Tuesday, October 27, 2009

Nubariku berkata...

Bismillahir-Rahmaanir-Rahiim,

Ya Allah, aku memuji-Mu dengan pujian yang selayaknya dengan segala Keagungan dan Kehebatan-Mu. O Allah, Engkaulah Tuhan, tiada Tuhan melainkan Engkau. Engkaulah Tuhan Sarwa Sekalian Alam. Maha Pengasih Engkau ya Allah, Maha Penyayang Engkau ya Allah! Kasih sayang Mu melaut luas, maghfirat-Mu melangit tinggi. Demi rahmat-Mu yang meliputi segala ciptaan-Mu, aku menadahkan tangan dan menghadap akan hati ini kepada Mu; dengan penuh harapan kepada Mu. Sudikanlah kiranya, memandang kepada aku hamba-Mu yang hina ini, dengan pandangan Tuhan Yang Maha Rahman, dan berbelas-kasihanlah kepada ku.

Ya Allah, selawat dan salam buat Rasul Junjungan, Hadrat Habibika Muhammad, Penghulu sekalian Rasul, Penutup sekalian Nabi. Demikian juga buat keluarga baginda, dan para Sahabat sekaliannya. Ya Allah, demi kemuliaan baginda, berbelas kasihanlah kepada kami, umat hujung akhir zaman baginda. Ya Allah, demi kasih sayang baginda kepada kami; sampaikanlah salam rindu kami kepada baginda. Salam dari seorang umat yang amat kecil lagi hina, tetapi amat rindu kepada baginda. O Allah, hanya Engkau yang tahu, apa yang ada di dalam hati ku ini.

Ya Hayyu Ya Qayyum, demi cahaya Wajah-Mu yang menyinari segala sesuatu, sinarlah hati ku ini dengan limpahan taufik dan hidayah-Mu, agar aku senantiasa sedar dan merasa kehadiran-Mu, kebesaran-Mu, kehebatan-Mu dan betapa bergantungnya aku kepada-Mu. Janganlah Engkau biarkan hati ini lalai dari mengingati-Mu. Ya Allah, hidupkanlah hati ini; jangan Kau matikannya. Kau tetapkanlah hati ini di atas kalimah-Mu, terutama pada hari yang akan berbolak-balik pandangan dan hati-hati manusia; hari Akhirat yang pasti akan aku tempuhi.

Ya Allah, betapa banyak hajat-hajat hamba-Mu yang fakir ini, baik hajat dunia ataupun akhirat, namun ya Allah, yang paling penting ya Allah, Engkau kekalkanlah aku atas hidayat-mu, sehingga Engkau redha kepada ku. Ya Allah, kasihanilah sama umat ini. Kami umat kekasih-Mu ya Allah, umat yang ditangisi oleh Rasul-Mu dulu ya Allah. Kami umat akhir zaman ya Allah. Kesianlah kepada kami. Jangan Kau biarkan kami sendirian. Jangan Kau biarkan kami tanpa pembelaan-Mu ya Allah. Jagalah kami, sebagaimana penjagaan terhadap bayi yang dilahirkan. Ya Allah, umat sedang menderita ya Allah. Penderitaan rohani dan jasmani. Kerana kerosakan rohani kami, kami kini bagai buih di laut, bagai hidangan yang sedia diterkam. Ya Allah, ampunkanlah segala salah silap kami. Kami umat kekasih-Mu ya Allah, demi Jah kekasih-Mu ya Allah, ampunilah kami. Janganlah Kau rotan kami lagi ya Allah. Kesian kami ya Allah. Hanya Engkau sahajalah harapan kami. Kalau Kau palingkan diri daripada kami, siapa lagi yang kami nak panggil ya Allah. Ya Allah! Ya Allah! Pandang kami dengan kasih dan keampunan-Mu ya Allah!

Siapa lagi yang kami ada selain-Mu, ya Allah?

Bantulah umat ini...

Amin.

Thursday, October 22, 2009

Satu pertanyaan untuk direnungkan jawapannya!

Pagi ini sempat menjenguk blog Ust Hambali. Alhamdulillah, banyak ilmu yang diperolehi daripada curahan ilmu, pandangan dan pengalaman Ustaz. Saya tertarik dengan satu lontaran pertanyaan beliau, "Adakah Kita Kebal Dari Bala Musibah?"

