Saturday, July 25, 2009

Dakwah dari rumah ke rumah...

Saya tertarik dengan satu posting di Blog Dakwah IlalLah. Saya abadikan posting tersebut di blog saya ini. Semoga ada manfaatnya.


Dakwah dari rumah ke rumah

Pandangan Saudara Al-Faqir MGC Abdil Aziz

Soalan: Mengapa perlu buat dakwah dari rumah ke rumah?

Jawapan:Assalamu 'alaikum,Bismillah, walhamdulillah, wassolatu wassalamu 'alarasulillah.

Utk jawapan awal, suka saya nyatakan, kadang-kadang, sesuatu usul atau manhaj tidak didapati dengan sorih. Memang tidak akan didapati hadith yg menyatakan seperti, bersabda Rasulullah s.a.w., "aku telah pergi hari ini ke rumah si poolan.. kemudian si polan.. bla.. bla.."bagaimanapun, jika kawan sdr itu benar-benar sekolah agama dan mempunyai kebolehan untuk menatap kitab2 sirah, pasti persoalan ini tidak akan timbul.

Dalil, kadang-kadang diambil daripada 'mafhum'(yg boleh difahami) dan bukannya 'mantuq'(yg dituturkan/diceritakan).

Berkenaan dari rumah ke rumah minta kawan sdr buka kitab Hayatus-Sahabah dan baca ulang-ulang kali bab Dakwah Rasulullah dan Para Sahabat, semuanya kat jilid 1 ( bagi versi asal berbahasa Arab - bagi terjemahan Inggeris dan melayu, itu bergantung kpd cetakannya).

Oleh kerana kawan sdr itu bersekolah Arab, saya membuat anggapan dia mampu memahami bahasa Arab, dan semasa membaca riwayat2 yg disusun oleh Maulana Yusuf rah.a. di dalam hayatus-Sahabah, beliau mestilah faham gambaran keadaan bangsa Arab seperti cara susunan kabilah dan bani mereka, apakah yg dimaksudkan dengan 'Daar', perkampungan, cara susunatur rumah mereka. Inilah yg dinamakan sebagai 'mafhum'.

Sebagai contoh, satu petikan dripada kitab hayatus-Sahabah;"Ibnu Ishak juga menukilkan daripada Az-Zuhri, bahawa Rasulullah (s.a.w.) pernah juga menemui suku Kindah di 'daar'(perkampungan) mereka, dan berjumpa sendiri penghulu mereka bernama Malik. Baginda mengajak mereka beriman kepada Allah Azza Wa Jalla....." (Al Bidayah wa Ani-Nihayah 3: 139)

Di dalam riwayat ini, Nabi sa.w. diberitakan telah mendatangi suku Kindah. maknanya, Rasulullah s.a.w. telah PERGI kepada mereka, bukannya hanya menanti mereka datang kepada baginda.

Dan Rasulullah s.a.w telah menemui mereka di 'daar' mereka. 'Daar' ertinya rumah. Tentulah salah jika kita nak faham 'daar' itu dengan sebiji rumah. Ini kerana pada zaman itu, bangsa Arab akan duduk berkelompok mengikut kabilah atau suku masing2. maka kelompok rumah2 ini dinamakan 'daar', samada 'daar' kabilah atau daar bani. Contohnya dalam perkampungan suku kaum Kalb, terdapat pula daar Bani Abdullah.

Jika demikian, bagaimanakah caranya Rasulullah s.a.w. berdakwah kpd mereka jika tidak pergi dari lorong ke lorong, rumah ke rumah, pintu ke pintu?

Dalam riwayat ini juga menunjukkan, Rasulllah sa.w. menemui mereka dan mendakwah mereka kepada iman di rumah2 mereka, bukannya di khemah2 mereka pada musim haji. Manakala riwayat berkenaan usaha baginda s.a.w. berdakwah kpd mereka semasa musim haji, lebih jelas lagi caranya diberitakan. Dimana hadrat Abu bakr r.a. akan menjadi rehbar/dalil, Rasulullah s.a.w. sebagai Mutakallim, dan bersama mereka ialah Hadrat Ali r.a.. Tentunya Rasulullah s.a.w. merangkap amir. mana mungkin Hadrat Ali menjadi amir, sedangkan Rasulullah s.a.w. bersama mereka. lalu ketiga2 orang ini akan pergi dari khemah ke khemah di Mina.

