’Dakwah’ di India dan gulongan yang bersama Isa a.s” (Riwayat Nasai dan Ahmad)

Targhib

Jadi jika Jemaah Tabligh membuat ‘tasykil’ (mengajak) berdakwah ke India ,Pakistan dan Bangladesh, maka jangan lansung kita mengatakan tidak berkait dengan hadis atau pun mengatakan taksub dengan India kerana masih ianya bersabit dari hadis Nabi saw. Perlu diingatkan bahawa asal ketiga-tiga negara itu ( India, Pakistan dan Bangladesh ) adalah ‘Benua India’ atau ‘Hind’. Hanya selepas dijajah oleh British barulah dipecahkan menjadi tiga negara.

Wallahu’alam

p/s
: Insyaallah ! Siapa sedia 4bulan IPB. Insyaallah bagi nama.