Sebelum memberi jawapannya, silalah hayati tulisan beliau, yang saya 'potong dan tampal' terus daripada blog beliau. Semoga ada manfaatnya kepada kita.

Berita Di Akhbar Harian:


Hj.KAHAR RASUL MELAYU

Abdul Kahar ditangkap pada 16 September lalu di rumah sewa di Sungai Long dan ditahan di Penjara Sungai Buloh. Pertuduhan mengikut Seksyen 7, 8(a), 10(b), 12 (c) dan 13 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.

Bagi tuduhan pertama, ketua ajaran sesat yang diharamkan pada 1991 itu mengaku bersalah menyebarkan doktrin palsu dengan mendakwa solat cukup sekadar mencegah kemungkaran dan ibadah haji sia-sia dan merugikan.

Abdul Kahar juga didakwa membuat dakwaan palsu dengan mengisytiharkan dirinya sebagai Rasul Melayu yang bertentangan ajaran Islam.

Dia juga menghadapi tuduhan menghina Islam dengan mengeluarkan perkataan yang berbunyi ‘sekiranya ada orang yang berbuat mungkar barulah boleh solat, mencegah kemungkaran adalah rukun, mentaati Allah itu adalah sujud, tidak perlu tonggang-tonggeng dan membebel sorang-sorang (merujuk kepada solat).
Dia juga menghadapi tuduhan keempat menyebarkan pandangan bertentangan fatwa dengan mendakwa sebagai Rasul Melayu, solat tidak wajib dan ibadah Haji tidak perlu ditunaikan di Makkah sebaliknya boleh dikerjakan di mana-mana saja.

Bagi tuduhan kelima, Abdul Kahar didakwa mengingkari arahan mufti apabila mengajar ajaran sesat itu di depan tiga individu lain sekali gus menghina pihak berkuasa agama yang sudah mewartakan ajaran itu sebagai sesat.


RANCANG BUNUH, BAKAR

KUALA LUMPUR: Nasib tiga tertuduh dalam kes bunuh pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Bakaruddin Busu, lima tahun lalu akan diketahui 13 November ini apabila Mahkamah Tinggi di sini, memberikan keputusannya.

Hakim Datuk Muhammad Ideres Muhammad Rapee menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan selesai membuat hujahan balas terhadap hujahan peguam bela yang didengar pada 15 September lalu.

Terdahulu, dalam hujahan balas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail, berkata ketiga-tiga tertuduh, Sulkarnain Alias, 32, Noorman Ab Wahab, 31, dan Azizul Azual Mohamad Jailani, 24, membuat perancangan awal membunuh mangsa dengan menikam menggunakan pedang seterusnya membakar mayat bagi melupuskan bukti.


BERSALIN SEHARI LEPAS NIKAH

ALOR STAR: Akad nikah kelmarin, namun semalam dimasukkan ke wad kerana sakit hendak bersalin adalah pengalaman dilalui seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dari Kuala Kedah dekat sini, apabila dikurniakan zuriat hanya sehari selepas bergelar isteri.

Kejadian menimpa remaja itu disebabkan dia terlanjur dengan teman lelaki berusia 19 tahun.

Difahamkan, remaja itu cuba menyembunyikan kandungan daripada pengetahuan keluarga, tetapi tidak bertahan lama apabila ibunya mengesan perubahan bentuk tubuhnya dan mendesaknya menceritakan perkara sebenar.

Sebaik mengetahui itu, keluarganya berjumpa keluarga teman lelakinya sebelum mereka mengambil keputusan menyelesaikan perkara itu secara baik dengan menyatukan kedua-dua remaja itu sebagai suami isteri.


MANGSA LELAKI JAHANAM

KUALA LUMPUR: Dia hanya berusia 14 tahun tetapi masa depannya diragut akibat dirogol seorang lelaki beristeri empat, menyebabkannya kecewa lantas merelakan teman lelaki serta rakan sekolah ‘membaham’ tubuhnya hampir setiap hari selama berbulan-bulan.

Setiap kali berpeluang, dia sanggup melakukan hubungan seks dengan seorang atau hingga lapan lelaki sekali gus dan lebih teruk lagi, aktiviti terbabit dilakukan di stor sekolah tempatnya belajar.