Saya harap, penerangan ringkas ini memadai untuk manmafaat kita semua.Wallahul-musta'an.wassalam.

[Petikan diambil dari posting di dalam tabligh@yahoogroups.com. Soalan dikemukan oleh salah seorang netters, kemudian jawapannya oleh sdr Al-Faqir MGC Abdil Aziz. Email: juhduddin@yahoo.com]



Soalan: Mengapa perlu buat dakwah dari rumah ke rumah?

(Sambungan)
Di sini suka saya memantapkan lagi muzakarah berkenaan adakah tidak dalil bahawa Rasulullah s.a.w. menjalankan dakwah baginda dari rumah ke rumah.

Dengan merujuk kepada Kitab Hayatus-Sahabah Jilid 1, cetakan Kutubkhanah Faidhi, Lahore, m.s. 79 (ini juga sebagai pembaikan yg lebih tepat kepada posting saya yg terdahulu):

Dan dikeluarkan juga oleh Ibnu Ishaq daripada Az-Zuhri: bahawasanya Rasulullah s.a.w. telah mendatangi kabilah Kindah di ‘manaazilihim’ dan dikalangan mereka seorang ketua yang dikenali sebagai Mulaih, maka Rasulullah s.a.w. telah mendakwah mereka kepada Allah, dan membentangkan kepada mereka mengenai diri baginda; tetapi mereka menolaknya.

Pemerhatian:

1. kalimah yg digunakan di sini ialah “manazilihim”. Manazil ilah kata jamak/plural kepada ‘manzil’ yang bererti rumah. Maknanya di sini, Rasulullah s.a.w. telah pergi ke perkampungan Kindah dan telah pergi dari rumah ke rumah untuk membentangkan dakwah kepada mereka. Termasuklah rumah ketua mereka yang bernama Mulaih.

2. jelas di sini, Rasulullah s.a.w. sendiri telah PERGI kepada mereka, dan bukannya menanti mereka.

Dalam mukasurat 195 kitab yang sama:

Ibnu Ishaq telah memberitakan daripada Abdullah bin Abi Bakr bin Muhammad bin Amru bin Hazm dan selainnya, bahawasanya As’ad bin Zurarah telah KELUAR dengan Mus’ab bin ‘Umair bertujuan ke ‘Daar’ Bani Abdil Asyhal dan ‘Daar’ Bani Zafar; dan adalah Sa’d bin Mu’az ialah sepupu As’ad bin Zurarah. Maka dia memasuki satu kawasan perkebunan Bani Zafar di satu perigi bernama Marq. Mereka berdua duduk di dalam kebun itu, dan berhimpunlah disekeliling keduanya lelaki2 yang telah pun menerima Islam; dan Sa’d bin Mu’az serta Usaid bin Hudhair pada ketika itu ialah ketua bagi kaum mereka dari kalangan Bani Asyhal dan mereka masih lagi sebagai musyrik dgn agama kaumnya. Dan apabila mereka mendapat khabar berkenaan (usaha yg dijalankan oleh As’ad dan Mus’ab), berkata Sa’d kpd Usiad: “Tidak maruahlah bagi kita! Engkau pergilah kepada dua orang tersebut yang telah mendatangi ‘daarainaa’ (rumah-rumah kami)…….

Pemerhatian:
1. As’ad dan Mus’ab telah KELUAR ke perkampungan Bani Abdil Asyhal dan Bani Zafar. Di sana, mereka memilih satu tempat berdekatan degan perigi di dalam satu kebun.

2. Di sana, mereka telah membentuk halaqah taklim dan halaqah dakwah iman. Berhimpun disekeliling mereka berdua, lelaki-lelaki yang telah Islam.

3. daripada kata2 Sa’d bin Mua’z, dapat difahami, As’ad, Mus’ab dan beberapa orang yg bersama mereka, bukan sekadar mengadakan halaqah di dalam kebun, tetapi juga mendatangi rumah-rumah kaum bani Abdil Asyhal dan Bani Zafar.

