Friday, March 12, 2010

ALLAH YANG SAMA!

KOTA BHARU, 12 Mac: Hujan yang turun di sekitar bandar raya ini membasahkan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan serta ribuan rakyat yang menyertai solat sunat istisqa.

Hujan agak lebat tiba-tiba turun pada rakaat pertama solat sunat Istisqa yang diadakan di Padang Perdana pagi tadi.

Solat tersebut diimamkan Menteri Besar bermula kira-kira jam 8.30 pagi.

Ketika Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedang membawa surah pada rakaat pertama tiba-tiba hujan turun agak lebat sehingga membasahkan ribuan yang menunaikan solat.

Hujan hanya berhenti selepas selesai solat sunat tersebut.

Semua yang hadir termasuk pembesar negeri dan pegawai kanan kerajaan kelihatan basah kuyup.

Program tadi dihadiri hampir kesemua pegawai kanan kerajaan negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Faudzi Che Mamat, Pengelola Istana, Datuk Abdul Halim Hamat dan Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Muhammad.
Solat Istisqa tersebut merupakan kali kedua diadakan di Kelantan selepas pertama kali diadakan beberapa tahun lalu akibat kemarau panjang.

Cuaca kering dan panas kini melanda seluruh negara sehingga ada tempat paras sungai dan empangan semakin surut dan tanah-tanah menjadi merekah.

Ketika membaca khutbah Menteri Besar memalingkan badan ke arah kiblat seketika sebagai mengikut amalan sunnah Rasulullah s.a.w. ketika baginda mengerjakan solat Istisqa.



Ini adalah petikan berita sebuah akhbar internet. Allah yang sama yang diminta hujan pada zaman Rasulullah s.a.w di Madinah dahulu, maka Allah yang sama dengan Kudrat yang sama, yang menguruskan hujan atau kemarau pada hari ini. Jika musim haji baru-baru ini Allah boleh menurunkan hujan di Makkah dan Arafah, maka Allah yang sama juga berkuasa untuk turunkan hujan di Malaysia.

Malangnya, hari ini, kita lebih yakin dengan apa yang mata kita lihat, melebihi apa yang sahih dan sabit daripada Rasulullah s.a.w. Oh Allah… ampunkanlah kami!

Thursday, March 4, 2010

Artikel Solusi Bil. 17 - Doa Jalan Pintas Menuju Allah

Alhamdulillah, artikel untuk kolum Fadhail A'mal Majalah Solusi masih lagi diizinkan oleh Allah s.w.t. untuk terus disiarkan. Untuk Majalah Solusi Bil. 17 ini, kolum ini diletakkan di muka surat 69. Disertakan di sini tulisan asal artikel saya tersebut sebelum melalui suntingan editor Majalah Solusi. Semoga ada manfaatnya.

Doa adalah satu amalan. Doa adalah satu ibadah. Rasulullah s.a.w. sendiri menyatakan, bahawa doa itu sendiri adalah ibadah.

Satu hadis yang diriwayatkan oleh An-Nu’man bin Basyir r.a., dia berkata, “Aku telah mendengar Nabi s.a.w. bersabda:

“Doa itu adalah ibadah,” kemudian baginda membacakan (ayat), “dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takabur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina.” (HR At-Tirmizi, beliau mengatakan haids ini adalah hasan sahih)

Ini adalah satu sabdaan Rasulullah s.a.w. Jika hanya semata-mata sabda baginda sahaja pun, kita sewajibnya menerima dengan penuh cinta, keghairahan untuk menghayatinya serta penuh ketaatan. Maka apatah lagi di sini, di mana Rasulullah s.a.w. telah memetik firman Allah s.w.t. sendiri untuk menyokong sabdaan baginda. ‘Cahaya berlapis cahaya’! Maka hati seseorang yang benar-benar beriman
akan bersinar dengan pancaran cahaya dua wahyu ini.