Gadis tingkatan dua itu yang mahu dikenali sebagai Roslina mendedahkan perilaku buruknya bukan untuk berbangga, sebaliknya sebagai pengajaran kepada pihak lain dan dia kini bertaubat.


CABUL SISWI IPTS

DENGKIL: Seorang lelaki gila seks dikesan menyamar sebagai pemandu teksi semata-mata untuk melampiaskan nafsu dengan mencabul siswi sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di sini, baru-baru ini.

Selain berpakaian lengkap dan berlagak seperti pemandu teksi, lelaki berkenaan bertindak licik dengan menukar nombor pendaftaran teksi yang digunakannya dalam usaha mengaburi pihak berkuasa.


20,000 HADIRI GEGARIA

DUNGUN: Hari kemuncak Karnival GegaRia Harian Metro Dungun 2009 yang berlangsung di Dataran Dewan Merdeka, di sini, terus mendapat sokongan penduduk setempat dan luar daerah ini apabila lebih 20,000 pengunjung membanjiri dataran berkenaan sejak bermula awal pagi, kelmarin.

Walaupun keadaan cuaca sejak beberapa hari lalu kurang memuaskan, ia tidak menghalang pengunjung memberi sokongan dengan menyertai semua program diatur sepanjang ia berlangsung.

Pelbagai acara tradisi dan aktiviti disediakan untuk semua peringkat usia termasuk dam haji, wau, pertandingan teh tarik, mewarna, juara band Metro serta kereta cantik yang semuanya menawarkan hadiah menarik.

Program sepanjang dua hari dimulakan dengan pertandingan fit soccer yang menawarkan hadiah lumayan dengan setiap penyertaan dikenakan bayaran sebanyak RM100.


REMAJA SOROK BAWAH SOFA

PASIR PUTEH: Remaja perempuan memberi alasan mahu membuat persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala remaja lelaki menyorok di bawah sofa.

Itulah keadaan yang berlaku selepas pasukan sukarela mencegah maksiat, Skuad Amru, menyerbu sebuah rumah di satu taman perumahan, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam, seorang pelajar perempuan dikatakan ke rumah rakan perempuan yang ketika itu turut bersama seorang rakan lelaki di rumah terbabit.

Ketua Operasi Skuad Amru, Zin Arif Hassan, berkata mereka menerima aduan daripada orang awam yang memaklumkan kehadiran beberapa remaja di dalam rumah berkenaan tanpa ditemani ibu bapa masing-masing.

TARGHIB :

Berdasarkan berita-berita di atas, adakah negara kita ini kebal dari bala dan musibah dari Allah swt?. Bila dilihat di negara-negara jiran kita terkena bala musibah dasyat, Indonesia dengan gerakgempanya, Philipina dengan ribut taufannya. Kampuchea, Vietnam dan Laos juga dengan ribut taufannya. Australia dengan taufan merahnya. India dengan banjir besarnya. Melihat bala musibah di negara-negara jiran, adakah kita boleh mendabik dada kerana kita kebal dengan bala musibah dari Allah swt?.

Belum tentu kita selamat wahai saudara saudari semua jika maksiat di atas berterusan manakala dakwah ditinggalkan. Jika di lihat pada hadis di bawah ini :

Dari Ursi ibn Amirah r.a berkata bahawa Rasulullah saw bersabda, " Sesungguhnya Allah tidak akan mengazab masyarakat banyak di sebabkan kejahatan segelintir mereka, sehingga segelintir mereka-mereka itu melakukan kejahatan yang sebenarnya mampu dicegah oleh masyarakat banyak tetapi mereka tidak berusaha mencegahnya. Jika terjadi demikian maka Allah mengambil keputusan untuk membinasakan semuanya masyarakat banyak dan juga segelintir." (Riwayat Tabrani : majma'uz Zawaa'id)

Juga hadis di bawah ini :

Dari Zainab binti Jahsyi r.ha menceritakan,"Aku bertanya Rasulullah saw, Wahai Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami ada orang-orang yang salih?" Rasulullah saw menjawab," Ya, apabila kejahatan telah berleluasa (bermaharajalela)" (Riwayat Bukhari :7135)

Juga jika tidak ada kesedihan dan kerisauan di atas maksiat yang banyak seperti berita di atas juga akan mengundang bala dan musibah dari Allah swt. Bersabit dari hadis Nabi saw bahawa Allah swt mewahyukan kepada Jibrail a.s untuk terbalikkan sekian bandar bersama penduduknya. Namun Ia kembali pada Allah dan mengkhabarkan bahawa di bandar berkenaan terdapat seorang hamba Allah yang tak pernah bermaksiat sekelip mata pun. Namun Allah swt berfirman hancurkan bandar berkenaan atasnya dan atas yang lain kerana pada wajahnya tidak ada sedikit pun kerisauan atas maksiat yang berlaku.