4. Ini jelas daripada kata2 Sa’d: qad atayaa darainaa (mereka berdua telah mendatangi rumah-rumah kita)5. Dan jika kita kaji kisah mereka berdua ini seterusnya, kita akan dapati sesungguhnya kisah ini ialah ASAS kepada kerja 5 amal jamaah masjid, terutamanya kerja-kerja 2 ½ jam harian.

6. Di akhir cerita ini, akhirnya dgn sebab keluarnya As’ad dan Mus’ab, akhirnya seluruh bani Asyhal telah menerima hidayah dan memeluk agama Islam.

Daripada dua kisah di atas, masihkah ada ruang keraguan, bahawa Rasulullah s.a.w. dan para Sahabat baginda telah pergi kampung ke kampung, lorong ke lorong, rumah ke rumah, pintu ke pintu, mata bertentang mata, hati ke hati dan mendakwahkan manusia kepada Allah? Wallahul-musta’aan. Wassalam.

[Petikan diambil dari posting di dalam tabligh@yahoogroups.com. Soalan dikemukan oleh salah seorang netters, kemudian jawapannya oleh sdr Al-Faqir MGC Abdil Aziz. Email: juhduddin@yahoo.com]


Soalan lanjutan: Berdasarkan penerangan bahawa Rasulullah mendatangi sesuatu kaum menggunakan cara ini (dakwah dari rumah ke rumah) untuk mengislamkan kaum bukan Islam. Oleh itu tidakkah cara ini hanya sesuai digunakan kepada kaum bukan Islam?

Jawapan 1:
Assalamu 'alaikum,Bismillah, walhamdulillah, was-solatuwassalamu 'ala Rasulillah, wa ba'du;

Kita perlulah faham, asal kpd kerja dakwah ialah utk bawa manusia kpd ta'abbud(memperhambakan diri) kpd Allah. Apabila manusia semakin jauh daripada keadaan ini, maka Allah akan hantar para anbiya' dan rasul kepada mereka. Silih berganti, utk semua kaum anak-cucu Adam. malah Adam a.s. sendiri telah dilantik menjadi Rasul, sedangkan yg ada pada masa itu hanya beberapa orang sahaja.

Apabila Khaatamil-anbiya' wal-mursalin Saiyidina Muhammad s.a.w diberikan tanggungjawab Risalah dan Nubuwwah, maka apakah tugas yg pertama sekali Nabi s.a.w. jalankan agar manusia kembali berta'abbud kpd Allah? Tanpa ragu - lihatlah di dalam Al-Quran, kitab2 hadith dan kitab2 siirah - kerja pertama yg Nabi s.a.w. jalankan ialah mendakwah manusia kepada Allah.

Antara cara yg telah dijalankan oleh Rasulullah s.a.w. semasa menjalankan usaha dakwah ialah menemui manusia dari rumah ke rumah. Bahkan ulamak mengatakan, cara ini ialah jalan asas seluruh para Anbiya' menjalankan kerja2 dakwah mereka.

Setelah persoalan benarkah Rasulullah s.a.w. menjalankan kerja dakwah dari rumah ke rumah terjawab melalui muzakarah yg lalu, kini timbul pula persoalan yg kedua iaitu "adakah Rasulullah s.a.w. menggunakan cara ini untuk mengislamkan kaum bukan islam (adakah benar?) oleh itu tidakkah cara ini hanya sesuai digunakan kepada kaum bukan islam?"

Jawapannya (setakat kemampuan yg Allah izinkan kpd saya yg faqir ini):Benar, Rasulullah s.a.w. telah menggunakan cara ini untuk membawa Islam kepada sesuatu kaum, dan membawa kaum itu kepada Islam!Saudara menyoal, tidakkah cara ini hanya sesuai digunakan kepada kaum bukan Islam?

Sebenarnya, saya hairan bagaimana seorang muslim boleh bartanya sedemikian. Untuk menghuraikan kehairanan saya, ini akan membuatkan muzakarah lebih panjang. Saya ringkaskan saja.