Adalah jelas, doa merupakan satu ibadah yang begitu besar. Malah doa telah dinobatkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai intisari kepada ibadah. Maka tidak hairan, doa mendapat tempat yang amat besar di dalam hati seseorang yang benar-benar beriman. Malah, jika kita selidiki kehidupan seharian Rasulullah s.a.w., kita akan mendapati bahawa seluruh hidup baginda dipenuhi dan diiringi dengan doa-doa. Betapa suci dan murni kehidupan baginda; dan betapa indah jika kita dapat hiasi kehidupan kita ini dengan sunnah-sunnah baginda yang penuh barakah ini!

Cuba kita bayangkan, apabila terjaga daripada tidur, ada doanya. Kemudian kita akan ke bilik air. Sebelum memasuki bilik air, ada doanya. Bila keluar, ada doanya lagi. Apabila menyarungkan tangan kanan kepada pakaian, ada doanya. Sarung pula tangan kiri, ada doanya. Lepas itu, berada di depan cermin. Ini juga ada doanya. Begitulah seterusnya, hinggalah kita kembali melelapkan mata. Segalanya dipenuhi dengan doa. Doa demi doa. Betapa bercahaya kehidupan seseorang yang pagi dan petangnya, siang dan malamnya dihiasi dengan doa!

Bersumber daripada Ali r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Doa itu adalah senjata orang yang beriman, tiang agama dan cahaya seluruh langit dan bumi.” (HR Al-Hakim, dan beliau mengatakan hadis ini adalah sahih).

Selalunya kita hanya melihat doa ini dari sisi pandang kepentingan hajat, keperluan dan permintaan yang kita pohon. Sebenarnya, sebagaimana ibadah-ibadah yang lain, kepentingan doa yang tertinggi ialah untuk menyampaikan kita kepada Cinta Allah! Bahkan, doa merupakan jalan pintas paling dekat untuk seseorang itu ‘sampai’ kepada Allah.

Allah adalah Tuhan. Tuhan yang telah menyifatkan diri-Nya sendiri sebagai As-Somad. Apa itu As-Somad? Di dalam Tafsir Mafatihul-Ghaib oleh Imam Ar-Razi menyatakan, Ibnu Abbas r.a. berkata bahawa ketikamana turunnya ayat ini, lalu para Sahabat bertanya, “Apakah makna (الصمد)?” Lalu jawab baginda s.a.w.:

هو السيد الذي يصمد إليه في الحوائج

“Dia ialah Tuan yang bertumpu (dan bergantung harap) kepadanya segala hajat”.
Jika demikian, Allah yang bersifat Maha Mengetahui tidak memerlukan kita untuk memberitahu dan memaklumkan kepada-Nya akan keperluan kita. Maha Suci Allah daripada terhalang pengetahuan-Nya daripada segala hajat dan keperluan kita. Jadi, kenapa kita perlu berdoa?

Fitrah kita manusia, apabila kita memerlukan sesuatu, kita akan menuju kepada seseorang yang kita yakini dapat membantu kita untuk memenuhi keperluan itu. Di sinilah mahalnya amalan dan ibadah doa. Apa yang benar-benar Allah ingin lihat ialah kita melahirkan rasa bergantung kita hanya kepada Allah! Maka terzahirlah sifat kehambaan yang tulus. Apabila hati seseorang hamba benar-benar terhubung dengan Tuhannya. Merayu dan merintih hanya kepada Tuhannya. Sedang hatinya penuh keyakinan kepada kemutlakan kudrat dan IradatNya. Ketika itu, seseorang itu amat ‘hampir’ kepada Allah.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Sesungguhnya Allah Taala telah berfirman, “Aku menurut sangkaan hamba-Ku; dan Aku bersamanya ketikamana dia berdoa kepada-Ku!” (HR Muslim)

Inilah fadilat doa yang melebihi segala fadilatnya yang lain! Adakah perkara lain yang lebih besar kepada seseorang yang benar-benar beriman, melebihi dapat menarik perhatian dan kecintaan Allah kepadanya?