Jika dilihat di Mekah pada awalnya lebih maksiat dari sekarang. Segala-gala maksiat ada di sana. Zina, Minum arak, pembunuhan malah membunuh anak hidup-hidup, Tawaf dengan berbogel dan berbagai lagi maksiat. Orang yang terlaknat yang dilaknati oleh Allah swt pun ada di dalamnya. Namun tidak ada bala musibah seperti sekarang ini. Mengapa? Kerana adanya kerisauan dan dakwah oleh Nabi saw dan sahabat r.hum.

Nabi sentiasa risaubimbang atas umatnya ketika itu sebagaimana hadis Nabi saw:

dari Hindun bin Abi Ahalah r.a berkata." Adalah Nabi saw orang yang terus menerus dalam kesedihan dan risau (atas keadaan umatnya), beliau tidak pernah merasa tenang, banyak berdiam dan tiada bercakap tanpa keperluan." ( Riwayat Tirmizi : 226)

Fikir-fikirkanlah.

Saturday, October 10, 2009

Coretan dari Kuching, Sarawak...

Alhamdulillah, Seminar Pelaksanaan Wakaf Negeri di Sarawak telah berakhir. Saya dapat menyaksikan, betapa berkobar-kobar warga seminar untuk menjayakan misi menjadikan institusi wakaf di Sarawak ini sebagai satu sarana penting dan bermakna bagi meningkatkan sosio-ekonomi umat Islam. Pengalaman setua dan sekukuh institusi wakaf oleh Universiti Al-Azhar, dan kejayaan sekreatif Warees Investments Pte. Ltd, Singapura dan Johor Corporation telah benar-benar diambil iktibar bagi membangunkan pula institusi wakaf yang gah di Sarawak Bumi Kenyalang. Semoga ini semua akan beroleh bantuan dan taufik daripada Allah bagi menjayakannya.

Sambil berehat di Grand Margherita Hotel petang ini, saya teringat satu group yang saya telah lancarkan di Facebook. Saya sebenarnya sedang berehat, sambil menunggu kawan saya Ust Suharman Edward untuk keliling-keliling bandaraya Kuching ini. Flight pulang saya seawal jam 6.00 pagi esok. Jadi petang ini, hajatnya ingin mencari sedikit pesanan seperti kuih cincin dan ikan terubuk masin. Syukur, di samping berseminar, malam tadi saya dijemput untuk menyampaikan kuliah maghrib di Masjid Taman Samarindah. Ust Wan Arifin As-Saqaf yang menguruskan jemputannya. Dapat saya bersilaturahim dengan jemaah masjid. Malam ini pula, Ust Suharman minta saya sampaikan ceramah di surau tempat tinggalnya. Semoga Allah mudahkan, dan dapat saya bersilaturahim ke kampung Ust Suharman pula.

Berbalik kepada group Masjid Itu Hidupku di Facebook, alhamdulillah, sehingga jam 3.30 petang ini, warga Facebook yang sudi menjadi ahli group MIH ini telah mencecah 746 orang. Terima kasih atas kesudian menjadi ahli goup, semoga kesudian ini juga melambangkan kesudian empunya diri, dengan kepentingan masjid sebagai paksi kehidupan kita sebagai umat Islam.

Saya sangat berharap, group ini mampu mencapai jumlah keahlian seramai 1,000 orang dalam sedikit masa lagi. Dan seterusnya dapat mencecah 10,000 orang menjelang 2010 nanti.

Allahumma aamin!

Tuesday, October 6, 2009

Gempa di Padang...