Pada pendapat saya, cara ini lebih AULA dan AFDAL lagi digunakan utk tujuan kerja2 dakwah kepada iman dan hakikat iman di kalangan kaum muslimin.Tujuan asal dakwah rumah ke rumah ialah kpd orang yg belum Islam. Tetapi kerana 'hijab' yang terlalu tebal yg telah dibangunkan oleh orang Islam, maka hari ini betapa banyak tenaga dan masa terpaksa dikerah kepada usaha membawa umat ini kepada iman dan hakikat iman, agar mereka tidak menjadi hijab antara manusia lain dengan Islam.

Di dalam buku 'Ilal-Islaam min Jadid' (telah diterjemahkan ke dalam bahasa melayu bertajuk: Kembali kepada Islam yang sebenar, terbitan Pustaka Ilmi, Kuala Lumpur.) As-Syaikh Al-Allamah Sayyid Abul-Hassan Ali an-Nadwi rah.a. berkata:

"Kewajipan agama yang terbesar yang mesti dipenuhi dan ditunaikan oleh kaum Muslimin pada zaman moden ini ialah menyebarkan DAKWAH kepada semua umat manusia dengan jalan (atau cara) merombak bayang atau gambaran Islam yang ada pada umat Islam, agar berubah) MENJADI HAKIKAT ISLAM...."

Apa yang ingin saya katakan, jika kpd mereka yang belum punya iman, dakwah kita ialah kpda Islam; maka kepada yang sudah beriman ialah DAKWAH kepada iman dan hakikat iman, di dalam Kitab Hayatus-Sahabah ada satu topik kecil yang diberi tajuk Dakwah Kepada Iman dan Hakikat Iman. Sila rujuk juga ayat 14 Surah Al-Hujurat(49). Rasulullah s.a.w. juga pernah menghantar satu jamaah para huffaz seramai 70 orang ke satu perkampungan yang telah memeluk Islam.

Keperluan kepada dakwah adalah sama, baik kpd yang sudah Islam mahupun yang belum Islam.

Jika keperluannya sama, maka caranya juga tidak perlu dibezakan. Hanya kandungannya sahaja yang perlu disesuaikan. Malah untuk sesama kaum muslimin, ziarah dari rumah ke rumah untuk maksud agama dan hakikat Iman; ganjarannya akan lebih berlipat ganda lagi. dan perkara ini sudah semestinya tidak tersembunyi kepada sesiapa saja yang mempunyai ilmu walaupun hanya sedikit.

Wallahua'lam. Wassalam.

[Petikan diambil dari posting di dalam tabligh@yahoogroups.com. Soalan dikemukan oleh salah seorang netters, kemudian jawapannya oleh sdr Al-Faqir MGC Abdil Aziz. Email: juhduddin@yahoo.com]
Tamat nukilan.

Monday, July 13, 2009

Bila mata tertutup...

"Apabila maut datang mencengkam, zahirnya mata tertutup, tetapi yang sebenarnya pada masa itulah 'mata' mereka akan 'terbuka' dan segalanya akan tersingkap...!"

"Walau di mana jua kita berada, kita kena tahu apa yang Allah kehendaki daripada kita. Dan kita kena tunaikan kehendak Allah itu mengikut cara Nabi Muhammad s.a.w., itulah hakikat kehambaan."

(Petikan kata-kata Fadhilatusy-Syaikh Ahmad Lat An-Nadwi, 9 Julai 2009, medan Ijtimak Umat Islam Seluruh Malaysia di Kuarters KLIA Nilai-Sepang.)

Mendengar kata-kata ini, membuatkan saya termenung panjang. Betapa benar ungkapan ini. Betapa kita sering lupa akan hari tika mata kita tertutup buat selama-lamanya. Malangnya, tertutupnya mata itu, bukanlah kesudahan dan penamat segala cerita. Sebenarnya, segalanya baru bermula. Segala yang selama ini didengar ceritanya, akan mula tersingkap. Segalanya benar-benar terbentang di depan mata. Bukan mata yang sudah tertutup itu, tetapi 'mata hakiki' seorang yang dinamakan insan.

