Friday, January 22, 2010

ALLAH-LAH AS-SOMAD!

Rasulullah s.a.w bersabda:

أول صلاح هذه الأمة باليقين و الزهد وأول فسادها بالبخل و الأمل – رواه البيهقي

“Permulaan keelokan umat ini ialah dengan yakin (yang sahih) dan kezuhudan, dan permulaan kerosakannya ialah dengan kebakhilan (yakni tidak mahu berbelanja di jalan Allah) dan angan-angan (berkenaan kemewahan dunia).” (HR Al-Baihaqi di dalam kitab Syu’bul-Iman).

Yakin di sini merujuk kepada keadaan keimanan kita kepada Allah dengan segala kesempurnaan sifat-sifatNya. Dengan segala keagungan Zat-Nya. Allah-lah satu-satunya Tuhan Yang Maha Tunggal lagi Hakiki Wujud-Nya. Dia-lah satu-satunya Pencipta, selain daripada-Nya, semuanya adalah ciptaan-Nya. Seluruh ciptaan-Nya, yakni makhluk ini, berhajat dan bergantung hanya kepada-Nya.

Allah s.w.t. sendiri menegaskan:

قُلْ هُوَ اللّهُ أحَدٌ اللّهَ الصَّمَدُ

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Dialah Allah, Yang Maha Esa; Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat.” (Al-Ikhlas 112: 1-2)

Allah itu Esa. Esa itu bermaksud, satu-satunya. Maka tempat bergantung segala makhluk juga hanya Satu, iaitulah Allah Taala. Daripada sebesar-besar makhluk seperti ‘Arasy; hinggalah yang paling kecil seperti molekul, zarah dan atom sekalipun, semuanya memerlukan Allah. Semuanya bergantung dan berhajat hanya kepada Allah.

Di dalam Tafsir Mafatihul-Ghaib oleh Imam Ar-Razi menyatakan, Ibnu Abbas r.a. berkata bahawa ketikamana turunnya ayat ini, lalu para Sahabat bertanya, “Apakah makna (الصمد)?” Lalu jawab baginda s.a.w.:
هو السيد الذي يصمد إليه في الحوائج
“Dia ialah Tuan yang bertumpu (dan bergantung harap) kepadanya segala hajat”. Intaha.

Imam At-Tobari pula menukilkan, “Ali telah meriwayatkan kepada kami, katanya telah meriwayatkan Abu Salah kepada kami, katanya: telah menceritakan Mu’awiyah kepadaku, daripada Ali, daripada Ibnu Abbas, berkenaan maksud firman-Nya (الصمد), katanya: (Zat)Yang Mulia yang mana paling sempurna ketinggian martabatNya, Yang Maha Mulia yang paling sempurna kemuliaanNya, Yang Maha Agung yang paling agung keagunganNya, Yang Maha Lemah lembut yang paling sempurna kelemahlembutanNya, Yang Maha Kaya yang paling sempurna kekayaanNya, Yang Maha Perkasa yang paling sempurna JabarutNya, Yang Maha Bijaksana yang paling sempurna kebijaksanaanNya; Dialah yang telah paling sempurna segala bentuk Kemuliaan dan Ketinggian, Dialah Allah Maha Suci Dia, ini semua adalah sifatNya, yang tidak layak sifat-sifat ini melainkan untuk-Nya.” Intaha.

Imam Al-Alusi di dalam Tafsir Ruhul-Ma’ani menyatakan, “Adapun perkataan (الصمد) berkata Ibnu Al-Anbaari, tidak ada perselisihan dalam kalangan ahli bahasa Arab bahawa ia bermaksud Ketua yang tidak ada lagi sesiapa di atasnya, yang mana tertumpu dan menuju kepadanya setiap orang dalam segala masalah hajat dan urusan mereka; berkata pula Az-Zajjaj, maksudnya seseorang yang terhenti kepadanya segala kemuliaan dan tertumpu kepadanya segala sesuatu.”