Petang tadi saya dapat satu SMS daripada seorang sahabat, berbunyi, “Sahabat2, kejadian gempa di Padang jam 17:16 lihatlah QS 17:16, susulan di Padang jam 17:58 buka QS 17:58. Trjadi pada tgl/bln 30:9 lihat QS 30:9. Gempa di Jambi jam 8:52 lihat QS 8:52 Renungkanlah… smoga kta trmsuk org2 yg dpt mngambil hikmah + pelajaran. –Fadi”

Bila saya menerima SMS ini, saya sangat teruja. Bagaimana pun , saya meminta sahabat saya double check berkenaan waktu-waktu gempa yang dinyatakan. Ini bagi memastikan kesahihan fakta. Ayat-ayat Al-Quran yang dinyatakan, tentulah kita tidak meraguinya; tetapi waktu-waktu jam dan minit yang dinyatakan perlu disahihkan. Akhirnya saya menerima SMS seterusnya.

“I’ve recheck d time thru media, semua ikut waktu Jakarta, cuma gempa susulan di Padang, ada yang kata 17:38 instead of 17:58, ayat 38 mengenai kebencian Allah terhadap dosa manusia.”

SMS seterusnya, “Upps sumber dari: department energy dan sumber daya mineral republic Indonesia badan geologi. B-)”

Jutaan terima kasih atas kesudian sahabat saya ini yang begitu amanah dengan SMS yang disebarkannya.

Tanpa ingin memberi komentar yang panjang lebar, saya perturunkan nukilan ayat-ayat Al-Quran yang dirujuk oleh SMS sahabat saya itu:

“dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang Yang melampau Dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.” (Al-Israa 17:16)

“dan tiada sesebuah negeri pun melainkan Kami akan membinasakannya sebelum hari kiamat, atau Kami menyeksa penduduknya Dengan azab seksa Yang berat; Yang demikian itu adalah tertulis di Dalam Kitab (Lauh Mahfuz).” (Al-Israa 17:58)

“tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan Bagaimana kesudahan orang-orang Yang terdahulu dari mereka? orang-orang itu lebih kuat daripada mereka sendiri, dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran Yang dilakukan oleh mereka, dan orang-orang itu juga telah didatangi oleh Rasul-rasulNya Dengan membawa keterangan-keterangan Yang jelas nyata (lalu mereka mendustakannya dan kesudahannya mereka dibinasakan). Dengan Yang demikian, maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah Yang menganiaya diri sendiri.” (Ar-Ruum 30:9)
“(Keadaan orang-orang kafir itu) samalah seperti keadaan Firaun dan kaumnya serta orang-orang Yang terdahulu dari mereka. mereka kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, lalu Allah menyeksa mereka Dengan sebab dosa-dosa mereka. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha berat seksaNya.” (Al-Anfaal 8: 52)
"tiap-tiap satu perintah itu, menyalahinya adalah kejahatan Yang dibenci di sisi Tuhanmu.” (Al-Israa 17:38)
Oh Allah, ampunilah segala dosa-dosa kami.. Kasihanilah kami.. Janganlah Kau rotan kami.. Berlemah-lembutlah dengan kami! Oh Allah.. Ku adukan segala duka cita ku ini kepada-Mu!

Wajah-wajah yang dekat di hati...

Tadi teringat gambar-gambar yang diambil semasa balik berhari raya tempoh hari. Sengaja saya abadikan di blog ini. Wajah-wajah yang dirakamkan ini, adalah insan-insan yang amat dekat di hati saya. Sungguhpun begitu, saya cuba untuk memenuhi kehendak Allah SWT, yang telah mengingatkan, melalui firman-Nya:

"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda Yang kamu usahakan, dan perniagaan Yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal Yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara Yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang Yang fasik (derhaka)." (At-Taubah 9: 24)

Allah tidak melarang kita mencintai ibu bapa, anak isteri, handai taulan, emas perak, harta benda, sawah ladang, kampung halaman, kedai pejabat dan rumah tangga kita; tapi apa yang Allah tuntut ialah agar meletakkan semua itu kena pada susunannya. Hirarkinya kena betul dan tepat. 3 perkara mesti mengatasi yang 8. Allah, Rasul dan usaha Agama mestilah mengatasi senarai yang lapan itu. Itu sahaja. Bukan menafikan, hanya meletakkan pada tempatnya yang betul.



"Oh Allah.. Kau lebih mengetahui akan hati ini..."