"Oh Allah.. Jika mataku tertutup sekarang ini.. Pandangan apakah yang akan tersingkap di depan ku? Rahmat atau azab?? Oh Allah.. bantulah aku mengharungi hidup ini.. agar yang tersingkap nanti ialah khabar-khabar gembira keampunan dan rahmat Mu! Oh.. Allah! Ku adukan segalanya hanya kepada Mu! Janganlah Kau hampakan hamba Mu yang faqir ini...

Sunday, July 12, 2009

Petikan kata-kata Hadrat As-Syaikh Ad-Da’iyah Muhammad Saad Al-Kandahlawi

Sedikit petikan dan sedutan daripada kata-kata Hadrat As-Syaikh Ad-Da’iyah Muhammad Saad Al-Kandahlawi.

(1)

”Para ulama adalah qudwah. Ikutan. Memadai Allah jadikan mereka waris nabi-nabi. Ulama adalah ikutan. Dari segi ilmu, mereka berbeza-beza mengikut syariat, tetapi dari segi maksud, mereka adalah sama. Ulama pewaris nabi-nabi. Mereka mewarisi apa saja daripada nabi-nabi. Seperti harta pusaka, sedikit atau banyak semuanya kena diwarisi oleh pewarisnya. Maka ulama mewarisi untuk membawa dan menjadi ikutan dalam agama yang sempurna. Bukan hanya untuk diikuti dalam empat rakaat solat. Inilah maksud ulama pewaris nabi-nabi.”

(2)

”Nabi Muhammad s.a.w. diutus sebagai seorang da’i juga sebagai seorang mu’allim. Oleh itu, alim ulama jangan sangka mereka hanya mewarisi ilmu, tetapi juga mewarisi usaha dakwah daripada baginda Rasulullah s.a.w.

Allah berfirman menjelaskan maksud Rasulullah s.a.w. diutus: (Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu) dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan juga sebagai da’i (penyeru) (umat manusia seluruhnya) kepada agama Allah dengan taufik yang diberiNya dan sebagai lampu yang menerangi.) (Al-Ahzab 33: 45-46)”

(3)

”Kita benar-benar kena rasa dengan hati dan dada yang lapang, bahawa selagi usaha yang paling mirip dengan sunnah belum dibuat di seluruh alam, selagi itu akidah, ibadah, muamalah, muasyarah dan akhlak tidak akan wujud dalam bentuk yang paling mirip dengan cara Rasulullah s.a.w.”

(4)


”Kita ada satu silap faham dengan dakwah. Kita rasa dakwah hanya untuk orang yang bukan/belum Islam. Sebenarnya dakwah juga untuk orang yang sudah pun beriman.

Allah berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman! Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya... ) (An-Nisaa’ 4: 136) Mufassirin menyatakan makna ayat ini seolah-olah menyatakan, ”Wahai orang-orang yang beriman, hiduplah kamu dengan kehidupan yang beriman. Iman yang sempurna dan amalan yang sempurna.” Iman yang ada di dalam hati, mazharnya ada dalam kehidupan dan amalan kita.”

”Satu lagi salah faham kita terhadap kerja dakwah ialah bahawa dakwah itu adalah untuk memperbaiki orang lain. Bukan begitu. Manfaat dakwah yang utama ialah untuk islah diri kita.

Allah berfirman: (Dan (dengan sebab itu) sama sahaja kepada mereka, engkau beri amaran atau engkau tidak beri amaran kepadanya mereka tidak akan beriman.) (Ya Sin 36:10) Perkataan ’mereka’ di dalam ayat ini, merujuk kepada ’golongan yang didakwah’. Kesan dakwah kepada mereka sama sahaja, tetapi kepada ’orang yang melakukan dakwah’ ada manfaatnya untuk diri mereka sendiri. Allah berfirman: (Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk.) (Al-Ankabut 29: 6)”

(5)


”Hari ini, rata-rata fikir untuk kuatkan iman telah terkeluar daripada fikir dan zihin umat. Sedangkan fikir ini adalah asas agama. Dalam banyak riwayat-riwayat menceritakan bahawa para Sahabat saling mengajak sesama mereka untuk bercakap tentang iman dan duduk dalam majlis iman.