Imam Al-Alusi menukilkan lagi, “adapun daripada Abu Hurairah r.a., maknanya, Dia yang mana tidak memerlukan kepada sesiapa dan apapun, (sebaliknya) Dialah tempat berhajat kepada-Nya segala sesuatu; dan daripadab Ibnu Jubair, maknanya ialah Dia yang Maha Sempurna dalam segala sifat dan perbuatan-Nya.”Intaha.

Keyakinan sebeginilah yang perlu muktamad dalam hati kita. Hati kita perlu disinari sentiasa dengan suluhan makrifah ini. Hati kita perlu sentiasa terhubung dengan hakikat ini. Iman-yakin yang murni sebeginilah yang dituntut oleh Allah. Sebab itu dinamakan surah ini sebagai Al-Ikhlas. Ikhlas yang bermaksud “bersih sama sekali”, yang mana di dalam surah ini tidakn ada perkara lain yang disebutkan, baik perkara dunia mahupun perkara akhirat, yang ada hanya mensabitkan Allah dengan segala sifat kesempurnaan-Nya.

Perantaraan agar keyakinan ini terpasak teguh dalam hati ialah dua perkara, iaitu: Dakwah dan Doa. Dakwah kita perlu cakapkan lagi dan lagi, ajakkan lagi dan lagi, ceritakan lagi dan lagi, sebut-sebutkan lagi dan lagi, serukan lagi dan lagi hakikat ini kepada manusia lain; manakala doa pula ialah kita mohon daripada Allah seperti seorang peminta sedekah, dengan menangis-nangis kita merayu, agar Allah ‘sedekah’kan hakikat iman-yakin sebegini kepada kita.

Adakah kita bersedia melakukan dua perkara ini?

Saturday, January 16, 2010

Pemangku Raja imam solat hajat di stadium


Saya baca tajuk di atas dalam portal sebuah akhbar. Apabila saya tenung gambar ini, hati saya bagai disiram dengan air sedingin salji. Alangkah indahnya, apabila seorang raja mengimamkan rakyat jelatanya, sama-sama sujud merendah diri di hadapan Pencipta segala raja, Pemilik segala kerajaan.

Kata orang, sekeping gambar mampu bercerita melebihi seribu kata. Tiba-tiba hati saya berimpian, alangkah hebat dan indahnya, jika seorang Pemangku Raja ini dapat pula menjadi asbab, belasan paduka duli-duli tuanku raja-raja yang lain juga dapat mengimamkan solat kepada hamba rakyat mereka!
"Ampun Tuanku!"

Thursday, January 7, 2010

"Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku..."

Allah adalah Zat Wajib Wujud Yang Maha Esa lagi Satu-Satunya Maha Pencipta. Selain daripada Allah, semuanya adalah makhluk (yang diciptakan). Hanya Allah sahaja yang Khaliq (Sang Pencipta). Apa yang Allah kehendaki ada, barulah perkara itu akan ada. Dialah Allah, Tuhan yang tiada tuhan lain selain-Nya.

Tuhan Yang Maha Esa lagi Maha Mencipta inilah yang telah memanggil dan memperkenalkan Diri-Nya dengan nama Allah, "Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, Sembahlah akan daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati daku." (Toha 20:14)