Iman para Sahabat adalah contoh kepada manusia seluruhnya. Allah Taala berfirman: (Dan apabila dikatakan kepada mereka: Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman...) (Al-Baqarah 2: 13) Perkataan ’orang-orang itu’ di sini maknanya ialah para Sahabat. Namun begitu, para Sahabat ini masih lagi diminta untuk memperbaharui (tajdid) dan memperkuatkan iman mereka. sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. kepada mereka, ”Perbaharuilah sentiasa iman kamu!” Lalu ditanyakan, macamanakah cara untuk memperbaharui iman itu? Jawab Rasulullah s.a.w., ”Perbanyakkanlah berkenaan qaul (percakapan atau perkataan) Laa ilaaha illalLah!”

Makna ’qaul’ di sini boleh jadi zikir atau muzakarah. Zikir secara fardiyy dan muzakarah secara ijtima’i. Kebesaran Allah perlu diulang-ulang dan dicakap-cakapkan. Secara umumnya, muzakarah tentang ini telah terkeluar daripada umat sedangkan ia adalah satu perkara yang penting. Muzakarah tentang benda lain seperti pangkat, harta, darjat dsb wujud, tetapi muzakarah tentang hakikat kalimah ini telah hilang.

Pernah satu masa, Saiyidina Umar masuk dalam satu majlis, dan ada Saiyidina Uthman di situ. Lalu Saiyidina Umar berkata, dalam majlis ini ada seorang yang jika imannya dibahagikan-bahagikan kepada sepasukan tentera sekalipun, akan memadai untuk mereka. Abdullah bin Rawahah, Muaz bin Jabal dan Abu Darda’ sering ajak-ajak Sahabat yang lain duduk-duduk dalam masjid untuk muzakarah tentang iman. Inilah majlis iman. Apa yang selalu dibincangkan, itulah yang akan masuk ke dalam hati. Para Sahabat selalu bincang tentang iman.”

(6)


”Dalam amalan perlu ada sifat ihsan. Ihsan ialah satu sifat hadir hati, sedar dan sentiasa ada hubungan dengan Allah. Jika amalan ada, tetapi sifat ihsan tidak ada, sebenarnya kita sedang musnahkan amalan tersebut. Lawan bagi ihsan ialah ghaflah (lalai). Walaupun lidah berzikir, kita baca fatihah dalam solat dsb tetapi hati lalai, sebenarnya kita sedang musnahkan amalan kita.

Sebut, cakap dan ulang-ulang kebesaran Allah, barulah hati kita akan sentiasa seiring dengan amalan kita.

Satu hari, Huzaifah berada di satu masjid di Syam. Dia tengok seorang sedang solat dengan cepat. Huzaifah tanya, berapa lama kau bersolat seperti ini? Jawab orang itu, sudah 40 tahun. Kata Huzaifah, jika kamu mati dalam keadaan kamu bersolat macama ini, kamu tidak akan dibangkitkan dalam agama yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w. Sebenarnya, bila solat dengan hati yang tidak berhubung dengan Allah, kita akan jadi solat dengan cepat-cepat.”

Banyak lagi yang diperkatakan oleh Hadrat Syaikh Saad. Semoga dapat kita jadikan renungan untuk diri kita. Berapa tahun kita telah jalani hidup ini, sedangkan hati kita amat sedikit berhubung dengan Allah... Oh Allah.. Kasihanilah kami!

(Petikan ini hanya berdasarkan catatan peribadi semasa pertemuan Hadrat Syaikh dengan para ulamak semasa Ijtimak Umat Islam Seluruh Malaysia 2009, 11 Julai 2009, Medan Ijtimak Kuaters KLIA Sepang-Nilai. Ucapan beliau diterjemah oleh Al-Fadhil Ustaz Abdul Hamid Chin, Imam Besar Masjid Bandar Baru Seri Petaling. Sekiranya terdapat salah catatan, mohon teguran.)