Al-Imam Abu Ja'far At-Tohawi (wafat 321H) menyimpulkan di dalam kitabnya Al-Aqidah At-Tohawiyah, bahawa, "Sesungguhnya Allah Taala itu Tunggal tiada sekutu bagi-Nya, tiada yang seumpama dengan-Nya, tiada suatu apa pun yang dapat melemahkan-Nya, dan tiada tuhan lain selain-Nya: Sediada (qadim) dengan tiada permulaan, Berkekalan dengan tiada kesudahan, tidak binasa Dia dan tidak rosak Dia, tiada apa pun boleh berlaku melainkan apa yang Dia kehendaki, Tiada sampai akan Dia oleh segala waham, dan tiada mendapat akan dia segala faham; tiada menyerupai Dia akan al-anaam (jin dan manusia); Hidup tidak mati Dia, Berdiri Dia sendiri tanpa tidur Dia, Dia Yang Menjadikan tanpa berhajat, Yang Memberi rezeki tanpa rasa berat, Dia Yang Mematikan tanpa takut, Dia Yang Membangkitkan tanpa sebarang kesukaran; Sentiasa Dia serta segala sifatNya, sediakala sebelum ada makhlukNya, tidak bertambah Dia dengan sebab wujudnya mereka suatu apa pun (akan sesuatu) daripada sifatNya yang tiada ada dahulu daripada mereka itu, sebagaimana adalah Dia dengan sifat-sifatNya adalah sediakala azali, maka demikianlah juga sentiasa Dia atas sifat-sifat kekal abadi." Intaha.

Sesungguhnya Allah itu telah berhak dengan nama Al-Khaliq (Yang Maha Menciptakan) bukan kerana Dia telah menciptakan makhluk-Nya, tetapi itu adalah sifat-Nya yang azali sebelum Dia menciptakan segala sesuatu.

Dialah Allah. Rabbul-'alamin. Zat yang telah menciptakan dan mentadbir segala ciptaan-Nya. Dialah Rabb bagi seluruh alam. Bukan satu alam, bahkan ribuan alam ciptaan-Nya. Ada alam yang kita tahu, ada alam yang kita tidak tahu. Imam Ibnu Kathir menukilkan di dalam kitab tafsirnya, "dan Muqatil berkata, alam-alam itu ada 80,000 alam. Kata Ka'ab Al-Ahbar, tidak ada yang mengetahui jumlah alam ini melainkan Alla Azza Wa Jalla. Semua ini dinaqalkan oleh Al-Baghawi. Al-Qurtubi pula telah menceritakan daripada Abu Sa'id Al-Khudri bahawasanya dia berkata, sesungguhnya bagi Allah itu 40,000 alam; dunia ini dari timur hingga ke baratnya, itu baru satu alam daripada alam-alam (yang berjumlah 40,000 itu)." Intaha.

Hakikat ini bukan untuk dijadikan penglipulara, tetapi perlu dipasak ke dalam hati kita. Iman kita perlulah menjadikan hati kita dipenuhi dengan keyakinan hanya kepada Allah, bahawa Dialah satu-satunya Tuhan. Tiada tuhan lain selain Allah. Hati kita perlu dipenuhi dengan 'azmatillah (kehebatan dan keagungan Allah)! Sehingga kalimah "Allahu Akbar!", benar-benar menyebabkan kita melihat selain daripada Allah semuanya kecil. Kebesaran dan keagungan Allah ini akan menyingkirkan seluruh 'ghairullah' atau 'al-aghyaar' (yakni, apa sahaja selain Allah).

Keyakinan sebegini akan menyebabkan kita hanya terkagum dan terkesan dengan kebesaran Allah. Kekaguman ini akan menyebabkan kita hanya jatuh cinta dengan Allah. Cinta ini akan mendorong kita untuk mencintai apa sahaja yang Allah cinta, dan mendorong kita mencintai sesuatu hanya kerana Allah. Cinta ini juga akan mendorong kita untuk membenci apa sahaja yang dibenci oleh Allah, dan mendorong kita untuk membenci sesuatu kerana Allah. Semua ini akan membawa rasa manis kepada iman. Dek kerana yakin ini, akan menyebabkan kita menyakini sepenuhnya janji-janji Allah. Oleh itu, kita akan berusaha sekeras mungkin berwaspada, kerana kita takut menyinggung 'hati' Allah yang amat kita cintai. Kita juga akan berusaha sekeras mungkin, bak kata Saiyidina Umar Al-Khattab r.a., "Syammartu waj-tahaddtu!" (Aku akan berhati-hati dan bersungguh-sungguh!); yakni bersungguh-sungguh untuk menggembirakan Allah. Kegembiraan Allah Taala akan hanya dicapai melalui satu perkara sahaja, iaitu: Taat Perintah Allah, cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.!

"Laa ilaaha illalLah, Muhammadur rasulullah", inilah kalimah Iman.

Semua ini akan mudah untuk dijadikan hakikat, apabila kita dakwahkan perkara ini berkali-kali! Lagi dan lagi! Kita cakapkan lagi dan lagi. Kita sebut-sebutkan lagi dan lagi! Kita beritahu seluruh manusia lagi dan lagi! Kita sampaikan percakapan ini lagi dan lagi! Hinggalah kita tiada lagi!
"Sesungguhnya orang-orang Yang menegaskan keyakinannya Dengan berkata: "Tuhan Kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan Yang betul, akan Turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan Terimalah berita gembira Bahawa kamu akan beroleh syurga Yang telah dijanjikan kepada kamu. "Kamilah penolong-penolong kamu Dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh - pada hari akhirat - apa Yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh - pada hari itu - apa Yang kamu cita-citakan mendapatnya. "(Pemberian-pemberian Yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan dari Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani!" ( Fussilat 41: 30 -32)

Sunday, January 3, 2010

SOLUSI BIL. 15: Fadilat Sang Muhajir

Alhamdulillah, dengan izin Allah Taala, artikel saya untuk kolum bulanan di Majalah Solusi masih dapat diteruskan. Kali ini, kolum saya diletakkan di halaman 70 majalah. Saya kongsikan di sini artikel asal sebagaimana yang terdapat di dalam laptop saya. Semoga ada manfaatnya!

Berhijrah adalah satu amalan yang sangat mulia. Malah antara amalan yang paling atas dalam senarai amalan-amalan soleh. Allah s.w.t. sendiri menjadikan hijrah sebagai salah satu kriteria seorang yang benar-benar beriman. Dalam Al-Quran, amalan hijrah diseiringkan dengan amalan ‘Jihad fi Sabilillah’ (berjuang di Jalan Allah).


Antaranya, firman Allah s.w.t., mafhumnya:

“Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya; mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.” (Al-Anfaal 8:74)

Sebenarnya jika kita merujuk kehidupan para Sahabat radiyallahu ‘anhum, amalan hijrah dan jihad merupakan amalan telah sebati dengan diri mereka. Walaupun para Sahabat telah dibahagikan kepada dua gelaran, iaitu Muhajirin dan Ansar, namun sebenarnya apabila diteliti rutin kehidupan mereka; maka dapat kita simpulkan bahawa keadaan diri mereka hanya berkitar antara amalan Hijrah (meninggalkan kampung halaman atas maksud agama) dan Nusrah (membantu orang yang berhijrah kerana agama). Seorang tokoh mufakkir Islam iaitu Al-‘Allamah Asy-Syaikh As-Saiyyid Abul-Hasan Ali an-Nadwi pernah menyimpulkan di dalam satu suratnya bahawa orang Islam itu hanya terbahagi kepada dua golongan sahaja, tidak ada yang ketiga. Menjadi orang yang keluar (berhijrah) di jalan Allah (Muhajir) atau yang membantu orang yang sedang keluar (berhijrah) di jalan Allah (Ansar).

Imam Al-Qurtubi menyatakan di dalam tafsirnya, ayat di atas menyatakan bahawa orang-orang yang beriman ini telah benar-benar membuktikan keimanan mereka dengan (melaksanakan) amalan Hijrah dan Nusrah mereka; manakala Allah s.w.t. pula telah membenarkan keimanan mereka dengan bisyarah (berita gembira) melalui firman-Nya, “mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia” iaitu pahala yang besar di dalam syurga.