Saturday, July 4, 2009

Kunjungan Tuan Guru Haji Saleh Penanti ke Putrajaya

Semalam, dengan rahmat Allah Taala, Putrajaya telah diberkati dengan kehadiran Tuan Guru Hj Saleh Penanti Muhajir Makki ke Surau Al-Mizan, Presint 8. Tuan Guru Hj Saleh merupakan anakanda kepada Syeikh Uthman Jalaluddin Penanti bin Muhammad bin Abdus Shamad al-Kalantani, Pengasas kepada Pondok Pengajian Manabi'ul 'Ulum Penanti, Seberang Prai.

Berkenaan Syeikh Uthman Jalaluddin ini boleh dilihat ketokohan ilmunya melalui tulisan Almarhum Ust Wan Mohd Saghir Abdullah di blog Ulama Nusantara ( http://ulama-nusantara.blogspot.com/2006/11/syeikh-uthman-jalaluddin-penanti.html ).

Tuan Guru Haji Saleh sekarang ini telah berhijrah dan bermukim di Kota Suci Makkah. Baru tiga hari tiba di tanahair, Tuan Guru telah sudi untuk berkunjung ke Putrajaya. Kepulangan Tuan Guru selama dua bulan ke tanahair sebelum berangkat kembali ke Makkah antara tujuan utamanya ialah untuk menghadiri Ijtimak Umat Islam Seluruh Malaysia yang akan berlangsung pada 9 - 12 Julai 2009. Tapak Ijtimak ialah di sebelah Kuarters KLIA Sepang-Nilai. Ijtimak ini dijangka akan dihadiri oleh lebih kurang 100,000 umat Islam, insya Allah.

Selepas solat Asar, Tuan Guru telah dijemput untuk memberikan sedikit nasihat kepada jemaah solat yang ada. Antara kata nasihat Tuan Guru yang dapat saya nukilkan daripada rakaman melalui handphone saya:

"Manusia mempunyai empat jenis masa:

  1. Masa taat
  2. Masa maksiat
  3. Masa sihat
  4. Masa bala' (musibah)
Semasa dalam taat, maka hendaklah dia nafikan bahawa taat itu sebab kelebihan dirinya, tetapi hanya semata-mata limpah taufik nikmat daripada Allah.

Semasa jatuh dalam maksiat, maka kena banyak istighfar.

Semasa sihat, kena syukur.

Semasa bala', kena sabar. Sabar adalah kepala iman. Al-Huzn (terlalu berduka lara) adalah musuh orang Islam."
Seterusnya Tuan Guru telah menyimpulkan nasihat beliau dengan sentuhan ringkas terhadap tafsir Surah Al-'Asr.
"Allah sendiri bersumpah dengan 'masa'
bahawa semua manusia sama ada kaya atau miskin, raja atau hamba....
semuanya dalam kerugian. Rugi! Rugi! Rugi!

Kecuali, orang yang ada iman!

Tapi iman sahaja 'tak cukup, kena ada amal soleh.

Ada dua 'tu sahaja 'tak cukup, kena pula tawasau-bil-haq (berpesan-pesan dengan perkara yang haq). Tawasau-bil-haq inilah kerja dakwah.

Ada tiga 'tu juga masih rugi, kena pula tawasau-bis-sabr (berpesan-pesan dengan kesabaran). Sabar ialah kepala iman.

Ada keempat-empat 'ni, barulah tidak rugi!"
Tuan Guru menutup nasihat beliau dengan doa ringkas.

Banyak yang saya dapat pelajari daripada Tuan Guru. Semoga Allah memanjangkan usia dan menyebarluaskan manfaat Tuan Guru kepada seluruh ummah. Semoga Allah juga memberi taufik untuk saya amalkan segala nasihat yang diberikan oleh Tuan Guru.

Oh Allah, kasihanilah kami!

Wednesday, July 1, 2009

Kolum sulung saya dalam Majalah SOLUSI



Alhamdulillah, dengan limpah ihsan-Nya, kolum sulung saya dalam Majalah SOLUSI telah diterbitkan dalam SOLUSI bilangan 9 (Julai 09). Kolum yang dipertanggungjawabkan kepada saya bertajuk: "Fadhail A'mal". Insya Allah, artikel melalui kolum FA ini akan berterusan pada keluaran-keluaran yang akan datang. Semoga ada manfaatnya, terutama untuk saya yang amat faqir ini.