Sebagai gambaran betapa mulia dan tingginya fadilat amalan hijrah ini, dinukilkan satu kisah yang tercatat di dalam kitab Hayatus-Sahabah, Jilid 1, Bab Hijrah.

Diriwayatkan daripada Al-Baihaqi dari Ibnu Sirin, katanya: Diceritakan bahawa terdapat beberapa orang yang telah memuji Umar r.a. pada zamannya dan melebih-lebihkannya berbanding Abu Bakar r.a. Berita ini telah sampai kepada Umar r.a., lalu dia berkata, “Demi Allah, satu malam milik Abu Bakar lebih baik daripada (amalan) seluruh keluarga Umar. Begitu juga, satu hari yang dihabiskan oleh Abu Bakar adalah lebih baik daripada seluruh keluarga Umar!

Pada suatu malam, Rasulullah s.a.w. berangkat dari Makkah menuju gua Thaur, bersama Abu Bakar r.a. Sekejap Abu Bakar berjalan di depan Rasulullah s.a.w., dan sekejap dia berjalan di belakang baginda. Apabila Rasulullah s.a.w. menyedari hal ini, lalu baginda bertanya, “Wahai Abu Bakar, apa yang menyebabkan engkau berjalan sekejap di hadapanku dan sekajap di belakangku?”

Jawab Abu Bakar r.a., “Ya Rasulullah, apabila saya teringat musuh mengejar mu, maka saya berada di belakangmu. Apabila saya teringat yang mungkin musuh sedang menginati untuk menyerangmu, maka aku berjalan pula di hadapanmu.”

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Wahai Abu Bakar, jika terjadi apa-apa, apakah engkau lebih suka kalau itu menimpamu dan bukan menimpaku?”

Jawab Abu Bakar r.a., “Ya, demi Zat yang mengutuskan mu dengan kebenaran!”

Ketika mereka sampai di gua itu, Abu Bakar r.a. berkata kepada Rasulullah s.a.w., “Tunggulah di sini, wahai Rasulullah! Biarkan saya membersihkan dan membuangkan segala bahaya di gua ini terlebih dahulu.”

Kemudian dia masuk dan membersihkannya. Tiba-tiba dia teringat bahawa dia belum membersihkan sarang-sarang haiwan berbisa, lalu dia berkata, “Tunggulah sebentar di sini, wahai Rasulullah! Biarkan saya membersihkannya.” Kemudian dia masuk dan membersihkannya.

Setelah itu Abu Bakar r.a. berkata kepada Rasulullah s.a.w., “Turunlah, wahai Rasulullah s.a.w.” Kemudian Rasulullah s.a.w. pun turun daripada untanya.

Umar r.a. berkata, “Demi Allah yang jiwa ku di dalam gengaman-Nya, malam yang dihabiskan Abu Bakar bersama Rasulullah s.a.w. itu adalah lebih baik daripada seluruh keluarga Umar.”

Lihatlah, betapa Saiyidina Umar Al-Khattab r.a. memahami ketinggian fadilat walau satu malam sahaja keluar berhijrah di jalan Allah. Oleh yang demikian, semoga kita juga kini dapat memahami betapa pentingnya hubungan hijrah dengan usaha menegakkan agama sebagaimana yang dipesankan oleh Rasulullah s.a.w., “Wahai manusia! Berhijrahlah kamu sekalian (di jalan Allah) dan berpegang teguhlah dengan Islam, maka sesungguhnya hijrah tidak akan terhenti selama masih ada Jihad.” (HR At-Tobrani, dan sanadnya kesemuanya adalah thiqat, sebagaimana di dalam Majma’uz-Zawaaid 9/658)

Sempena tahun baru sama ada kalendar Hijri mahupun Masihi ini, marilah kita menghayati kembali ketinggian fadilat amalan Hijrah ini. Sebelum kita dijemput untuk berhijrah daripada alam dunia ini ke alam akhirat yang kekal abadi.